Followers

Wednesday, November 28, 2007


Sebab Dikau

Kasihkan hidup sebab dikau

Segala kuntum mengoyak kepak

Membunga cinta dalam hatiku

Mewangi sari dalam jantungku

Hidup seperti mimpi

Laku lakon dilayar terkelar

Aku pemimpi lagi penari

Sedar siuman bertukar tukar

Maka merupa di datar layar

Wayang warna menayang rasa

Kalbu rindu turut mengikut

Dua sukma esa – mesra –

Aku boneka engkau boneka

Penghibur dalang mengatur tembang

Di layar kembang bertukar pandang

Hanya selagu, sepanjang dendang

Golek gemilang ditukarnya pula

Aku engkau di kotak terletak

Aku boneka engkau boneka

Penyenang dalang mengarak sajak

Amir Hamzah

PROLOG

Dari jauh Hafizah melihat sekumpulan anak muda Melayu sedang duduk bertenggek di atas batuan dipinggir perkarangan Gereja San Nicholas yang terletak hampir di puncak bukit Albaiyzin, Granada di Selatan Sepanyol. Ada enam orang kesemuanya. Kesejukan angin dingin lewat bulan Januari tidak langsung diperduli. Mungkin seronok dapat menikmati suasana petang berlatar belakangkan keindahan pemandangan istana Al-Hambra tercatuk di atas puncak Bukit La-Sabica setentang dengan Albaiyzin.

Dari gaya percakapan seperti melayu Malaysia. Pelajar-pelajar yang belajar di England mengambil kesempatan backpacking beramai-ramai agaknya, fikir Hafizah. Selalu sangat pelajar-pelajar Malaysia yang belajar di England atau di negara-negara lain dalam benua Eropah mengambil kesempatan melancong ke Sepanyol ketika cuti semester.

Salah seorang anak muda itu mengeluarkan sebuah gitar dan mula memetik mengalunkan lagu. Yang lain mula berkerumun. Kumpulan itu juga menarik perhatian pelancong asing yang lain. Anak muda itu mula menyanyi. Merdu juga suaranya.

Pilihan pertamanya, lagu popular kumpulan Search, Isabella. Hafizah tersenyum. Dia turut terhibur dengan nyanyian mereka. Lama sudah dia tidak mendengar gemersik lagu Melayu. Walaupun berirama rock, ia tetap menjadi halwa telinga pada Hafizah.

Selesai, anak muda mendapat tepukan dari mereka yang terhibur. Tersengih-sengih mereka menerima tepukan dari bangsa yang langsung tidak memahami bahasa Melayu. Gitar langsung bertukar tangan. Tali di petik menjanakan sebuah alunan lagu baru. Lembut.

“Aku terjaga dari tidur,

Bagai ada satu suara,

Yang lembut membisik padaku

Pulanglah...

Termenung di pagi yang dingin

Terkenangkan kampung halaman

Terbayang wajah-wajah sayu

Kurindu...

Tersentak Hafizah mendengar anak muda itu menyanyikan lagu lama Pulanglah, nyanyian Dato Shake. Kampung? Ya Allah. Sudah lama dia melupakan perkataan itu. Difikirnya sudah dipadam dari kamus hidupnya, rupanya ia masih segar di dalam kotak ingatan. Kampungnya sekarang di sini. Di bumi Sepanyol inilah kini tanah airnya.

Bertahun-tahun dia Malaysia dirasakan terlalu jauh, tapi kini bila mendengar lagu itu, terasa dia terlalu dekat dengan tanah tumpah darahnya. Tiba-tiba hatinya dirundung rasa rindu yang amat sangat. Rindu pada Hafizi dan rindu pada Hafifi. Rindu pada tanah air yang tidak pernah dijenguk lebih lima tahun. Lama sudah dia merajuk membawa hati.

