Followers

Friday, May 13, 2011

projek 4.B



“Ni, yang kau datang pejabat aku ni, suami kau tahu tak?” soal Ati. Walaupun polisi pejabatnya agak terbuka, di mana kawan-kawan boleh datang melawat, dia tidak sukalah Asma selalu ke sini tanpa izin suami.

“Tahu... aku hantar SMS kata aku kat ofis kau,” jawab Asma.

“Baliklah... tak payah nak berkampung kat ofis aku ni.”

“Kau ni Ati kejam betullah. Aku harap satu hari nanti kau akan jatuh cinta dan berkahwin. Baru kau tahu macam mana seksanya kalau suami tak sayangkan kau,” kata Asma sambil mencemik bibir.

“Tak akan,” jawab Ati.

“Jangan sombong Ati. Nanti bila Allah terbitkan rasa cinta kat hati kau, baru kau tahu,” jawab Asma.

Ati tersenyum kecil. Asma tidak tahu hari-hari dia berdoa semoga Allah tutup hatinya untuk mana-mana lelaki atau mana-mana lelaki tak pandang pun dia!

“Pergilah balik!”

Asma tiba-tiba mengangkat kedua-dua tangannya hingga hampir ke paras bahu. “Ya Allah ya Tuhanku. Semoga Kau terbitkan rasa cinta terhadap seorang lelaki yang baik untuk sahabat aku ini, Ati. Semoga dia dapat merasa manisnya cinta antara seorang Adam dan seorang Hawa. Amin ya Robbul Al-Amin.” Asma meraup muka. Dia tersengih memandang Ati.

“Yang kau ni dah ke rasa cinta antara Adam dan Hawa?” perli Ati. “Yang aku tahu cuma cinta bertepuk sebelah tangan aje!”

Muka Asma semakin masam. “Suatu hari nanti Ati... suatu hari nanti!”

“Isy! Mengugut pulak.”

Mata Asma terkebil-kebil. Wajahnya kembali mendung. Dari pengamatan Ati, sahabatnya itu sedang memikirkan sesuatu yang berat.

“Hah! Kenapa pula ni?” sergah Ati.

“Mungkin sebab aku ni tak cantik, maka suami aku tak mahukan aku...” suaranya perlahan. Air mata sudah bergenang di tubir mata.

Ati cepat-cepat menarik tangan sahabatnya, mengheret Asma masuk ke pantri. Nasib baik tadi dia lihat memang tidak ada orang di pantri pejabat.

“Kau ni kenapa?” soal Ati sebaik saja dia menolak sahabatnya itu duduk di salah satu kerusi yang menjadi pasangan meja bulat di dalam bilik yang dijadikan pantri untuk kakitangan pejabat ini.

“Suami aku... Ati.” Suara Asma sudah putus-putus. Dia meletakkan tangan di atas meja lalu terus meyembamkan wajahnya, menyembunyikan sendu yang semakin kuat.

Seorang lelaki pelukis pelan, tiba-tiba saja berlenggang masuk ke pantri. Di tangannya sebuah mug kosong. Langkahnya terhenti tiba-tiba. Ati angkat muka pandang wajah lelaki itu. Pandangan mereka bersatu sesaat dua.

Lelaki itu terus menghalakan pandangan ke arah water dispenser untuk air panas dan sejuk. Kemudian sekali lagi dia memandang Ati. Ati hanya membalas pandangan lelaki itu dengan wajah tanpa emosi. Tangannya saja yang menepuk lembut bahu Asma yang terhingguk-hingguk menangis tanpa suara.

Lelaki itu mengeluh. Dia berpusing lalu keluar dari pantri.

Ati berpaling lalu menarik sebuah kerusi lagi lalu duduk di sebelah Asma. Dia bukan seorang yang kejam. Mereka berbeza bukan setakat dari segi perawakan tetapi perwatakan juga. Asma seorang yang sangat baik dan lurus, manakala Ati sukar untuk bersahabat.

Kadang-kadang memang Ati geram dengan Asma tapi itu tidak bermakna Ati tidak mahu Asma merasa gembira. Lebih-lebih lagi sekarang. Ati tidak suka Asma menangis. Ati tidak suka Asma terlalu membazir air mata dan perasaan kerana seorang lelaki yang tidak tahu langsung menjaga perasaan isterinya!

“As, kenapa?” soal Ati lembut.

“Aku sudah jatuh cinta dengan dia...”

Ati mengeluh. Memang dia tahu Asma cintakan suaminya. “Nanti kita tanya Khalid. Aku tak tahu...” Ati diam seketika. “Aku tak tahu nak buat macamana, aku tak ada pengalaman bercinta.”

*********************************************************************

Thursday, May 12, 2011

Buku oh Buku

kalau nak cuba-cuba baca tajuk buku, klik pada gambar :)

Antara majalah dan buku, saya memang sangat teruja dengan buku. Genre juga berubah mengikut perubahan usia. Masa saya kecil-kecil dulu, abah selalu bawa saya ke Changkat Pavillion untuk pergi ke pesta buku. Itu sajalah cara abah luangkan masa bersama kami, sebab hari-hari lain abah sibuk bekerja 7 hari seminggu, 30 hari sebulan dan lebih 300 hari setahun. Kami cuma bercuti masa Hari Raya Eidulfitr dan Eiduladha. Dan satu hari bersama-sama ke Changkat Pavillion untuk pesta buku. Balik dari pesta buku, mesti singgah di sebuah taman permainan kecil dan main sebentar di situ. Ada satu 'gua batu' khas untuk kanak-kanak bermain sorok-sorok tapi dijadikan tempat khas pula untuk lelaki-lelaki berkelakuan seperti anjing melepas hadas. Meloyakan!

Tapi saya tetap pulang dengan gembira. Abah bermurah hati membelikan macam-macam buku bacaan yang nipis-nipis. Antara buku yang saya ingat adalah koleksi kisah-kisah rakyat di dunia. Yang paling melekat diminda, kisah tentang seorang budak yang perasan ada retak dan lubang di dinding empangan lalu dia tutup lubang itu dengan beg sekolahnya. Dia takut lubang itu akan membesar dan lalu empangan akan pecah. Dia berdiri di situ hingga malam, sampailah orang-orang kampung yang mencarinya jumpa dia yang sudah kepenatan. Tidak lama selepas itu, barulah saya tahu cerita itu merupakan cerita rakyat yang terkenal di Belanda.

Saya membesar dengan buku-buku Enid Blyton seperti Tujuh Sekawan dan kisah Gemuk dan kawan-kawannya. Kadang-kadang, balik sahaja dari urusan bank, abah belikan saya majalah Bujal dan Kuntum di sebuah pasaraya yang ada iklan gambar lelaki bertopi tinggi, baju kot ber-ekor berjalan dengan langkah panjang sambil memegang tongkat. Di bawahnya ditulis nama lelaki itu - Jack Daniels.

Apabila sudah menjejak usia remaja, genre pun berubah. Saya minat pula cerita-cerita misteri seperti Adik Beradik Hadi, siri Salma dan Alfred Hitchcock. Oh, saya masih ingat lagi tagline penyiasat bertiga ini - Jalil: Penyiasat Pertama, Ah Meng: Penyiasat Kedua, Gopal: Rekod dan Penyelidikan. Kami Menyiasat Apa Sahaja. Masa itu mana ada slogan 1Malaysia. Cukup dengan semangat muhibbah antara kaum terbesar. Seronok sangat. Inilah buku-buku yang banyak mempengaruhi saya dalam bidang penulisan dan penterjemahan. Kenapa?

