Followers

Tuesday, June 28, 2011

Jiwa Pemberontak

Awas! Ini adalah entri jiwa kacau. Maafkan bahasa yang bercelaru.
(p/s - saya kalau marah, otak saya akan bergerak dalam bahasa lingua franca antarabangsa)

Saya memang berjiwa pemberontak. Dari dulu kini dan selamanya. (Huh! Bertambah memberontak saya dengan tagline ni). Sedangkan di universiti pun saya ikut kumpulan anti peperangan menawan bangunan pendaftaran, apalah sangat kalau sekarang saya pakai lencana kuning. Itu cuma pakai saja, bukan betul-betul di barisan hadapan!

Tapi sikap segelintir kawan-kawan di sini yang terlalu emosional dengan parti yang mereka sokong benar-benar menjengkelkan saya. Apakah saya seorang yang sudah bertahun-tahun layak mengundi ini tidak boleh langsung ekspresikan kepercayaan saya? Memilih apa yang saya mahu? Perlukah saya MESTI buat apa yang mereka mahu?

Tolonglah!

Siapa yang saya sokong, apa yang saya mahu. Itu adalah hak saya. Kalau saya nak sokong KELING (bahasa Interlok) sekalipun, itu adalah HAK saya. Kalau saya mahu berjalan kaki berkilometer jauhnya pun, sekali lagi saya tekankan itu adalah HAK saya. Selagi saya tidak melanggar hukum ALLAH, maknanya saya BERHAK atas setiap perbuatan saya.

Seorang sahabat menuduh saya, mengikut secara melulu hanya kerana lencana kuning. Menggunakan Islam untuk menakut-nakutkan saya. Bukankah pemerintah sekarang ini sudah baik? Memberi kebebasan kepada kita untuk beragama secara maksimum? Negara harmoni, aman damai.

Tolonglah!!

Untuk mencapai keharmonian ini pun sudah belanja duit berapa juta? Hanya kerana nak buat tiang 'walid' dengan mim alif lam ya sin ya alif? Dan menyanyi lagu sambil kibar-kibar bendera? Tapi kenapa masih ada lagi semangat perkauman antara bangsa?? Kemudian bila tiba hari perhimpunan, sibuk pula bercanang ketuanan Melayu? Schizophrenia atau bipolar disorder??

Sebenarnya tuan, bukan kami yang tak tahu bermuafakat bersama bangsa lain tetapi tuan yang menyebabkan perpecahan dan saling tak percaya. Zaman saya sekolah dulu langsung tak ada tiang walid, tapi harmoni saja. Bukan setakat Melayu, India Cina, malah boleh aje berkawan dengan kawan-kawan dari Indonesia! Tak ada masalah pun.

Sistem pendidikan tuan yang ditukar untuk kanak-kanak dari sekolah rendah hingga ke universiti telah melahirkan graduan-graduan yang mahu menjadi tolol! Tidak kreatif, tidak kritis dan yang paling bagus sekali graduan yang MALAS BERFIKIR. Tanya lebih sikit, jawapannya pasti MALAS NAK FIKIR. Syabas!

Jadilah mereka ini generasi yang malas dan lebih suka menjadi lembu yang dicucuk hidung. Tapi Alhamdulillah, sekarang sudah berubah. Ramai juga yang sudah boleh berfikir cuma sikap MALAS itu yang masih menebal. Syabas sekali lagi.

Untuk sahabat yang benci melihat lencana kuningku,

Kalau hebat sangat pemerintah sekarang kenapa sudah berpuluh-puluh tahun inipun masih tidak dapat mentadbir dengan baik? Kata kita negara yang kaya dengan hasil bumi... tapi mana pergi kekayaan itu? Kenapa kita masih lagi dihimpit dengan hutang-hutang? Mana pergi duit rakyat? Tak cukup dengan itu, jual pula bon orang Melayu. Dari 25billion tinggal 2billion. Sudah potong subsidi rakyat, duit itu pula dibuat berjoli-joli.

Kata mak saya, nanti mereka kena jawab di padang masyhar. Teruk tu, berjuta-juta rakyat menuntut keadilan. Kata saya pula, sekarang ini pun saya mahu menuntut hak saya. Tapi kalau tak dapat tak apa, saham tu boleh tolong untuk imbangkan 'dacing' saya nanti. Insya-Allah.

Tekad saya untuk beribadah melalui penulisan. Biar sama-sama terima pengisian. Nuansa Kota Merah ini pun isinya tentang perjuangan menentang kebaculan dan menuntut keadilan (Huh! Sempat promote lagi ni). Sekiranya kita gagal berjuang, anak dan cucu kita yang akan menerima akibatnya. Kalau kita sayang generasi kita, jadi fikirkanlah dan lakukanlah tanggungjawab kita.

Jadi, kalau saya mahukan perubahan.. salahkah?

