Bagi saya, menghasilkan sesebuah karya perlu seimbang antara fakta dan imaginasi. Tapi untuk perkarya sains fiksyen, daya imaginasi perlu melangkau fakta semasa. Namun, fakta itu tetap perlu dalam sesebuah karya untuk melahirkan satu rasa 'realiti' pada pembaca supaya pembaca dapat 'relate' dengan bacaan mereka. Dengan itu kita dapat 'hook' pembaca supaya membaca hingga noktah yang terakhir.
Banyakkan bahan bacaan, bukan saja karya fiksyen penulis-penulis lain tapi, yang penting juga kita perlu peka dengan berita semasa. Lebih menarik lagi sekiranya kita dapat sulami imaginasi kita dalam 'setting' realiti seperti banyak karya penulis berbahasa Inggeris. Salah satu contoh fiksyen yang bersulam dengan realiti yang dianyam dengan begitu menarik sekali adalah buku karya Dan Brown - The DaVinci Code. Penceritaan dibuat dengan teliti sehingga pembaca biasa payah untuk memisahkan mana fakta dan mana fiksyen.
Bagaimana hendak berimaginasi?
Biasanya saya mulakan imaginasi saya dengan bertanya pada diri - 'Bagaimana kalau?' Dari situ saya biarkan imaginasi saya berkembang tanpa sekatan. Dan apabila saya sudah mula mencipta karektor sama ada protagonis atau antagonis dan mencipta watak mereka, saya akan biarkan 'mereka' yang menentukan jalan mana yang harus diteruskan. Memang seronok melihat 'mereka' menyelesaikan masalah mereka. Kadang-kadang rasa hendak tarik rambut juga dengan kerenah 'mereka'. Tapi apabila semuanya sudah selesai, saya puas hati.
Tapi yang paling penting.
Bagi saya kita sentiasa belajar. Saya cuba tanamkan sifah mahmudah dalam hati. Kita tak tahu semua perkara jadi perlu kita sentiasa belajar perkara baru. Lagi satu, apabila karya kita sudah dinilai, menjalani proses mengedit dan cetakan, saya harus terima setiap komen dari para pembaca sebagai pengkritik utama yang sudah meluangkan masa membaca karya saya. Ada komen yang membina dan ada komen yang mungkin mencalar perasaan kita. Tapi itu saya anggap sebagai asam garam dalam kehidupan kita sehari-hari. Ada orang suka dan ada orang tak suka. Saya senang dengan komen yang membina, memberitahu saya apa yang mereka suka pada sesebuah karya itu dan apa yang mereka tidak suka. Jika komen itu tidak membina atau mempunyai unsur-unsur mahu menjatuhkan seseorang penulis itu, bagi saya, abaikan saja. Tak perlu simpan dalam hati.
Untuk penulis semua, selamat berkarya dan untuk bakal penulis, teruskan usaha menulis dan hantarlah karya anda pada mana-mana penerbit yang anda rasa baik untuk penilaian.
Semoga berjaya.