Saya rasa bidang penterjemahan berpuluh tahun dahulu, walaupun tidak meluas tetapi sangat-sangat cemerlang. Ketika saya baca cerita Gemuk dan kawan-kawannya, saya rasa persekitaran dalam cerita itu amat dekat dengan saya. Tidak langsung terasa saya baca tulisan yang latarnya terletak di luar negara. Hampir semua gambaran dalam latar cerita mahupun plotnya di-Malaysiakan. Mungkin ada beberapa keadaan yang tidak dapat diubah, tetapi penceritaan, imaginasinya tetap sampai. Begitu juga dengan cerita Adik Beradik Hadi (Hardy Boys). Dan apa yang saya ingat, rumah bapa mereka adalah di Kelang! Masa itu saya bayangkan Kelang itu sungguh moden sekali sebab Encik Hadi ni ada satu bot persendirian. Wah! Macam Hawaiian Five-Oh. Manalah saya pernah pergi ke Kelang waktu itu!

Kemudian bila sudah masuk sekolah menengah, saya berkenalan pula dengan siri 'Sweet Dreams' dan 'Sweet Valley High', kisah cinta budak-budak belasan tahun dan semua latar ceritanya dari US. Ada kurang dari 10 buku siri-siri ini yang saya kumpul waktu usia 13 tahun, masih disimpan hingga sekarang. Dari buku-buku ini (walaupun tak ada pengajaran pun dan banyak melalaikan) saya perbaiki bahasa Inggeris saya. Sanggup tergolek-golek dalam gelap bertemankan lampu suluh semata-mata hendak baca buku-buku cerita ini.


Kemudian, buku-buku-buku roman menjadi pilihan. Tetapi roman yang saya cari waktu itu mesti mempunyai plot 'thriller', membayangkan hero yang 'macho' dan heroin yang 'berani' juga. Saya mula kenal penulis-penulis popular dan yang menjadi pilihan saya hingga sekarang adalah Sandra Brown dan Linda Howard. Mereka berdua berjaya menambat hati kerana stail penulisan mereka, segar. Perwatakan hero dan heroin mereka berbeza dari satu buku ke satu buku (walaupun ada juga juga satu dua yang sama). Penulis Jill Barnett dan Steff Ann Holmes pula saya minat kerana kelembutan cerita yang bersulam jenaka. Buku tulisan Jill Barnett yang saya suka bertajuk 'Surrender A Dream". Kenapa? Sebab heroin dalam naskah ini seorang yang berhati waja. Sentiasa kreatif dalam menyelesaikan masalah. Dari naskah inilah saya bina watak-watak 'wirawati' dalam naskah-naskah saya juga.

Sekarang saya sudah jarang meladeni buku-buku roman. Tapi apabila saya perlu menambah idea, saya akan cari juga buku-buku begini. Tapi saya sudah mempunyai genre lain yang lebih menambat hati. Tak pe lah. Yang itu lain kali saya tepek gambar.. sebab buku-bukunya belum tiba lagi huhuhu.

Sekarang rak buku saya sudah hampir penuh. Tapi sayangnya masa untuk saya duduk dan membaca sekarang semakin kurang. Ada satu dua buku saya sengaja simpan dalam kereta. Dapat dimanfaatkan ketika menunggu mak beli barang di pasar atau menunggu lampu trafik merah bertukar hijau. Sekarang ni tengah berfikir nak letak kat mana lagi buku-buku yang bakal tiba. Sekarang rak tu memang letaknya di dapur. Takkan dapur saya akan bertukar menjadi perpustakaan pula? Haish!


Saturday, April 09, 2011

Jom Baca 2


Salam

Hari hujung minggu biasanya saya khaskan untuk kehendak saya. Maksudnya, saya tidak bekerja. Kecuali kalau ada deadline yang betul-betul memerlukan saya habis kerja itu secepat mungkin. Kalau tak, hari hujung minggu ni, saya akan duduk saja di meja makan dari pagi sampai malam.

Hahahaha.

Bukanlah saya asyik makan saja, tapi inilah tempat saya berkarya. Di meja makan. Di dapur. Dengan kipas duduk berputar laju cuba hendak menyejukkan komputer riba saya yang kepanasan dan satu botol air milo beku-beku cair di sebelah kiri. Syoknya minum air milo beku-beku cair. Saya memang sangat terer buat air milo atau kopi ais yang kaw!!

Tak percaya? Tak percaya tak apa! Jangan percaya, lagilah saya suka. Saya buat air untuk tekak sendiri saja hahahahaha.

Okey apa agaknya review buku untuk kali ini?
Oh! Saya pilih buku Jemari Seni lagi... (nak buat macam mana kan? Saya penulis Jemari Seni, jadi sudah tentu niat mahu promosikan novel rakan-rakan seperjuangan. Sebumbung.)

Kali ini saya pilih Quartet - Karya miss Saidatul Saffaa
Ini kisah sekeping hati yang dicalit empat rona indah. Sayangnya dia terlupa ytang pelaing itu jalurannya tujuh; dab salju pula jadi cair dipanah mentari lalu berguguran dihembus bayu luruh.
Ini kisah sekeping hati yang berkali-kali diuji, takkan bercahaya pelangi sebelum hujan, takkan bersinar indah bintang-bintang tanpa gelap malam
Mak mahukan menantu seperti Sami Yusuf. Kalau bawa surah panjang dalam solat pun tidak mengapa kerana suaranya sedap. Misa pula lebih tertarik dengan bayangan Yusuf, pun punya suara yang merdu apabila bertakbir. Malangnya 'Yusuf' menolak cinta 'Zulaikha' walaupun jarinya terluka.
Tapi Misa, jari yang terluka boleh diubat dengan minyak gamat, luka di hati nak ubat dengan apa?
Ini perjalanan Misa mencari cinta. Empat lelaki seperti empat musim juga. Akhirnya Misa pasrah. Untuk mencari cinta antara Adam dan Hawa, dia harus mencintai dirinya sendiri. Dia harus mencintai Allah.


Bismillahirrahmanirrahim.....


Baca blurb belakang pun sudah mengujakan. Apatah lagi penulisnya pun sudah mula mengukuhkan tapaknya dalam bidang penulisan. Masuk ini Sudah dua buku, dan satu novel pendek Saidatul yang saya baca dan ketiga-tiganya tidak mengecewakan. Saya senang dengan plot dan penceritaan Saidatul.

Quartet mengisahkan tentang Misa yang melanjutkan pelajaran ke luar negara. Ke negara Uncle Sam, di Madison. Misa gadis biasa-biasa. Agak rock, selamba dan yang sangat penting - tidak bertudung. Tidak macam kawan-kawan se-pengembara ilmu di sana yang kebanyakannya bertudung, Misa digelar free hair. Tapi, tak bermakna Misa tak bertudung itu, perangainya jahat. Misa baik orangnya cuma dia agak jahil dalam agama.

Tapi Allah sayangkan Misa. Housemates dia orang yang dekat hati mereka dengan Tuhan. Dan mereka juga bukan orang yang judgemental. Mak, ayah, nenek dan makcik pun mahukan Misa berubah jadi Muslimah, tapi Misa degil kerana keinginan untuk berubah belum datang dari jiwanya. Allah belum lagi buka hati Misa. Tapi setiap kejadian yang berlaku, yang selalu buat Misa menangislah yang buatkan Misa fikir apa sebenarnya yang dia cari dalam dunia. Sahabat banyak yang memberi dorongan pada Misa. Suruh Misa kuatkan hati. Mereka doakan untuk Misa Perlahan-lahan, pasti Misa akan pakai tudung juga kan? Yang penting kesedaran hati tentang perlunya menutup aurat.