Yang benar

Saya

Penyokong mereka yang rajin berjalan melaung dan pakai baju kuning

Sunday, June 19, 2011

Alhamdulillah, alhamdulillah

Apa lagi yang boleh saya katakan lagi selain dari ucapan syukur pada Allah swt yang memberi ruang untuk saya selesaikan Nuansa Kota Merah ~ Khairyn Othman

OKEY! Sebelum orang lain bedah buku saya, biar saya sebagai tuan punya buku cerita sedikit sebanyak fasal Nuansa Kota Merah (NKM) ni. Dan saya harap sangat-sangat pembaca dapat baca NKM dengan hati dan fikiran terbuka kerana plotnya agak berat.

Bismillahirrahmanirrahim
Plot NKM dibina waktu saya mencari-cari makna cinta yang sebenar dalam tema yang berlainan. Kita semua perlu cinta, tapi cinta apa yang kita mahu? Sanggup tak kita berkorban demi cinta pilihan kita? Inilah persoalan yang ingin saya ketengahkan dalam NKM.

Rasanya ini pun manuskrip yang mengambil masa paling lama yang pernah saya tulis. Memang saya banyak buat reference untuk plot NKM; dari sudut bahasa, budaya, geografi, sejarah, hadis dan surah Kalam Allah. Selain buku-buku dan bahan-bahan internet, sahabat-sahabatlah yang jadi reference saya. Rasa bersyukur sangat-sangat kerana waktu menulis itu, saya dikelilingi oleh sahabat-sahabat yang sangat-sangat membantu. Intelekual di dalam bidang masing-masing.

Seperti tulisan di kulit belakang buku, NKM membawa pembaca merentasi benua dan masa. Kalau dalam Zahrah de Tigris, saya bawa pembaca ke Baghdad, Iraq dan Acheh, Indonesia, dalam Dame Zoete Sarah pula pembaca mengembara dari Johor Bahru ke Belanda dan kemudian ke Kota Paris.Untuk NKM, saya nak bawa pembaca semua ke bumi Sepanyol dan kemudian mengembara merentas masa, beratus tahun ke zaman silam.

Kenapa Sepanyol?

Sebab saya suka! huhuhu. Saya jatuh cinta dengan Sepanyol masa mula-mula saya dan dua rakan pergi backpacking keliling Eropah Tengah pada tahun 2001. Maknanya tahun ini dan dalam bulan ini genaplah 10 tahun kembara kami bertiga. Sahabat saya seorang peminat pasukan Real Madrid tegar. Jadi kami ke Madrid berlegar-legar ke kota tuan rumah kelab pasukan terkemuka Sepanyol. Sempat juga kami ke Cordoba melawat Mezquita Cathedral, sebuah gereja yang ditukar menjadi masjid kemudian ditukar kembali menjadi gereja.

Lawatan singkat ke Cordoba memang tidak mencukupi. Tahun 2004, saya dan sahabat saya kembali lagi ke negara Sepanyol dan kali ini kami dedikasikan kembara kami untuk melawat bekas kota-kota Islam zaman Pertengahan.

Seperti biasa kami akan ke Madrid
dahulu. Tempat wajib untuk beri peluang sahabat saya menonton aksi perlawanan sepak bola kelab kegemarannya. Selepas Madrid, kami melawat bandar Toledo, Seville dan Granada, melihat kesan-kesan peninggalan tamaddun Islam di sana. Mendengar patah perkataan dan budaya orang Sepanyol yang ada pengaruh Arab.

Dan bagaimana untuk memastikan Deen Islam itu lenyap dari mukabumi Sepanyol, babi pula dijadikan makanan wajib untuk mereka.

Setelah penaklukan semula, Raja Fernando (Ferdinand) dan Ratu Isabella (Isabel/Isobel) sering mengadakan makan-makan
dan memaksa orang Islam di Sepanyol menghadiri banquet ini. Dalam jamuan, daging babi akan dihidangkan kepada mereka dan sesiapa yang tidak menjamah daging babi, maka mereka akan ditangkap. Inilah cara untuk Raja dan Ratu mengetahui sama ada orang itu masih lagi mengamalkan ajaran Islam atau tidak dan sampai sekarang daging babi dijadikan makanan wajib di Sepanyol hingga ada pula Jamon Museum merata-rata di setiap ceruk negara Sepanyol.

Sejarah Sepanyol memang menarik minat saya. Maka, dari asas sejarah yang menarik minat saya ini, saya sekali lagi bermain-main dengan perkataan "What if?".

NKM ini cumalah cerita fiksyen. Tidak ada kaitan manusia, sama ada yang masih hidup atau sudah meninggal dunia. Ia hasil dari khayalan saya semata-mata. Saya mohon pembaca baca NKM dengan kritis dan minda yang terbuka, dan bacalah dengan tenang. Saya nak ajak pembaca bermain-main dengan perkataan "What ifs" seperti saya.

