Followers

Friday, December 28, 2007

Benci!! Ampun!!

Menyampah betul dengan Encik Oggix ni!!!! Habis banyak mesej kat shout box terpadam. Tak suka betul!!!!!

Pada anda-anda yang mesej yang terpadam tu saya mohon maaf banyak-banyak. Bukan salah saya, salahkan encik Oggix. Ampun ya!

Jangan kata saya sombong pula tapi encik Oggix yang tak suka dengan saya. Tapi memandangkan saya degil, saya takkan padam encik Oggix dari tempelan sisi. Biarlah dia di situ. Kalau anda degil macam saya, teruslah tinggal pesan di kotak Oggix. Kalau anda seorang yang berhati-hati tinggalkan saja komen di kotak komen biasa.

Benci Encik Oggix!!!!!!!

Friday, December 21, 2007

Salam cuti

Salam Idul Adha dan Selamat bercuti.

Sudah seminggu saya mula bercuti penggal. Bercuti untuk 'Christmas Holidays'. Sudah seminggu juga saya banyak menghabiskan masa berkelubung di dalam duvet. Semalam, balik dari solat Idul Adha, saya ingat nak jalan-jalan seketika dan bersama-sama warga Glasgow membeli belah untuk Hari Natal, tapi cita-cita itu, saya padam separuh jalan. Saya rasa tak tahan dengan cuaca sejuk kali ini. Semalam saja suhu merkuri perak menjunam hingga -3C. Hari ini juga suhu di tahap yang sama tapi ditambah dengan keadaan yang berkabus. Memang enak bergulung dalam duvet saja. Idul Adha semalam tidak meriah. Hati saya juga tidak tergerak untuk menghadiri rumah terbuka. Mungkin sebab sejuk sangat sampai saya rasa otak saya pun turut beku, agaknya.

Satu yang menarik tentang Scotland, terutamanya Glasgow ini, adalah sifat 'degil' wilayah ini. Hubungan Scotland dengan England masih lagi seperti adik beradik yang saling cemburu mencemburui. Scotland yang degil dan England yang sedikit angkuh dengan ke'British'annya. Kasarnya orang-orang Scots ini sehingga mereka disarankan untuk mengaku diri mereka bermasalah.

"Hi! I'm Scotland and I am violent."

Leon Jackson yang dinobatkan sebagai juara X-Factor baru-baru ini juga memperlihatkan semangat patriotik yang tinggi dikalangan orang Scots. Mereka tetap mengundi Leon walaupun mereka tahu Leon tidak setanding dengan Rhydian Roberts yang sebenarnya lebih layak untuk menjuarai pertandingan nyanyian tersebut. Rhydian lebih konsisten di sepanjang pertandingan dan mempunyai suara seorang penyanyi opera yang sangat bagus.

Kedegilan rakyat Scots ini bukan saja dikalangan penduduk asal wilayah utara ini, tapi juga sudah menular dikalangan pendatang-pendatang di sini dan sifat ini diturunkan pula kepada generasi seterusnya terutama generasi Islam di sini. Sedang umat Islam di tempat-tempat lain menyambut Idul Adha pada hari Rabu, khariah Masjid besar di Glasgow berpendapat mereka mesti menyambut Idul Adha pada hari Khamis. Ada pula kumpulan-kumpulan Islam yang lain tidak mahu mengikut khariah lalu menyewa dewan untuk melakukan solat Idul Adha pada hari Rabu.

Kalaulah benda-benda begini, umat Islam dalam satu negara pun tidak dapat bersatu, bagaimana pula kita hendak bersatu padu menentang musuh Islam yang sebenar? Dalam khutbah raya, imam menegaskan yang kita harus menyedari tentang penindasan yang dilakukan terhadap rakyat Iraq dan Palestine, tapi mengapa kita tidak menunjukkan keprihatinan kita dengan melupakan seketika ego masing-masing dan bersetuju untuk bersatu padu demi kebaikan semua?

Ah! Bukan saja penduduknya yang degil, cuaca di sini pun 'degil' juga. Suhu sudah menjunam hingga hampir mencecah ke -4C tapi salji masih lagi tidak turun-turun lagi.

Sejuk!

Thursday, December 13, 2007

Tanpa tajuk

Balik sahaja dari pejabat, Hafizah terus singgah ke kedai runcit tidak jauh dari rumah. Pagi tadi dia sudah membeli tiga ekor ikan keli dan sedikit sayur-sayuran, cuma ada sedikit lagi ramuan yang diperlukan untuk memasak esok. Hafizi, adik lelakinya yang kini di dalam Tahun Tiga dalam kejuruteraan mekanikal di Universiti Malaya akan pulang bercuti. Sudah lebih dua minggu Hafizi tidak pulang kerana sibuk belajar untuk peperiksaan akhir semester.