Macam gadis lain, Misa pun jatuh cinta juga. Tapi, cintanya sering terputus di tengah jalan. Yang pertama, kawan sendiri yang rampas. Yang kedua pula dia pula yang bertepuk sebelah tangan. Yang ketiga, orang disangka baik rupa-rupanya.. Haish! Alim-alim tahi kucing! Dan yang ke empat haaaa... yang ke-empat inilah rupanya jodoh Misa. Orang yang dulu dia pernah kenal... Lama... dulu.

Okey komen saya;

Cerita Misa ni bukanlah intipatinya seratus peratus pasal aurat. Bukan juga untuk kita terima bahawa gadis Islam tidak bertudung itu adalah okey (tak okey ye, sebab menutup aurat itu adalah WAJIB bagi setiap muslim dan muslimah). Tapi, naskah ini mengajak kita berfikir dan supaya tidak JUDGEMENTAL terhadap kawan, lawan atau orang yang kita tak kenal. Urusan berubah hendak menjadi baik adalah fardu ain dan fardu kifayah. Bermakna, kita semua harus berusaha untuk tukar diri kita jadi baik dan mengajak kawan-kawan kita berubah jadi baik juga.

Macam Misa. Kawan-kawan tidak pernah tinggalkan dia saat dia berduka cita putus cinta berkali-kali, malah sentiasa bagi semangat pada dia. Jadi, perlahan-lahan dia pun nak berubah jadi macam kawan-kawan dia yang baik dan selalu dekatkan hati dengan Allah.

Okey itu komen yang pertama... seterusnya pula!

Cara penulisan kali ini agak sedikit jauh dengan hati saya. Mungkin faktor umur kut? Saya lebih suka cara penulisan dalam Kemilau Mutiara Raudhah (hehehe). Tapi selera masing-masing, berbeza kan? Ada juga saya terlompat-lompat membaca kemudian patah balik. (Yalah, sudah terlebih matang ni kan?). Tapi, saya tetap faham jalan ceritanya.

Dalam Quartet, Misa dilakarkan seorang yang sangat mudah jatuh cinta. Dia juga seperti klise gadis Melayu. Mahukan lelaki yang beriman supaya dapat membimbing (sedangkan untuk berubah jadi baik itu harus datang dari hati Cik Misa oi! Bukan sebab lelaki). Apatah lagi mak pula tiba-tiba mahukan Misa cari pasangan macam Sami Yusuf. Alahai! Nak cari kat mana ye?

Saya suka babak di mana Misa pertama kali bertemu Bilal, lelaki yang punya suara sedap macam Sami Yusuf. Kalau zaman Rasulullah saw dahulu, Bilal seorang pelaung azan yang sangat sedap suaranya juga. Perkenalan mereka pula seperti pertemuan Nabi Yusuf a.s dengan Zulaikha. Kan dalam cerita Nabi Yusuf a.s, Zulaikha yang sedang memotong buah (kalau tak silap) terpandang Nabi Yusuf a.s lalu terpesona dengan ketampanan beliau, hingga Zulaikha tak sedar jarinya terluka kena pisau.

Macam tu juga masa Misa terpandang Bilal. Tapi bukan sebab dia terpesona dengan 'ketampanan' Bilal, cuma lelaki itu pernah 'kurang asam' dengan dia waktu membeli barang ketika salji lebat sebelum tu. Hah! Apa lagi? Terperanjat terus tercedera jari. Kat mana waktu tu? Hah... tak mahulah cerita habis-habisan.

Latar cerita di Madison Wisconsin US dan Melaka, Putrajaya Malaysia. Bila cerita di Madison, teringat juga waktu di Scotland. Banyak loch atau tasik di sana. Macam dapat rasakan bayu sejuk dan waktu pertukaran musim. Pokok-pokok yang botak waktu musim luruh dan sejuk. Air hujan yang terasa macam beku. Tergelincir sampai terduduk waktu berjalan di atas ais. Semuanya mengetuk kenangan dulu. Walaupun saya bukan di Madison, tapi di Glasgow saja.

Kesimpulannya;
Rugi kalau dah beli tapi tak baca buku ni. Lebih rugi kalau tak faham maksud cerita Misa ini. Dan sangat rugi juga kalau langsung tak baca buku Quartet kaya Saidatul Saffaa ni.
Kiranya saya SANGAT SUKA baca buku yang santai tapi banyak pengisian. Macam biasa Saidatul Saffaa menegur kita dalam lembut.
Ingat! Saya selalu pesan... dalam gelak-gelak pun kita mesti ambil pengajaran dari setiap buku yang kita baca. Pengajaran haruslah yang baik-baik kan? Jangan pula kita hendak ikut perkara yang tidak elok.

Tapi semua buku-buku JS sangat berhemah. Ini kerana editor-editornya sangat strict dalam penapisan. Macam Lembaga Penapisan Negara huhuhuhu



Thursday, April 07, 2011

Jom Baca

Salam,

Sudah lama kan saya tak review buku? Sebenarnya bukan tak baca buku, tapi masa untuk menulis review agak mengekang sekarang. Sibuk dengan kerja, sibuk menguruskan rumah (ahaks!), sibuk juga dengan ber-FB lagi. Mana nak sempat kan? (Orang kata hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih - ni saya cuma beri beberapa dalih saja!)

Oh! Hari tu saya ada ke kedai dan mendapatkan beberapa buah novel baharu. Untuk bacaan santai anak-anak buah juga. Dan memenuhi rak simpanan buku juga. Nak tahu? Apa benda asing yang saya temui di rak buku saya?

Sebab dah bertahun kena tinggal, saya pun susun sikit-sikit buku-buku saya. Tiba-tiba di hujung buku-buku novel Inggeris saya, saya jumpa sarang angkut-angkut. Huwaaaa!!!! Tapi, nasib baik 'tuan'nya tiada di rumah. Sudah kosong. Apa lagi! Saya musnahkan rumah dia miahahahaha!!! Eh! Orang kata, sarang angkut-angkut ni bila dicampur dengan nila, boleh dijadikan ubat begok. Cubalah!

Baik untuk sesi Jom Baca saya kali ini, saya sudah pilih beberapa buah novel Melayu dan ada juga bacaan Inggeris. Tapi, saya mulakan dengan novel JS tajuk Dia & Dia, karya Bunick Firdaus.

Bismillahirrahmannirrahim...

Saya belum pernah pernah lagi baca nukilan Bunick. Kira ini percubaan pertama sayalah. Dan Alhamdulillah tidak menghampakan. Ada pembaca lain yang beritahu saya, karya ini asalnya dalam versi online dan sekarang sudah dibukukan. Tahniah untuk Bunick Firdaus. Tahniah untuk JS juga kerana kulit buku yang manis dan err... penuh keperempuanan ini. Ahaks!

Ini kisah cinta antara Arissa dan Fazril. Dan orang kata cinta pertama itu memang sangat manis. Kalau boleh, mahu terus ke jinjang pelamin dan bahagia hingga ke syurga. Tapi bagaimana pula kalau cinta pertama itu kecundang di tengah jalan? Aduh! Sakitnya hati, hanya Tuhan saja yang tahu.