Nuansa Kota Merah bukanlah cerita cinta lelaki dan perempuan semata-mata. NKM adalah kisah cinta yang lebih luas. Cinta kita pada agama, pada bangsa dan pada tanah air. Ia juga kisah tentang perjuangan dan pengorbanan.

"Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung."

Selamat bertemu di Pesta Buku Selangor 2011 dan Selamat Membaca :)

Monday, June 06, 2011

Teh tarik? Jom!

“DALAM HIDUP KITA, ada perkara yang kita memang kena fight habis-habisan, tak boleh bagi chance langsung,” kata Hanif. Dia merenung gelas teh tarik yang isinya tinggal separuh.

Gelas itu kemudian diangkat dan isinya diteguk sedikit. Dia meletakkan kembali gelas di atas meja. Tepat di atas bulatan sisa air teh yang mengalir dan melekat di atas meja plastik empat segi warna merah.

“Tapi ada perkara juga yang kita, walaupun kita tak suka, tapi kita perlu terima seikhlas hati. Perlu reda.”

Hafiz pandang wajah abang sulungnya dalam-dalam. “Maksud kau?”

Hanif angkat wajah pandang Hafiz. Pandangan mereka bertaut seketika. Dia tersengih. “Kau terima ajelah cadangan mak nak jodohkan kau dengan perempuan yang dia suka tu.”

“Eh?” Hafiz beliakkan mata. Dia kemudian berpaling memandang Fadhil yang mendiamkan diri dari tadi.

Mereka bertiga duduk di warung kopi Pak Senan di hujung jalan. Malam-malam begini warung kopi Pak Senan memang sibuk dengan pelanggan, terutamanya anak-anak muda awal 20an yang suka bersembang hingga dinihari.

Tapi warung Pak Senan ni dikunjungi pelanggan bukan sebab nak melepak saja, tetapi juga sebab nasi lemak pelbagai lauk Pak Senan tu, sedap. Kalah Nasi Lemak Antarabangsa yang dah difrancaiskan sekarang ni. Harganya pun jauh lebih murah.

“Aku dah 30 tahun. Tak patutkah aku buat keputusan aku sendiri fasal siapa jodoh aku?” soal Hafiz. Soalan itu sebenarnya tidak ditujukan kepada sesiapapun. Dia cuma menyatakan fakta dari sudut kata soal.

“Silap.” Tiba-tiba saja Fadhil bersuara. “Hal jodoh dan mati itu urusan Allah. Kita cuma perlu berusaha untuk mendapatkan yang terbaik.”

Adoyai!” Hafiz terjerit kecil. “Boleh tak? Aku tak nak kahwin dengan tukang jahit tu.”

Fadhil dan Hanif saling berpandangan. Isy! Umur saja sudah menjangkau 30 tahun, tapi perangai macam budak umur 13 tahun. Tak matang langsung!

“Kau ni memang dah tetap hatilah ni nak kahwin dengan Safia?” soal Hanif. Hal cinta ni memang sulit, Hafiz pula seorang yang degil. Ah! Anak-anak mak ni, siapa yang tak degil?

“Aku memang nak kahwin sangat dengan Safia,” jawab Hafiz.

“Safia nak kahwin dengan kau?” soal Fadhil pula. Dia memandang tajam wajah Hafiz. Sibuk sangat nak kahwin dengan Safia, tapi betulkah wanita itu mahukan si Hafiz?

Hafiz terdiam. Safia memang bersedia hendak menjadi isteri Hafiz... tapi... sebenarnya bersyarat. Safia akan jadi isteri Hafiz sekiranya semua orang, termasuk ibu Hafiz merestui perkahwinan mereka.

“Safia setuju... tapi... dia kata kami mesti dapat restu semua orang,” jawab Hafiz jujur. Walaupun dia sudah berusia 30 tahun, dia masih lagi punya keluarga, punya abang dan kakak, dan yang paling penting sekali, punya emak.

Huh! Matang lagi Safia kalau nak dibandingkan dengan Hafiz, fikir Hanif. Ah! Mungkin kerana Safia sudah mengalami hidup berumahtangga, bukan macam Hafiz yang masih lagi bujang trang tang tang!

Hafiz mendengus. Sedegil-degil dia, dia masih lagi belum menderhaka kepada ibunya. Dan dia tidak mahulah mulakan penderhakaan yang pertama dengan mengahwini perempuan tanpa restu orang tua. Tak aman hidup. Ataupun nanti kena sumpah jadi batu macam Si Tanggang atau Si Malin Kundang.

“Kalau macam tu, kau terima ajelah pilihan mak,” usul Fadhil.