Walaupun Hafizi tidak pernah meminta, Hafizah tahu lauk kegemaran adiknya itu. Ikan keli masak asam pedas dan sayur goreng. Setiap kali dia balik, mesti hidangan itu disediakan oleh Hafizah.

Hafizah menarik nafas panjang. Dia memusingkan badan. Dalam gelap, fikirannya menerawang... ikan keli masak asam pedas dan sayur goreng..



“Kau kalau makan tu, boleh tak ingat orang lain sekali? Cuba jangan dihabiskan. Aku tak larat, asyik nak memasak aje kerjanya!"

Hafizi terus menyuapkan nasi bercampur ikan keli masak asam pedas ke mulut. Omelan ibunya tidak diendahkan. Yang penting perut mesti diisi. Kalau lambat, alamat tak makanlah dia. Lagipun dia ada aktiviti petang di sekolah, dia perlukan stamina.

“Hoi! Kau dengar ke tidak ni? Aku cakap buat tak tau aje. Hoi! Sudah sudah lah tu. Aku nak makan juga. Jangan ingat tembolok besar kau aje!” Jegil mata Nuraina memandang anak teruna yang tidak memperdulikan omelannya.

Hafizi terus membisu. Selesai makan dia mengangkat pinggan ke dapur. Di letakkan atas meja. Biar. Dia tidak kuasa hendak melayan ibunya. Dalam fikirannya sekarang, dia sudah kenyang dan tiba masanya untuk keluar. Lagi lewat dia keluar lagi lambat dia tiba di sekolah.

“Hah! Nak ke mana pulak tu? Lepas makan je terus keluar. Pinggan tu tak boleh basuh? Kau ingat aku ni apa? Kuli kau?” Makin nyaring suara Nuraina melepaskan geram. Tangan kanannya mula menggaru kepala yang tidak gatal. Dia geram sangat dengan perangai Hafizi yang endah tidak endah itu.

Hafizi terus melangkah keluar sambil menjinjing kasut sukan. Di birai pintu dia duduk untuk menyarungkan kasut. Tiba-tiba kepalanya ditujah keras.

“Hei! Dengar tak apa aku kata ni? Anak tak sedar di untung!” Jerkah Nuraina lagi. Apa kena anak ini? Degil sungguh.

Hafizi cepat-cepat bangun. Gila apa orang tua ni? Dia memandang ibunya. Atas bawah. Dia mencemik. Baru bangun tidur lah tu. Ada hati nak tanya ke mana aku pergi, getus hati kecilnya.

“Apa hal kau pandang aku macam tu? Nak kena libas dengan rotan lagi?” Perli Nuraina.

Hafizi tersenyum kecil. Badan tak terurus, rambut kusut masai, mata pun merah ada hati nak pukul aku? Entah-entah mabuk tak habis lagi. Aku tolak sekali, jatuh agaknya. Entah pukul berapa ibunya pulang malam tadi. Hafizi sudah tidak peduli. Apa ibunya buat, dengan siapa dia pergi, Hafizi tidak kisah. Niatnya cuma satu. Belajar rajin-rajin dan keluar dari rumah neraka jahanam ini. Apa nak jadi dengan orang lain dia tidak pernah mahu ambil peduli lagi. Hafizi mendengus dan terus berlari meninggalkan Nuraina di pintu yang berkain pelikat, berbaju tanpa lengan dan rambut kusut masai tanpa sepatah perkataan pun.

“Setan!!” Nuraina menjerit, sambil lagi bercekak pinggang.

Sudah lazim rumah setinggan di bina rapat-rapat. Kadang-kadang lorong ke setiap rumah cukup-cukup untuk tiga orang berjalan beriringan. Jalannya pun bukanlah rata, apatah lagi bertar. Tanah liat. Kalau musim hujan, kenalah berhati-hati, silap langkah boleh tergelincir. Parit-parit kecil yang berlumut hijau di buat selari dengan petak rumah. Besarnya cukup sekadar untuk melarikan air hujan dan kadang-kadang air kumbahan dari bilik air. Hanyir bercampur hancing. Papan-papan rumah yang lembab menambahkan aroma yang tidak menyenangkan sesiapa sahaja yang berjalan di lorong-lorong rumah setinggan.

bagi Hafizah dan penghuni Kampung Seri Ampangan di situ, mereka sudah biasa dengan laluan-laluan kecil. Sudah tahu mana lubang, mana lopak dan jalan mana yang licin. Ada yang sengaja membawa tisu lebih, bukan untuk menutup hidung tapi mengelap kasut yang selaput dek selut apabila menunggu bas di jalan besar.

