Followers

Monday, September 10, 2012

Purdah/niqab

Salam

Tadi, saya berehat seketika daripada menaip dan saja-saja meng'google' tajuk buku pertama saya - Zahrah de Tigris dan saya terjumpa satu blog kepunyaan seorang pembaca yang bercerita mengenai dia terdengar dua orang makcik bercerita mengenai wanita memakai purdah dan niqab.

Saya sangat tertarik apabila dia mengaitkan cerita dua orang makcik itu dengan buku saya di mana dia memetik saya menulis mengenani pamakaian purdah dan niqab (m/s 35 &38) - di mana saya mengatakan ia lebih daripada budaya dan bukan lambang orang Islam. Beliau menegur:

"Habis yang pakai niqab serata dunia selain Arab ni meniru budaya Arab lah ya. Ada baiknya kita membuat homework dahulu sebelum tulis apa-apa. Sejauh mana kebenaran pemakaian niqab itu adalah budaya orang Arab?"

Untuk tidak mahu mengelirukan pembaca, saya tegaskan memakai niqab/purdah adalah BUDAYA dan bukan tuntutan. Sekiranya wanita Islam menutup aurat mereka seperti yang dituntut itu, dengan sempurna, maka kita menurut tuntutan Islam. Fahami perbezaan antara budaya dan tuntutan.

Saya tetap buat "homework" sebelum mula menulis. Saya bertanyakan pada yang arif dalam bidang mereka. Saya tidak bergantung kepada encik/puan/cik google sewaktu menulis. Saya pastikan saya ada buku-buku rujukan.

Bukankah Allah menetapkan untuk wanita itu, seluruh tubuh, kecuali muka dan tapak tangan itu adalah aurat. Allah tidak menyebut menyuruh tutup seluruh muka dan hanya mata saja dibiarkan terbuka. Allah tak kejam. Jangan buruk sangka dengan Allah.

Tapi  isteri-isteri Rasulullah s.a.w diperintahkan untuk memakai niqab. Ini untuk menjaga martabat mereka sebagai isteri Rasul terakhir kita. 

Saya tidak pernah menolak wanita yang mahu memakai niqab atau purdah demi untuk memperbaiki pertaliannya imannya dengan Allah. Saya cuma menerangkan bahawa pemakaian niqab itu adalah budaya, bukan tuntutan. Kalau ia satu tuntutan maka majoriti wanita Islam di dunia ini berdosa kerana menunjukkan wajah mereka kepada lelaki yang bukan mahram.

Dan bukan juga di sini saya mengatakan adalah sangat boleh untuk wanita itu merias wajah untuk lelaki yang bukan mahram. Tidak. Saya cuma mengingatkan diri saya Allah itu tidak kejam. Allah maha mengetahui apa yang terlintas dan apa yang berlaku di dunia ciptaanNya. Allah tidak menyusahkan hamba-Nya.

Penutupan aurat dituntut. Garis panduan untuk menutup aurat itu telah diberikan. Cara pemakaian adalah bergantung kepada budaya dan keperluan sesuatu tempat itu. 

Mengapa lelaki Islam di Malaysia senang memakai seluar slack, kemeja yang gayanya itu sebenarnya di bawa dari Barat? Sedangkan kita ada budaya pakaian sendiri, kain pelikat, baju Melayu, itu pun menutup aurat lelaki sebenarnya. Mengapa di Malaysia ramai yang memakai tudung 'Syria' misalnya? Selendang tradisi Melayu yang dipakai elok (tidak jarang, nampak rambut, leher), apakah tidak menetapi syarat? 

Jangan terlalu sempitkan pemikiran kita dan terlalu taksub dengan sesuatu perkara itu. Sesiapa yang mahu memakai niqab/purdah, silakan. Itu adalah pilihan. Tapi, sesiapa yang masih lagi belum menutup auratnya dengan sempurna.. berusahalah. Semoga Allah membantu menguatkan semangat kita untuk berubah menjadi yang lebih baik, di dunia mahupun di akhirat.

Amin


Jom lihat akhlak mereka