Itulah yang Arissa rasa. Cinta kecundang bukan sebab dirinya tapi sebab orang ketiga. Haish! Macam klise aje kan? Tapi yang ini bukan orang ketiga yang menggatal. Orang ke-tiga ini sudah berzina dengan tunangnya dan mahu tak mahu Fazril pula jadi Pak Turut. Nak buat macam mana? Tunang Zhaliya pun dah mati. Fazril pula sepupunya. Hendak menutup malu, mereka bernikah. Tingallah Arissa memujuk hati yang luka.

Ditakdirkan pula, Arissa bertemu dengan Encik Polis yang bernama Irfan. Mulalah episode aku ngurat kau, kau pulak jual mahal. Tapi Encik Polis ni tak putus asa. Dia mengurat lagi dan lagi, akhirnya berjaya. Akhir kata mereka pun berkahwinlah juga. Ada juga dramanya nak mengurat ni. Adik angkat Encik Polis ni pula sukakan Encik Polis. Adoilah! Susah juga ni kan? Tapi, itulah, berkat usaha.. berjaya juga.

Ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari. Arissa disahkan mengandung tapi dia kehilangan bayinya. Fazril pula mengidap penyakit bahaya. Hati Arissa diuji lagi. Mahu meneruskan hidup dengan Irfan atau kembali kepada Fazril yang sudah mendapat status duda?

Jeng jeng jeng!

Malaslah nak bagi ending. Baca sendirilah ye. Jadi apa kata saya?

Mulanya masa tengok ketebalan buku tu saya dah seram sejuk. Adoi! Cik.. Boleh habis ke ni? Tapi saya bagi masa sebulan pada diri sendiri. Mesti habiskan membaca! Bila buka mukasurat pertama. Adoi! Sekali lagi. Kata ganti nama pertama. AKU. Saya ni kalau baca first person narration, sangat lemah. Feel kurang. Tak apa! Mesti baca juga. Dah janji kan?

Dari satu muka ke satu muka... hehehe akhirnya saya berjaya habiskan dan jujur saya katakan ceritanya memang menarik. Lebih-lebih lagi dapat belajar dialek Kelantan. Wow! Menariknya! Yalah, sebab saya orang Pantai Barat, walaupun dilahirkan di Pantai Timur hahaha. Cuma... ye! Ada cuma, ye. Saya rasa watak Fazril kurang menyengat. Saya suka sangat watak Irfan. Bagi saya dia contoh lelaki yang tidak putus asa, baik dan penyayang.

Fazril bagi saya seorang lelaki yang lemah. Backbone kurang kuatlah. Arissa tu pula yang lebih tabah dari dia. Kahwin terpaksa. Lepas tu lari ke Australia. Lepas tu sakit (eh terbalik ke?). Lepas tu ada hati ngurat isteri orang... Aiyoh! Irfan tu lagi best. Mengurat isteri, jaga isterinya dan beriman pula tu... ahaks!

Okey pengajaran dari cerita ini;

Adik-adik, kakak-kakak, abang-abang dan diri sendiri ye;
Walau apa pun status kita, single and available, janda atau duda, isteri atau suami orang, jangan sesekali menghampiri ZINA. Tak kiralah ada janji hendak kahwin atau tidak. Nanti jadi macam Zhaliya. BERZINA dengan tunang sampai termengandung. Siapa yang susah? Diri sendiri dan keluarga juga. Kalau sempat hidup bolehlah bertaubat, kalau jadi macam tunang Zhaliya tu, mati! Tak sempat nak taubat... nerakalah jawabnya. Huish! Nauzubillah!

Kalau meletak status dalam FB, berhati-hatilah ye. Takut mengundang fitnah. Macam Arissa, dia 'gatal-gatal' tangan letak status "Bosan/Boring" (tak silap lah ye) dalam FB, tiba-tiba pula Fazril menegur dalam chat room. Dah masuk pula sesi mengurat. Bahaya tu!

Dan yang paling penting.. errr... yang girls single and available carilah pasangan macam Irfan ye. Eh bukan sebab dia Encik Polis macam Selamat a.k.a Abang Salim (Dame Zoete Sarah) yang nampak kerek tapi hati baik tu hahahaha. Tapi, sebab akhlaknya baik, sifatnya lembut dan romantik. Yang penting sekali, orangnya beriman.

Apa pun, saya gembira dapat habiskan baca novel Dia & Dia oleh Bunick Firdaus ni. Dan Arissa yang keliru tak habis-habis tu akhirnya berjaya memilih jalan hidupnya untuk mencari kebahagiaannya. Kira cerita ini memanglah happy ending.

Err... saya nak beri berapa bintang?
Okey! Saya tak nak bagi bintang sebab suka tak suka itu adalah subjektif. Saya kata saya SUKA buku ini.

Tuesday, March 22, 2011

Update

Siap!!!

Alhamdulillah projek manuskrip nombor 3 yang asyik tergendala selama hampir dua tahun. SELESAI.

Rasa macam nak melompat gembira bila berjaya taip perkataan T.A.M.A.T dan hantar pada puan/tuan/cik editor untuk dinilai samada laku untuk dipasarkan atau tidak. Kalau laku, boleh diteruskan kepada proses editing. Kalau tak laku... heh! Sama ada perlu dibaiki atau terpaksalah ditong sampahkan (harap-harap taklah sampai ke tahap itu ye?)

Sungguh, saya rasa manuskrip ini memang cabaran yang paling hebat buat masa ini. Saya sengaja mencari 'nahas'. Menulis sesuatu yang saya tidak tahu sangat. Jadinya, saya terpaksa banyak membaca dan membaca dan membaca.

Dari buku, blog dan bacaan lain di internet, kalau berkaitan dengan latar cerita saya, semua saya belasah baca. Dari pandangan Barat, pandangan Timur hinggalah rumusan saya sendiri, saya belasah juga.

Ini kerana latar cerita saya terbahagi kepada dua. Zaman sekarang dan zaman silam. Di dua benua, Asia tenggara dan Eropah. Aduhai! Saya takut puan/tuan/cik editor saya akan terpening kepala sekejap. Tapi nak buat macam mana kan? Saya sukakan sejarah di kedua benua tersebut.

Untuk menghabiskan manuskrip ini memang merupakan satu cabaran pada saya. Ini kerana saya juga mahu mencabar keupayaan saya sebagai penulis baharu. Saya juga mahu mencabar pembaca. Beranikah membaca ceritera saya??

Cabaran seterusnya, biasalaahhhhh....
Bab cinta memang saya lemah, (tapi mahu tulis cerita cinta pula kan? Hish!)
Bab nangis - saya tak reti betul bila tulis bab nangis-nangis ni. Masih tak pass dengan cemerlang. Walaupun dalam realiti, ada masa saya seorang yang cengeng. Hish! Hish!
Bab happy ending.. woah! Yang ini kena baca dan buat interpretasi sendiri.

Apa yang penting, cerita saya sudah selesai. Alhamdulillah. Tajuknya err.... saya letak R.D dulu sebagai pembayang kerana mungkin puan/tuan/cik editor mahu menukar tajuknya. Tapi saya boleh bagitahu yang 'D' itu adalah nama watak utamanya Dina. Ada tiga lagi watak utama dalam cerita saya. Yang berasal dari dua benua yang berlainan. Yang macam criss crossing antara satu sama lain.

Oh oh saya harap sangat ceritera saya ini nanti akan menarik minat pembaca. InsyaAllah :)

Excerpt

KAU TAHULAH AKU bukan tak nak cerita dengan kau kat pejabat tu, tapi banyak sangat telinga yang nak mendengar,” kata Dina. Mereka telah memilih sudut yang tersorok sikit sambil menikmati noodle in tom yum soup di kafe kegemarannya, Secret Recipe.