Bau hamis atau hancing sudah tidak menjadi hal. Sebelum keluar, pakailah minyak wangi lebih sedikit. Hidung sudah lali dengan bau-bauan yang tidak menyenangkan dari rumah setinggan.

Hafizah berjalan dengan laju. Sesekali dia melompat kecil mengelak lopak. Hujan petang tadi lebat sungguh. Rumah-rumah yang berdekatan dengan sungai ada yang ditenggelami air paras lutut. Tadi, Rokiah kawannya di sekolah ada memberitahu, rumahnya mungkin ditenggelami air.

Banjir kilat sudah terlalu kerap berlaku sejak akhir-akhir ini. Kata orang inilah petanda negeri sudah maju. Sejak dasar kerajaan yang mementingkan pembangunan fizikal, terlalu banyak projek pembangunan terutama perumahan sedang dilaksanakan sekarang. Pembangunan yang tidak terkawal menyebabkan bencana alam seperti banjir kilat kerap berlaku terutama di kawasan rendah seperti Ampang.

Walaupun rumah keluarga Rokiah masih lagi dekat dengan hulu sungai, bila hujan lebat begini, rumahnya pasti ditenggelami air separas lutut. Kalau hujan di hulu, begitu juga keadaannya. Jadi mereka sekeluarga terpaksa berhati-hati. Apa sahaja benda atau peralatan yang penting, di letak di tempat tinggi. Penyapu lidi menjadi peralatan rasmi ketika banjir begini.

Titis-titis hujan mengenai kepala, tapi Hafizah langsung tidak memperdulikan rambutnya yang semakin basah. Hayunan langkah semakin laju. Dia perlu segera pulang. Sesekali dia menyeka titsan air di muka. Rambut lurus paras bahu semakin basah. Dia melirik pada jam di tangan kiri. Sudah hampir pukul sebelas setengah malam..

Badannya terasa letih teramat sangat. Sengal tangannya mengangkat dulang silih berganti sejak pukul tiga petang tadi. Kakinya juga terasa penat kerana terlalu lama berdiri dan berjalan mengangkat hidangan dan pinggan-pinggan kotor dari dewan makan ke dapur.

Tadi dia terpaksa bertugas lebih masa untuk dua function, satu high tea untuk wanita korporat pukul empat petang dan satu lagi wedding dinner dalam pukul lapan malam.

Sudah lebih setahun dia bekerja sambilan sebagai pelayan di hotel lima bintang di Jalan Sultan Ismail. Pendapatan tidak menentu, tapi kalau rajin boleh mencecah satu ribu ringgit. Rokiah yang memperkenalkan kerja tersebut semenjak mereka berdua di dalam tingkatan tiga lagi. Bagi mereka, jumlah wang begitu, memang sungguh lumayan.

Selalunya khidmat mereka di perlukan ketika cuti sekolah di mana ramai ahli-ahli korporat ataupun orang-orang berada membuat majlis di hotel terkemuka terutama sekali majlis perkahwinan. Apatah lagi sekarang, banyak hotel-hotel yang menawarkan pakej perkahwinan untuk menarik pelanggan.

Bukan setakat musim cuti sekolah, Ramadhan merupakan bulan paling sibuk apabila hotel-hotel menyediakan buffet Ramadhan istimewa yang memberi peluang warga kota menikmati juadah berbuka puasa dengan hidangan yang lazat.

Teringatkan hidangan, perut Hafizah mula berkeroncong. Dia memang tidak sempat hendak menjamah sedikit pun nasi di hotel tempat dia bekerja. Walaupun polisi hotel tidak membenarkan pekerja mengambil lebihan makanan, kadang-kadang semangkuk dua dapat juga dia mengisi perut ataupun kadang-kadang di bawa pulang.

Lagi dua puluh meter ke pintu rumah, langkah Hafizah mula perlahan. Telinganya tajam mendengar suara keras ke dua ibu bapanya silih berganti. Tidak habis-habis menengking sesama sendiri. Tak sakit tekak ke? Hafizah merungut. Tangannya menyeluk kocek beg sandang. Segugus kunci di keluarkan. Telinganya bingit mendengar jerkah, sumpah seranah yang macam air paip keluar dari mulut ibu dan ayah.Langkahnya mati. Hafizah terpaku di halaman. Kepalanya tertunduk. Penat.