Air mula tergenang dipelupuk mata. Dipejam matanya rapat-rapat. Usahlah menitik. Janganlah mengalir. Jari-jarinya menggenggam erat palang besi. Kesejukan yang menggigit sudah tidak dirasai. Setitis air gugur mengalir lesu di pipi. Cepat-cepat Hafizah menyeka dengan jari. Setitis lagi jatuh dan setitis lagi. Empangan airmatanya pecah dan kali ini dia tidak mampu menahannya lagi. Terhingguk-hingguk bahunya menahan sedu. Ya Allah! Ampuni dosaku.

Bersaksikan Al-Hambra di kejauhan, Hafizah terus menangis…

Monday, November 26, 2007

Bumi Anbiya

Kenangan di bumi Anbiya' antara Nisa, Dr Patrick dan keluarga Faiza dan Raihana.

Atas saranan Nisa, saya sempat juga melawat tempat-tempat yang pernah dia jejaki dahulu. Walaupun hanya mempunyai dua hari saja di Amman, saya sempat ke Laut Mati dan Lembah Petra. Entah mengapa Laut Mati tidak menarik minat saya langsung. Mungkin kerana faktor saya tidak tahu berenang (tapi kata Nisa orang tak akan tenggelam dalam Laut Mati kerana kandungan garamnya yang hampir 10 kali ganda tinggi dari laut), atau faktor sejarah Sodom dan Gomorrah yang membuatkan saya agak 'geli' hendak menjejakkan kaki ke dalam airnya yang dikatakan dapat menyembuhkan penyakit kulit itu. Tiba-tiba saya terfikir penyakit HIV-Aids eeeiiii geli!!


Tiba saja di penghujung lorong Siq, nafas saya seakan terhenti melihat keindahan monumen batuan terhampar di depan mata. Mata tercari-cari juga unta sekiranya ada yang bersantai di atas dataran, tapi tidak kelihatan. Sibuk bekerja agaknya. Lihatlah, ramai sungguh pelancong dalam dan luar negara yang datang ke El-Khazneh ini. Kagum betul saya dengan hasil tangan manusia beribu tahun dahulu. Juga saya insaf dengan janji Allah pada hambanya yang sengaja engkar. Maha besar Allah!


Di sini Nisa dan Ameer menikmati pemandangan luar dari dalam monumen di Lembah Petra. Hanya formasi warna pada batuan tapi bagi saya ia merupakan kanvas lukisan alam yang sungguh indah. Duduk di sini berjam-jam pun saya sanggup, tapi aroma di dalam monumen ini sungguh kurang enak. Hancing! Alahai... siapalah yang membuat onar tu??



Pemandangan penempatan berbukit di seberang Jabal Al Qal'ah. Cantik sungguh. Padat. Bayangkanlah sekiranya rumah berada di puncak bukit dan tidak ada kenderaan pula hendak ke sana. Aduh! Mahu berpeluh dan kurus kering hari-hari naik bukit. Tapi.. pemandangan dari puncak bukit sana pasti cantik kan? Dapat melihat keseluruh bandar Amman, menikmati keindahan lampu-lampu limpah dan neon di waktu malam.



Menikmati pemandangan dari Jabal Al Qal'ah. Kelihatan Roman amphitheater, tempat lepak Nisa dan Dr Patrick sementara menunggu Ameer datang menjemput mereka. Saya cemburu dengan keluarga itu. Dapat bersantai bersama-sama. Bandar Amman memang menarik. Dalam kemodenan tetap mengekalkan ciri-ciri tradisional. Bagaimana dengan rakyatnya pula? Hmm... ada juga pemandangan yang kurang menarik perhatian saya.


Batu-batuan monumen lama di Bukit Al-Qal'ah yang dikatakan peninggalan Hercules Temple. Tiang-tiang romannya besar dan tinggi. Saya suka 'ruins' macam ni tapi saya sudah tak berani hendak gatal-gatal tangan pegang batuan di runtuhan-runtuhan purba. Pernah ada dua pengalaman 'mistik' akibat keghairan menyentuh batuan ketika melawat roman amphitheater Coliseum yang terkenal di Rome dulu. Huhuhu.. Sejak itu terus malas hendak pegang-pegang/sentuh-sentuh sebarangan di bangunan purba. Tak sukalah di sakat waktu tidur. Tak ada mood tau nak layan hehehe