Najihah menjuihkan mulut. “Ha ah menyampah aku. Ramai sangat yang nak jadi busybody,” balasnya sambil menguis-nguis ‘sampah-sarap’ di dalam mangkuk besar yang berisi laksa Singapura. “Jadi, apa cerita kau sebenarnya?”

Dina meletakkan penyepit di atas meja. Seleranya tiba-tiba saja mati. Dia mengangkat muka memandang Najihah lalu mata sahabatnya itu direnung dalam.

“Sudah seminggu aku dapat mimpi yang sama.”

Najihah pandang wajah Dina. “What do you mean a dream? Mimpi best or nightmares?” dia bertanya separa mengusik. Apa sajalah sahabatnya ini, bercerita fasal mimpi pula!

“Aku tak tahu nak letak mimpi ini dalam kategori apa. Tapi tiap-tiap malam aku diganggu mimpi itu.” Dina melepaskan nafas panjang. Dia bukan orang yang percaya dengan tahyul. Kalau dia sudah hilang kepercayaan dengan agama, takkanlah dia mula percaya dengan hantu, jin, angels and demons?

“Ceritalah pasal mimpi kau tu. Manalah tahu aku boleh jadi penafsir mimpi,” kata Najihah lalu tergelak kecil. Sukar pula untuk dia terima yang sahabatnya ini, seorang perempuan moden yang berpendidikan Barat sejak kecil, boleh bercerita tentang mimpi pula.

“Naj, I’m serious.” Dina bulatkan mata pandang Najihah.

“Okey, okey. Jangan marahlah. Baik kau cerita sekarang dan aku akan mendengarnya.” Najihah angkat tangan dan suakan tapak tangan ala-ala seorang pegawai polis trafik meminta pemandu memberhentikan kereta mereka di simpang ketika jalan sesak di waktu puncak.

“Setiap malam aku akan mimpi ada dua orang datang menemui aku. Lelaki dan perempuan, mungkin suami isteri. Mereka tidak bersuara cuma pandang aku saja.” Dina memulakan cerita. “Wajah mereka nampak tenang tapi dari sinar mata mereka aku tahu yang mereka bersedih. Bila aku tanya kenapa mereka datang pada aku, mereka tidak menjawab.”

Hush! Mistik sungguh mimpi kau ni. Entah-entah hantu tak?” Najihah angkat bahu seperti orang kesejukan lagaknya. Tiba-tiba dia terasa seram apabila Dia mula membuka cerita tentang mimpi yang mengganggu tidurnya.

“Aku tak rasa mereka tu hantu ke, jin ke. Tapi, entahlah. Aku mana ada pengalaman dengan benda-benda mistik ni,” jawab Dina.

“Apa lagi yang kau ingat pasal mimpi kau tu?” soal Najihah.

“Apa yang jelas, pasangan lelaki perempuan itu memang menarik. Lelaki itu kacak macam orang Eropah dan wanita, mungkin isteri dia dari cara dia pegang tangan perempuan tu. Perempuan tu memang sangat cantik, a classic beauty macam Audrey Hepburn versi Melayu.”


Sunday, March 06, 2011

Tips penulis

Assalamualaikum.

Seorang sahabat bertanya, bagaimana hendak menjadi seorang penulis?

Seorang mejawab. Dengan yakin.

Yang pertama, pasang niat dengan betul. Apakah tujuan menulis? Untuk berkongsi karya yang bermutu, mengajak pembaca berkhayal atau untuk syok sendiri?

Dia diam... Untuk berkongsi karya, dia menjawab akhirnya.

Rasanya ketiga-tiga itu penting. Kita menulis kerana hendak berkongsi cerita yang kita hasilkan dengan pembaca. Kalau pembaca suka, kita pun akan lebih bersemangat hendak menulis lagi. Tapi, memanglah kena pastikan hasilnya satu hasil yang bermutu. Maksud bermutu di sini, kita teliti dalam penulisan kita. Kita buat research bersungguh-sungguh, jadi maklumat yang kita salurkan kepada pembaca adalah tepat dan masuk akal.

Kenalah sentiasa double check tulisan kita, setting kita. Kadang-kadang kita terlepas pandang sesuatu perkara itu, tapi itulah kerja editor. Menyunting semula hasil kerja tangan dan perahan otak kita ... cuma jangan sampai TERLALU menyusahkan editor hingga terpaksa ditulis semula perenggan-perenggan dalam manuskrip.

Sebagai penulis fiksyen, kita tak boleh lari dari mengajak pembaca berkhayal. Ada pembaca membeli novel kerana mereka mahu berkhayal, satu cara escapism keluar dari masalah realiti. Ada yang suka cerita ala fairy tale, happily ever after tapi ada juga yang mencari novel yang mungkin ter-sama dengan realiti kehidupan mereka. Ada pula yang mahu novel yang memeras air mata. Jadi kehendak khayalan kita haruslah selari dengan kehendak pembaca itu sendiri. Kalau mahu yang happy ending kita beri happy ending. Begitu juga untuk sad ending atau something like reality. Yang penting cerita kita itu masuk akal. Bukanlah cerita orang capek yang menang lumba lari 100meter bertanding dengan orang normal! Tak masuk akal kan?

Seorang penulis juga perlu syok sendiri sebenarnya. Mungkin umum kata banyak novel-novel di pasaran adalah novel syok sendiri. Hero perfect sangat dan heroin tak pernah buat salah. Semua orang salah, dia saja yang tak bersalah. Kadang-kadang bila membaca terasa hero dan heroin seperti hendak menegakkan benang yang basah. Kemudian minta ihsan pembaca pula untuk support watak utama itu, untuk reconfirm yang mereka tidak bersalah. Eh.. faham tak?

Syok sendiri harus ditukar menjadi sesuatu yang positif. Ketika menulis kita harus ada sifat rendah diri dan sentiasa ingin belajar. Kita bukan menulis ikut suka hati kita, ikut kepala hotak kita, Seperti apabila kita mahu bercakap dengan seseorang, kita harus pastikan pertuturan kita tidak menyakitkan hati sesiapa tetapi kita juga harus terang dalam melontarkan buah fikiran kita.

Tapi yang paling utama adalah hardware and software yang kita gunakan ketika menulis adalah yang original. Janganlah gunakan yang pirated. Kenapa saya kata begitu?

Untuk mencari 'makan' sebagai penulis, tak kiralah full time atau part-time, biarlah semuanya bermula dengan alatan dan niat yang tulen atau original. Menggunakan sesuatu yang pirated samalah seperti kita menggunakan barang curi untuk mencari makan. Fikirkanlah keberkatan ketika bekerja.
  • Original software adalah sangat reliable. Mengurangkan risiko hang dan komputer ter-reboot atau perlu di-reboot. Juga ia tidak akan menyusahkan editor yang mengedit manuskrip yang mungkin komputer mereka boleh terjangkit dengan virus-virus yang tidak diingini atau merosakkan hard disc komputer mereka. Sebaik mana pun atau se-best pun manuskrip anda, sekiranya mempunyai masalah-masalah ini, ia akan mengganggu perjalanan editing dan seterusnya printing.
  • Apabila tiada masalah kepada penulis, editor, printing company dan pembaca, insya-Allah, semuanya gembira dan insya-Allah juga segalanya diberkati :)

JACK MERENUNG SKRIN Blackberry. Kemudian telefon itu diletakkan di sebelah. Tak sampai seminit dia ambil kembali telefon pintarnya dan skrol ke ikon FB. Kemudian jari-jemarinya mengetuk-ngetuk stereng kereta. Belum lagi.

