Langit kelabu saja. Awannya berkepul-kepul dan anginnya dingin.
Bila kat luar langit mandom macam ni, hati pun jadi sama mandom juga. Tapi, masih juga bermasalah nak menghabiskan manuskrip untuk bab-bab yang mandom ni. Hailah! Entah bila nak habis agaknya.
Nak buat apa agaknya hari ni? Kemas rumah. Semangat dah tanam tapi kemalasan masih lagi melanda. Adoi..
*Sigh* hari ni hari tarakhir 'bercuti', minggu depan dah kena mula kerja balik. Boleh ke nak bangun pagi ni? Dah sebulan bangun tidur jam 9am atau paling awal 7.15am. Nampak gaya lepas ni tak boleh dah tidur lepas subuh.
“Senjata apakah itu yang tersisip di pinggangmu. Kecil saja, hanya layak untuk senjata bagi seorang perempuan,” tegur Tariq sambil mengusik.
Shuaib menarik senjata yang masih tersembunyi di dalam warangka yang dibuat dari tanduk kerbau. Walaupun ringkas, sampir yang berbentuk seperti perahu melintang itu tetap berhias salutan perak berukir halus.
Perlahan-lahan dia menarik keluar mata atau pamor keris yang dibuat dari tahi bintang. Tidak seperti mata pedangnya yang bersinar-sinar dipanah matahari, pamor keris itu kelihatan kusam saja. Tapi jangan sekali-kali dipandang rendah akan ketajaman keris berluk gasal ini. Irama luknya tidak terlalu rengkol atau samar, hanya sedang-sedang saja namun mampu merodok perut musuh dan menyembur darah merah lalu mencabut nyawa, dengan izin Allah.
Keris itu bukan keris Mataram yang ditempah dengan sembilan jenis besi dari sembilan tempat yang berbeza dan punya kesaktian luar biasa. Kerisnya itu bukan jua keris yang digunakan oleh panglima terbilang Hang Tuah bernama Taming Sari yang dibuat dari dua puluh jenis besi. Kerisnya itu hanyalah keris yang ditempah oleh ayahandanya menggunakan besi dari tahi bintang dan dihadiahkan sewaktu usianya baru tiga tahun.
Senjata bermata dua itu bukan sekadar alat mempertahankan diri, tetapi ia juga adalah lambang budaya masyarakat Melayu yang dia pegang kemas walaupun sudah beribu-ribu batu jauhnya dari tanah tumpah darahnya.
Saya ni bila masuk bab-bab nak kena sedih dan mandom, saya mesti jarang lepas dengan jayanya. Mesti ada banyak halangannya. Susah betul nak tulis scene sedih-sedih ni. Payah nak menjiwainya!
Tapi, kalau bab-bab auta ke, bab marah ke, bab saspen ke... lajuu aje idea turun. Tapi bila kena masuk bab sedih-sedih, idea mesti sangkut Apasal la agaknya.
Nak kena tuntut ilmu dari si Nazurah Aisyah agaknya ni?
“Kau puas dengan kuliah tadi?” soal Catalina. Mereka sedang duduk-duduk di bawah salah satu pohon rendang yang ditanam di tepi laman dalam bangunan Madrasah. Buku-buku bertaburan di sekeliling mereka.
“Aku suka dengan kata-kata beliau, ‘manusia itu sebenarnya jahil’,” balas Salma. Dia tersenyum kecil mengingatkan kuliah kitab Muqaddimah tadi. “Sebab itu Rasulullah sallallahu alaihi wasallam, semoga Allah merahmati baginda, menggalakkan kita menuntut ilmu walau ke negeri China sekalipun.”
“Dan falsafah tidak dapat menerangkan hal ketuhanan,” balas Catalina pula. Dia turut tersenyum. Baru kini dia benar-benar faham mengapa sahabatnya Salma benar-benar mengkagumi ahli ilmuan Abdurrahman Abu Zayd ibn Muhammad ibn Muhammad ibn Khaldun Al-Hadrami. Ini kerana buah fikirannya sungguh bernas dan kedepan melangkaui masa dan zamannya.
“Kau ada kuliah lain lagi hari ini, Catalina?”
Catalina menganggukkan kepala. Dia mengangkatbuku bertajuk Tahsil al-gharad al-qasid fi tafil al-marad alwafid tulisan Ahmed ibn Ali Ibn Khatimah, seorang tabib dan juga pemuisi terkemuka dari Almeria.
“Kami akan belajar tentang penyakit berjangkit,” katanya lalu mengerutkan hidung. “Kami akan belajar tentang wabak Bubonik yang melanda bumi ini sekitar tahun 749 hingga 755 Hijrah.”
“Wah menarik sungguh tu. Bukankah hampir satu per tiga dari penduduk Eroba mati disebabkan wabak ini?” tanya Salma.
Catalina menarik sebuah buku berjudul Tahqiq an n-naba’ an amr al-waba’ tulisan Mohammed ibn Ali Ash-Saquri pula. Beliau merupakan seorang tabib yang sangat terkenal di Karnattah ini dan anak didik Muhammad ibn Abdullah ibn Said ibn Ali ibn Ahmad al-Salmani yang tersohor.
“Menurut Mohammed ibn Ali Ash-Saquri, wabak ini disebarkan dari seorang ke seorang. Sedangkan dengan hanya memakai al-halak yang pernah dipakai oleh orang lain yang sudah terkena jangkitan ini sahaja, membolehkan wabak ini disebarkan.”
“Kami akan belajar bagaimana seorang warak Ibn Abi Madyan di Salé yang percaya bahawa wabak ini berjangkit, lalu telah menjadikan rumahnya seperti sebuah kubu lantas mengurung keluarganya di dalam. Apabila wabak ini telah terebar di seluruh bandar, tidak ada satu pun ahli keluarganya yang jatuh sakit,” cerita Catalina.
“Begitu juga dengan banduan-banduan di Seville di mana mereka juga telah terselamat dari jangkitan wabak berkenaan. Ada juga berita yang mengatakan kumpulan Badwi yang tinggal di khemah-khemah di padang pasir juga turut terselamat dari wabak ini tetapi ia dikatakan kerana udara di situ terbuka dan luas.” Bertambah semangat Catalina bercerita dengan sahabatnya Salma. Semangatnya hendak menjadi tabib sehebat Abu Ali al-Husain ibn Abdullah ibn Sina.