Followers

Friday, May 13, 2011

projek 4.B



“Ni, yang kau datang pejabat aku ni, suami kau tahu tak?” soal Ati. Walaupun polisi pejabatnya agak terbuka, di mana kawan-kawan boleh datang melawat, dia tidak sukalah Asma selalu ke sini tanpa izin suami.

“Tahu... aku hantar SMS kata aku kat ofis kau,” jawab Asma.

“Baliklah... tak payah nak berkampung kat ofis aku ni.”

“Kau ni Ati kejam betullah. Aku harap satu hari nanti kau akan jatuh cinta dan berkahwin. Baru kau tahu macam mana seksanya kalau suami tak sayangkan kau,” kata Asma sambil mencemik bibir.

“Tak akan,” jawab Ati.

“Jangan sombong Ati. Nanti bila Allah terbitkan rasa cinta kat hati kau, baru kau tahu,” jawab Asma.

Ati tersenyum kecil. Asma tidak tahu hari-hari dia berdoa semoga Allah tutup hatinya untuk mana-mana lelaki atau mana-mana lelaki tak pandang pun dia!

“Pergilah balik!”

Asma tiba-tiba mengangkat kedua-dua tangannya hingga hampir ke paras bahu. “Ya Allah ya Tuhanku. Semoga Kau terbitkan rasa cinta terhadap seorang lelaki yang baik untuk sahabat aku ini, Ati. Semoga dia dapat merasa manisnya cinta antara seorang Adam dan seorang Hawa. Amin ya Robbul Al-Amin.” Asma meraup muka. Dia tersengih memandang Ati.

“Yang kau ni dah ke rasa cinta antara Adam dan Hawa?” perli Ati. “Yang aku tahu cuma cinta bertepuk sebelah tangan aje!”

Muka Asma semakin masam. “Suatu hari nanti Ati... suatu hari nanti!”

“Isy! Mengugut pulak.”

Mata Asma terkebil-kebil. Wajahnya kembali mendung. Dari pengamatan Ati, sahabatnya itu sedang memikirkan sesuatu yang berat.

“Hah! Kenapa pula ni?” sergah Ati.

“Mungkin sebab aku ni tak cantik, maka suami aku tak mahukan aku...” suaranya perlahan. Air mata sudah bergenang di tubir mata.

Ati cepat-cepat menarik tangan sahabatnya, mengheret Asma masuk ke pantri. Nasib baik tadi dia lihat memang tidak ada orang di pantri pejabat.

“Kau ni kenapa?” soal Ati sebaik saja dia menolak sahabatnya itu duduk di salah satu kerusi yang menjadi pasangan meja bulat di dalam bilik yang dijadikan pantri untuk kakitangan pejabat ini.

“Suami aku... Ati.” Suara Asma sudah putus-putus. Dia meletakkan tangan di atas meja lalu terus meyembamkan wajahnya, menyembunyikan sendu yang semakin kuat.

Seorang lelaki pelukis pelan, tiba-tiba saja berlenggang masuk ke pantri. Di tangannya sebuah mug kosong. Langkahnya terhenti tiba-tiba. Ati angkat muka pandang wajah lelaki itu. Pandangan mereka bersatu sesaat dua.

Lelaki itu terus menghalakan pandangan ke arah water dispenser untuk air panas dan sejuk. Kemudian sekali lagi dia memandang Ati. Ati hanya membalas pandangan lelaki itu dengan wajah tanpa emosi. Tangannya saja yang menepuk lembut bahu Asma yang terhingguk-hingguk menangis tanpa suara.

Lelaki itu mengeluh. Dia berpusing lalu keluar dari pantri.

Ati berpaling lalu menarik sebuah kerusi lagi lalu duduk di sebelah Asma. Dia bukan seorang yang kejam. Mereka berbeza bukan setakat dari segi perawakan tetapi perwatakan juga. Asma seorang yang sangat baik dan lurus, manakala Ati sukar untuk bersahabat.

Kadang-kadang memang Ati geram dengan Asma tapi itu tidak bermakna Ati tidak mahu Asma merasa gembira. Lebih-lebih lagi sekarang. Ati tidak suka Asma menangis. Ati tidak suka Asma terlalu membazir air mata dan perasaan kerana seorang lelaki yang tidak tahu langsung menjaga perasaan isterinya!

“As, kenapa?” soal Ati lembut.

“Aku sudah jatuh cinta dengan dia...”

Ati mengeluh. Memang dia tahu Asma cintakan suaminya. “Nanti kita tanya Khalid. Aku tak tahu...” Ati diam seketika. “Aku tak tahu nak buat macamana, aku tak ada pengalaman bercinta.”

*********************************************************************

2 comments:

notie said...

Wah... cam best je... ni projek yg terbaru ke? Hish tak sabo ni.... adakah pelukis pelan tu jadi pembuka hati Ati...emmm nak jadi Ati lah sat hahahaha Pss tu nama tak glemer akak kat kampung. hahaha. Ati nak jadi wirawati penyelamat dari ke egooan suami asma. yeh

khairyn said...

Ahahahaha Kak notie sabarrrr...

Ati ada orang lain yang suka kat dia. Asma kena settle masalah dia sendiri. Kita tunggu dan lihat macamam mana Asma nak pikat suami sendiri. Berjaya ke tidak? hahahaha

pssstt.. saya kan suka nama simple2 ni. Nama Ati ni best kan? Tak glamer tapi istimewa kan? hehehe