Tadi, sebaik saja dia terima SMS dari Linda, dia terus berhentikan kereta di tepi jalan dan buka FB melalui Blackberry. Dia taip nama Ati Nordin. dan terus add Ati sebagai kawan. Walaupun belum ada gambar profil, Jack tahu itu Norhayati Nordin sebab dia baru ada satu kawan, Linda.

Sekali lagi Jack skrol ikon FB. Haish! Tiba-tiba pula connection lembap. Dia terpaksa menunggu lagi. Matanya mencerlung membaca tulisan-tulisan kecil yang terpapar di skrin telefon.

- Abdul Razak (Jack) is now friend with Ati Nordin.

“Yes!” Jack menjerit girang.

Tuesday, March 01, 2011

Suka hati

Abang MAE dah sembuh dari kedemaman. Saya sangat suka hati.
Tadi sudah keluar berjalan-jalan dengan Abang MAE. Walaupun sikit batuk-batuk tapi Abang MAE sudah tidak demam panas lagi.

Abang MAE - satu, tiada dua atau tiga.

Banyak kenangan dengan Abang MAE. Dan Abang MAE sentiasa sabar dengan kerenah saya.

I *heart* you, Abang MAE

~ Abang MAE adalah Kancil saya :D

Friday, February 25, 2011

Salam

Esok genap sebulan saya pulang.
Ya... saya sudah pulang.
Atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan oleh jiwa dan hati.

Enaknya keluar dari kesejukan yang membeku.
Tapi sementara sifatnya...
agak kepanasan di sini. Mungkin perlukan alat penghawa dingin sekurang-kurangnya jatuh hingga 16C?
Berlagak!

Yang pasti.. selepas sebulan
Saya semakin bulat
Aduhai mak!
Saya tak perlu ke dapur lagilah jawabnya.

Terima kasih mak!

Friday, October 01, 2010

Drama Melayu

Assalamualaikum dan Eid Mubarak untuk semua!

Saya sedang dalam proses menyudahi manuskrip yang tergendala. Nampaknya Enchek Ilham masih belum mahu berkawan dengan saya.

Macam-macam saya buat untuk memujuk Enchek Ilham tapi dia masih lagi jual mahal. Antaranya saya beli pelbagai buku yang ada kena mengena dengan latar cerita, tapi Enchek Ilham tak mahu menunjukkan diri. Saya mula menonton drama Melayu di merata-rata website tapi Enchek Ilham masih lagi mendinginkan hatinya. Yang hadir hanyalah rasa muak dengan drama-drama Melayu terkini.

Saya menonton drama bersiri Ular Emas (TV3/TV9) yang mendapat 'puji-pujian' dari rata-rata penonton yang menulis tentang drama ini di website ataupun forum. Untuk sepuluh episod yang pertama, saya bersetuju dengan mereka walaupun sudah merasa sedikit pelik. Masuk episod ke 11 saya sudah loya, episod ke 12 dan 13 saya sudah banyak geleng kepala. Sampai situ saja saya menonton kerana 'beta tonton' TV3 dan TV9 sungguh lembap sekali. Saya lompat terus ke episod ke 20, episod yang akhir. Aduh! Terserlah sungguh tahyul, syirik dan perkara-perkara yang boleh merosakkan akidah. Kenapa?

Kenapa tidak dikekalkan tentang kepincangan masyarakat yang boleh diubat sekiranya kita kembali kepada Al-Quran dan Sunnah?

Mungkin si penulis skrip sudah tidak punya idea (macam saya yang masih memujuk Enchek Ilham???) untuk memanjangkan episod untuk siri yang disiarkan dalam slot bulan Ramadhan?

Dari Siri Ular Emas saya menonton lagi cerita-cerita drama Melayu yang sudah banyak ketinggalan dan sekali lagi banyak kritikan (bukan ilham) yang timbul di batu jemala patik. Yang paling terserlah sekali sudah pasti watak antagonis. Mengapa kalau watak antagonisnya perempuan, dia haruslah tergedik-gedik yang amat sangat??

Terlalu stereotype, terlalu tidak masuk akal. Sang penulis skrip sudah terlalu malas untuk berkreatif kah? Cuma itukah perangai kita? Hero dan heroin baiknya... ya ampun! Watak jahat pula terlalu jahat, angkuh dan gedik?? Ekstrim sungguhkah perangai manusia, sehingga tiada 'grey area'. Mungkin lebih sukar untuk mewujudkan watak antagonis yang baik agaknya.

Komplen, komplen, komplen!

Itulah saya. Hanya peringatan untuk diri sendiri kerana saya pun seorang penulis kreatif. Maaf ye.

Apakah watak antagonis saya terlalu jahat dan watak protagonis saya pula terlalu baik sampai pijak semut pun tak mati?

adoi!

Tuesday, August 03, 2010

Nama Bombastik

Saya terlambat... saya tahu. Tapi saya memang begitu. Suka ambil masa yang lama untuk mencerna sesuatu maklumat.

Saya baca di forum tentang nama-nama bombastik dalam novel.

Dua novel saya sebelum ini menggunakan nama biasa saja untuk watak-watak utama dan sampingan. Yang penting ia mempunyai maksud yang baik. Tentang judul pula, saya mahukan kelainan tetapi tetap bermaksud yang baik.

Zahrah de Tigris (Kembang putih di Sungai Tigris)
Khairunnisa dan Dr Taufik Hidayat (sebelumnya Patrick Devereux)

Dame Zoete Sarah (Wanita Berkedudukan tinggi. Manis. Sarah - juga nama yang baik yang dalam sejarah Islam, Kristian dan Yahudi)
Sarah dan Salim (penyelamat)

Yang ke tiga?
InsyaAllah saya kekalkan begini.

Harap tidak ada yang meluat ye kerana seperti dua novel yang lepas, saya mengekalkan 'setting' di luar negara juga. Semoga dapat berkongsi maklumat dan pengalaman.

Selamat menjelajah!

Wednesday, July 28, 2010

*sigh*

Spending that short time with her, I realise she is getting older although she still has that spring in her walk.

It is the small small things that I noticed.

She is forgetting things.

My great worrier,
maybe the answer is there. In plain sight. Is it just me who refused to see it?

Monday, July 19, 2010

Hmm

Nak tulis banyak juga sebenarnya tapi sekarang ni tengah bawa mak berjalan-jalan.

Esok nak ke London kemudian akan ke Paris dan Amsterdam dan mak akan pulang dari sana. Saya pun akan pulang dari sana.

Kami berdua naik kapal terbang. Dari lapangan terbang antarabangsa Schipol. Pada hari yang sama.

Cuma ke destinasi yang berlainan.

Wednesday, May 26, 2010

kalau

Kalau dia masih ada lagi, hari ni sudah pagi-pagi lagi aku beri ucapan selamat ulang tahun.

Hanya doa untuk mu kupanjatkan.

Thursday, April 29, 2010

Salam

Blog ni dah lama sangat ditinggalkan bersawang. Maaf ye. InsyaAllah akan cuba update entry seberapa kerap. Kalau saya masih agak sibuk, mungkin nanti saya akan jemput "dua orang wanita" untuk sama-sama berkongsi cerita. Manalah tahu kalau mereka ni sudi. InsyaAllah

Sekarang ni sudah mula rasa bahang peperiksaan akhir semester. Doakan saya ye. Subjek pertama pada 6hb Mei - Media dan Sosiologi, ke dua pada 18 May - Budaya dan Geografi dan akhir sekali 27 Mei - Politik dan Kewartawanan. Huhu... ini memang direct translation.