“Macam mana aku nak terima, kalau hati aku sendiri tak boleh terima perempuan tu?” soal Hafiz. Dia memandang wajah Fadhil. “Ini perkara seumur hidup, pengembangan zuriat. Bukan hal seminggu dua!”

Fadhil tersengih. Mungkin tak ramai lelaki macam dia dan Hanif yang boleh terima sesiapa saja jodoh mereka yang telah ditetapkan Allah dan direstui oleh ibu bapa masing-masing.

Fadhil tak berapa memilih tentang jodoh. Yang penting ibu bapanya setuju dan dia pun setuju dengan pilihan itu kerana dia tahu ibu bapanya pasti akan memilih seorang wanita yang patuh pada ajaran agama. Itu yang penting!

Tidak ada ibu bapa dalam dunia ini yang mahu anaknya menderita.

“Apa kurangnya perempuan yang mak pilih untuk kau tu?” soal Hanif. Dia mengangkat gelas teh tarik. Isinya dihirup hingga habis.

“Bukan kurang tapi lebih,” jawab Hafiz acuh tak acuh.

“Lebih? Baguslah kalau banyak kelebihan...”

“Kelebihan lemak.” Pintas Hafiz. Dia menjegilkan mata. “Gemuk!”

Hampir tersembur teh tarik Hanif. Cepat-cepat dia telan. Dia terbatuk-batuk hingga matanya berair. Fadhil di sebelah sudah ketawa berdekah-dekah.

“Gemuk sangat ke?” soal Hanif setelah batuknya reda. Dia menarik sehelai tisu dari tempat tisu berbentuk bulat, warna merah jambu. “Gemuk gedempol?”

Sekali lagi ketawa Fadhil meletus. Dia ketawa sampai tertunduk-tunduk kepala.

Hafiz turut ketawa melihat gelagat abang sulung dan abang iparnya. Kedua-dua mereka menarik tisu lagi lalu mengelap mata yang berair.

“Tak adalah gemuk gedempol,” kata Hafiz setelah tawanya reda. “Tapi tak menarik langsung.”

“Maksud kau, tak ada potongan badan?” soal Hanif lagi. Sudah alang kepalang bercerita, biarlah sampai dia faham... hehehe.

“Bukan tak ada potongan badan... tapi jenis yang tak pandai bergaya. Ada juga orang yang tembam ke gemuk ke, tapi masih lagi nampak menarik sebab tahu bergaya. Ini baju kurung dengan tudung ala mini telekung. Susahlah nak buat lelaki terpikat,” jawab Hafiz dengan selamba.

Hanif dan Fadhil berpandangan. Akhirnya Fadhil berdehem.

“Kau nak cari isteri ikut nafsu ke ikut sunnah Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam?” soal Fadhil. “Dinikahi seorang isteri itu kerana empat perkara; harta, keturunan, kecantikan dan agamanya, tapi pilihlah agamanya, nescaya akan bahagia.”

“Bukan tak boleh pilih atas sebab harta, keturunan atau kecantikan sebab kita memang diberi kebebasan memilih tapi ada juga hadis yang mengingatkan kalau kecantikan atau harta yang dipilih sebagai kriteria utama, Allah boleh lenyapkan semua dengan sekelip mata saja. Tapi kalau memilih agama sebagai tunjang, Allah akan kurniakan harta dan kecantikan.”

Hanif menganggukkan kepala tanda setuju. “Tak silap aku hadis yang diriwayat Baihaqi pun ada ingatkan juga, lebih kurang macam ni... kalau pilih hamba sahaya yang hitam itu pun lebih baik, asalkan dia beragama.”

“Hmm... itu yang penting sebenarnya Hafiz. Kami tak larang kau kalau kau nak beristerikan Safia tapi kenalah dengan kehendak agama. Jangan belakangkan orang tua sebab tanpa restu orang tua, hidup kau tak berkat,” kata Hanif.

“Ha ah, dan carilah calon seperti yang disarankan oleh Rasulullah salallahi alaihi wa sallam, insya-Allah hidup kau akan terjamin,” kata Fadhil pula.

Lama juga Hafiz diam cuba mencernakan nasihat-nasihat dari abang dan abang iparnya. Kemudian dia memandang mereka satu persatu.

“Ikut sunnah?”

Fadhil mengangguk. Hanif turut menangguk perlahan. Matanya memicing memandang wajah adiknya.

“Kalau ikut sunnah Rasulullah...”

“Salallahi alaihi wa sallam,” sahut Fadhil dan Hanif serentak.

“Salallahi alaihi wa sallam,” jawab Hafiz. “Maknanya... aku bolehlah...”

“Poligami?” soal Hanif sudah dapat meneka.

Hafiz tersengih.

“Isy! Budak ni!!”


Teh tarik gambar hiasan

: http://cdn.wn.com/ph/img/a1/cc/cac1396f5407a405db716280ab8b-medium.jpg