Mohon doa kalian semoga Allah bagi ilham pada saya untuk menjawab soalan-soalan peperiksaan dengan baik dan bermutu huhuhuhu....

InsyaAllah juga sebaik saja selesai peperiksaan saya akan berdeting dengan Encik Ilham lagi untuk selesaikan manuskrip ke 3. Kalau Zahrah de Tigris, saya "berdepan" dengan isu peperangan dan politik di dua negara yang berbeza, dalam Dame Zoete Sarah pula, saya "berperang" dengan isu semasa. Yang ke 3 ini pula memerlukan saya masuk ke mesin masa dan pulang ke zaman lampau. Huh! Rasa macam Dr Who lah pula.

InsyaAllah juga kalau ikut perancangan, saya perlu selesaikan manuskrip ini dalam masa 1 - 2 bulan. Harap-harap saya disiplin ye! :)



p/s - saya suka David Tennant yang jadi Dr Who yang ke 10 ni. Best!

Monday, March 08, 2010

Berita Metro UK


METRO REPORTER - 7th March, 2010

Baby left in plastic bag on mosque steps was assumed dead by police

A baby boy died after police officers in Shelton, Stoke-on-Trent failed to notice he was still breathing.

The newborn was left on the steps for more than an hour as officers first called to the scene believed he was already dead.

On discovering their mistake, one shouted ‘get an ambulance!’. The infant was taken to hospital but died shortly after.

Said Ahmed, 64, from Shelton, who discovered the baby at the Makki Masjid mosque in Shelton, Stoke-on-Trent, said police took a look at the baby and assumed it was dead.

‘Inside the bag, resting on the baby, I was shocked to find a note that said ‘Sorry, please bury him,’’ he said. ‘After the first officer had looked in the bag no one checked it again – they just thought the baby had died.’

Law student Penelope Meadows, 21, who lives opposite, witnessed the events. ‘They put a tent over the body and seemed to be just going about their business,’ she said. ‘It looked as if they had assumed the baby was already dead. They looked panicked at discovering the baby was still alive, shouting into their police radios.’

An inquiry will now be conducted by the Independent Police Complaints Commission into Saturday’s incident.


Ini pertama kali baca dalam suratkhabar kisah bayi ditinggalkan di masjid di UK. Mungkinkah ibu atau bapa bayi tersebut selalu baca berita tentang pembuangan bayi di Malaysia? Siapa sangka di sebuah negara yang begitu mempromosi keterbukaan, masih ada insan yang tidak sanggup menanggung malu hasil mungkin dari perbuatan beliau yang tidak malu

Wednesday, December 23, 2009

Salju

Memang jarang kami di bahagian utara ni dapat salji tebal. Apatah lagi di bulan Disember. Memang sangat-sangat jarang.

Kalau bersalji pun biasanya dalam bulan Januari, Februari atau kadang-kadang apabila sudah dekat-dekat hendak masuk ke musim bunga. Biasanya kami cuma dapat hujan, rintik-rintik salji bersulam air dan angin kuat. Sejuk tu memanglah biasanya sejuk.

Allah yang mengatur alam. Kali ini Dia beri kami salji yang memutih dan suhu di antara -1C hingga -16C hampir sepanjang minggu ini. Jalan memang memutih saja. Cuma, dalam bersalji ni, yang saya takut apabila ais mula mencair dan jalan jadi licin. Jadi, berhati-hati ketika berjalan-jalan ye. Sudah dua tiga orang saya lihat yang tergelincir dan jatuh terduduk.. huhuhu... sakit tau.


Awal pagi. Lebih kurang pukul 6.45am. Salji lebih kurang dua inci tebalnya


Pokok depan flat rumah pun berdaun 'putih'


Pokok-pokok botak yang juga memutih diliputi salji


Pemandangan di luar bangunan perpustakaan universiti


Siar kaki di hadapan bangunan perpustakaan universiti


Monday, November 30, 2009

Shuaib beristighfar. Dia meraup muka dengan tapak tangan dan kemudian tangan itu diangkat hingga hampir ke paras dagu.

Hatinya yang tenang tadi ketika melunaskan solat Zohor, tiba-tiba dipagut rasa sayu yang amat sangat. Airmatanya tiba-tiba saja bergenang. Wajah insan-insan yang dia sayangi sepenuh jiwa raga bermain di ruang mata silih berganti.

Wajah umi yang lembut dan wajah abi yang ceria jelas terbayang. Sesekali wajah-wajah itu berselang seli dengan wajah bonda dan ayahanda yang semakin pudar, namun tidak sesekali dia melupakan dua insan yang berkongsi darah dengannya.

Mana mungkin dia melupakan asal usulnya dan tanah yang pernah mengajarnya erti kasih sayang dan perjuangan hidup yang sebenar.

Ya Allah, ya Tuhan kami, ampunilah segala dosa kesalahan kami dan dosa-dosa kesalahan ibu bapa kami, serta kasihanilah ibu bapa kami sebagaimana mereka berdua mengasihani kami semasa kami masih kecil.

Ya Allah! Ya Rabb! Ya Rahman, ya Rahim! Dia merintih. Ampuni dosa hamba-Mu ini ya Allah.

Shuaib pejamkan mata sekali lagi. Dia menghela nafas dalam, memenuhi ruang paru-paru dengan udara segar puncak bukit.

Setelah beberapa jam menunggang di atas jalan yang berhabuk, terasa nikmat yang tidak terhingga dapat menghirup udara segar dari atas bukit batuan dan mengucup alam lantas menyerahkan seluruh jiwa raga kepada Sang Pencipta.

Walaupun sekelilingnya suasana agak riuh rendah dengan anak-anak buah Tariq yang menyiapkan tempat perkhemahan mereka untuk berehat, Shuaib merasa tenang dan damai dapat duduk menikmati panorama indah ciptaan Ilahi.

Wajah insan-insan yang tersayang silih berganti memenuhi ruang ingatannya sehinggalah seraut wajah yang sangat indah menerpa menghilangkan bayang-bayang yang lain. Seraut wajah yang putih mulus, sepasang mata bundar yang jernih, yang kadang-kadang mampu memberi sinar tajam menikam jauh ke dalam sanubari lelakinya.

Pemilik wajah indah dan sepasang mata bundar itu memang tidak pernah jemu mengganggu jiwanya. Kasihnya kepada si empunya diri memang melimpah ruah, bertambah-tambah semenjak mereka diisytihar sah sebagai suami isteri. Namun, kecintaannya kepada kepada Ilahi mengatasi segala-galanya. Mengapa si jantung hati masih tidak dapat memahami tanggungjawabnya mempertahankan tanah air ini?

Sekali lagi Shuaib beristighfar. Hubb al-watan min al-iman, mencintai tanah air itu adalah sebahagian daripada iman. Perlu apa diragu lagi tentang tanggungjawab insan ini?

Tuesday, November 24, 2009

membaca deux

Woah dah lama tak mencatat di sini. Sebab lambat masuk uni, semester ni saya 'berlari' mengalahkan Watson Nyambek (Oh! Dia sudah perlahan sekarang kan? Tidak lagi sepantas dahulu tongue). Mana nak kejar yang itu, mana nak kejar yang ini. Hari ini saya dapat bernafas sedikit bila dua esei yang 'tamat tempohnya' serentak semalam berjaya dimasukkan ke dalam peti sebelum tengahari. Memang tak tidur malam dibuatnya.

Kita cerita buku ye? Kemilau Mutiara Raudhah. Saya sudahi dalam masa tiga hari. Err.. bukan saya pembaca lembap mahupun pantas. Ritma pembacaan saya biasa-biasa saja cuma banyak terhenti kerana melunaskan tangungjawab. Mula-mula saya nak ucapkan tahniah kepada Saidatul Saffaa atas novel sulung beliau. Tahniah juga dalam sibuk-sibuk belajar, masih berkemampuan untuk menghadiahkan sebuah naskah yang manis.
Memang saya minta khas naskah ini dari Kak Su sebab saya memang mengikuti rentetan perjalanan hidup Dr Raudhah diblog penulis. Juga sebab Dr Raudhah ni campuran Melayu dan Scottish. (Eh! Kebetulan atau disengajakan ni cik Saidatul Saffaa batting eyelashes). Oh! Lagi satu Raudhah ni bermata hijau. Bukan selalu percampuran genetik Caucasian dan Melayu dapat melahirkan zuriat yang punya bebola mata hijau, tau. Jadi Dr Raudhah ni memanglah istimewa.

Saidatul menggunakan resepi popular untuk naskah pertama beliau. Kisah cinta. Hero kacak dan heroin jelita. Hero dan heroin dikalangan orang berada. Mungkin ada orang akan jelak dengan resepi popular seperti ini tapi kekuatan'Kemilau Mutiara Raudhah' ini bukan terletak di sini. Kekuatan penulis terletak pada pembinaan watak-watak utama beliau. Benar, kisah cinta Adam dan Hawa tapi penulis menekankan disebalik fitrah manusia yang ingin bercinta itu, keutamaan haruslah kepada Allah swt dan Rasulnya Muhammad saw. Cinta juga kepada kemanusiaan terutama saudara-saudara malang kita di Palestine. Inilah kupasan cinta sebenar penulis. Watak protagonist Raudhah walaupun jelita tidak menyalah gunakan kelebihan yang dia ada untuk mendapatkan sesuatu.

Watak Izzat pula digunakan untuk menggambarkan bahawa manusia itu sentiasa berubah. Samada ke arah positif atau negatif. Raudhah hanya sebagai alasan untuk Izzat berubah tetapi dalam perjalanannya itu, Izzat langsung ikhlas untuk mencari cinta hakikinya. Keikhlasan ini yang membezakan antara sikap Izzat dan Raudhah. banyak yang boleh kita pelajari dari naskhah Kemilau Mutiara Raudhah ini. Bahasa yang lembut boleh membuatkan pembaca terbuai-buai dalam perasaan sendiri. Dalam senyum-senyum itu kita sebenarnya ditegur. Apakah selama ini kita sedar perbuatan kita itu benar dan baik ataupun tidak?

Raudhah, walaupun seorang muslimah yang tekun mengikuti ajaran Islam fitrahnya dia juga seorang wanita yang lemah. Dia tenggelam sebentar dalam perasaannya sendiri walaupun dia tahu perbuatannya itu dimurkai Allah. Izzat pula, walaupun mempunyai sejarah hidup yang bertentangan dengan Raudhah berubah menjadi seorang yang sabar, bertakwa dan belajar ikhlas dalam setiap perbuatannya terutama dengan Raudhah yang tiba-tiba jadi seorang yang 'keras kepala'.

Rasulullah bersabda:
Aku berwasiat kepada kamu supaya menjaga wanita dengan sebaik-baiknya kerana mereka dijadikan daripada tulang rusuk dan sebengkok-bengkok tulang rusuk adalah yang di bahagian teratas. Sekiranya kamu cuba meluruskannya, kamu akan mematahkannya dan sekiranya kamu biarkan sahaja dia akan terus bengkok selama-lamanya. Jesteru, berpesan-pesanlah tentang wanita (dengan kebaikan) - Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Selamat membaca thumbs up


Saturday, October 31, 2009

membaca

Selama bercuti hari tu, selamatlah habiskan beberapa buku. Terutama buku-buku percuma yang Kak Yah bagi hari tu. Antara buku-buku yang selamat dikhatamkan -

  1. Pelangi - Syud, Hlovate dan Noor Suraya
  2. Kemilau Permata Raudhah - Saidatul Saffaa
  3. Kelab Sarjana: Misteri Rumah Asap di Ladang Sri Taming - Noor Suraya
  4. Rindu Andalusia - Radwa Ashour
  5. Abu Ubaidah: Penakluk Parsi - Abdul Latip Talib
  6. The Memoirs of Shamsiah Fakeh -From Awas to 10th Regiment
Macamana nak review buku-buku ni semua ye?

Pelangi
Tiga ceritera dalam Pelangi memang menghiburkan dengan cara penulisan penulis yang tersendiri. Ketiga-tiganya punya kekuatan yang tersendiri. Syud dengan heroin yang selamba dan punya hati yang lembut dalam beku, Hlovate juga tetap dengan cara penyampaian yang sempoi dan penuh dengan slanga skateboarder dan Kak Su pula dalam lembut menyampaikan cerita Durrah yang tidak punya 'cita-cita' tetap sinis melancarkan 'roket' nasihatnya.

Saya tak mahu terlebih-lebih review buku ini kerana bagi saya ia adalah satu buku yang penuh interpretasi tersendiri. Dalam Pelangi Syud, saya faham dengan sifat Iman yang tidak pandai mengekspresikan diri. Dia merasa dia bekorban untuk orang lain sedangkan bagi saya dia seorang yang egois. Sifat yang kadang-kadang ada pada diri sendiri. Namun, penghujung Pelangi ini tetap manis.

Untuk Ked's Story juga is cerita yang tersendiri tapi tetap menyerlahkan cara penulisan Hlovate. Kadang-kadang kita boleh mengaggak bagaimana sesuatu ceritera itu akan berakhir hanya kadang-kadang jalan ke penghujung tu dipenuhi oleh liku-liku yang panjang. Ked's Story tetap manis. Cuma saya mungkin sudah agak jauh meninggalkan dunia Ked :)

Untuk Rumah Kecil di Ujung Padang - Yang pasti awalnya saya sakit hati dengan Durrah yang hanyut dalam cinta hingga tidak ada cita-cita hendak meningkatkan diri sendiri. Tapi, perlahan-lahan Durrah bangkit mencari diri dan bertemu dengan keistimewaan tersendiri sehingga boleh bangun berdiri atas kaki sendiri - walaupun sedikit lambat.

Nak suka yang mana satu ye?

Rasanya memang suka ketiga-tiga ceritera dalam Pelangi walaupun rasanya sudah jauh touch base dengan skateboarding huhuhu.

Memang hakikatnya hati wanita itu lembut. Walaupun sesekali hendak berlagak macho macam tak ada rasa apa-apa atau tidak terluka, hakikatnya hati wanita itu minta dibelai, dimanja dan dicintai. Bila sekali terluka, macam-macam perkara boleh dilakukan oleh si empunya hati yang kecewa. (Semoga jangan lupa cinta pada pencipta itu adalah cinta hakiki).

Jawapannya perasaan cinta itu adalah sangat abstrak! Seperti juga kata Ibnu Hasym, seorang pujangga, ulama dan ahli hukum yang terkenal di Andalusia dalam bukunya Thauqul Hamamah (Kalung Merpati)

Cinta itu bagaikan pohon, akarnya menghujam ke tanah dan pucuknya banyak buah
Dalamnya makna sebuah cinta untuk Ibnu Hasym.

Sunday, September 20, 2009


Salam Eidulfitr 1430. Maafkan segala keterlanjuran kata dan perbuatan. Semoga bergembira di hari lebaran.

Glasgow
1 Syawal 1430