Topik utama, duit. Itu sahaja yang menjadi intipati setiap pertengkaran dan acapkali perang mulut yang bersulam sumpah seranah berakhir dengan sepak terajang dan perhiasan rumah yang hanya boleh dibilang dengan jari pecah berderai dihempas ke dinding.

“Fiza..” Satu sapaan lembut hinggap di gegendang telinga Hafizah. Dia menoleh. Seorang wanita berbadan gempal berdiri di muka pintu di rumah sebelah. Hafizah memandang wajah wanita yang dikenali sebagai Makcik Farah yang lembut.

“Duduk dulu kat rumah makcik Fiza. Fifi pun ada di sini..” lembut suara perempuan yang berusia empat puluhan menjemput.

Badannya yang gempal disaluti baju kurung Kedah berwarna kuning yang sudah samar dan berkain batik Terengganu. Rambut panjang bersanggul tersembunyi di bawah serkup hitam. Lembut dan penuh keibuan.

Hafizah menarik nafas. Gugusan kunci disisip kembali ke dalam beg. Dia menoleh sekali ke rumah kemudian melangkah longlai menuju ke rumah Makcik Farah yang letaknya cuma bersebelahan dengan rumahnya. Segera dia membuka sepatu hitam dan melangkah masuk ke rumah makcik Farah. Rumah itu walaupun dihiasi dengan perabot sederhana, lebih kemas dari rumahnya yang sentiasa berantakan.

Dengan longlai dia menghenyakkan punggung di atas kerusi kusyen. Setiap pergerakannya di perhatikan makcik Farah. Adiknya Fifi sedang enak di buai mimpi sambil memeluk patung beruang kesayangannya di atas kerusi panjang. Rambutnya yang panjang beralun ditiup angin kipas duduk . Sesekali terdengar bunyi menciut bila dia menyonyot ibu jari kiri. Mukanya yang putih bersih tenang. Comel.

Kasihan Fifi, baru lapan tahun. Masih mentah. Belum tahu apa-apa lagi. Cuma apa yang dia tahu, lari ke rumah makcik Farah bila kedua ibu bapanya menjerit di antara satu sama lain.

“Minum Fiza. Kau nampak letih sangat. Banyak kerja tadi?” Entah bila Makcik Farah masuk ke dapur Hafizah tidak perasan. Sedar-sedar sahaja sudah keluar sambil menatang secawan teh dan sepinggan mee hoon goreng.

“Makcik tahu, kau belum makan lagi. Ni ada mee hoon goreng, makanlah,” pelawa wanita itu lagi sambil meletakkan dulang di atas meja.

“Susahkan makcik aje. .. dah selalu sangat..” lemah suara Hafizah.

“Jangan cakap macam tu. Sudah jadi tanggungjawab makcik. Kalau tak makcik, siapa lagi nak tengokkan kamu adik beradik.”

Prang! Bunyi kaca terhempas ke dinding. Jelas bunyi kaca berderai, walaupun jarak antara rumahnya dan rumah makcik Farah ada dekat sepuluh meter.

“Jantan tak guna! Tahu nak duit aku aje. Mana ada duit lagi! Asal balik aje cari duit!” Berdesing suara Nuraini menengking.

“Jangan cakap tak de duit dengan aku. Sekarang ni awal bulan. Bukan ke awak tu yang paling laku kat kelab malam tu. Takkan tak de duit!” Suara Mahat pula meninggi.

Prang! Satu lagi barang di hempas ke dinding.

Satu dua jiran yang duduk berdekatan membuka tingkap rumah masing-masing. menjulur kepala ingin tahu sambungan drama yang berlaku di rumah sebelah. Terteleng-teleng hendak melihat.

Hafizah mencapai pinggan mee hoon. Dia sudah tidak ambil pusing dengan perangai ibu bapanya. Begitu juga dengan kebanyakan penduduk Kampung Seri Ampangan. Pergaduhan ibu bapanya cuma menjadi topik bualan sandiwara, hiburan di kedai kopi.

Suami isteri sama rancak sama hebat. Si lelaki suka berjudi, kaki pukul dan pemabuk. Yang perempuan pula gelandangan di kelab malam. Anak-anak jadi mangsa. Kasihan si kecil..

Tapi itulah manusia, kasihan hanya dibibir sahaja, tiada siapa yang mahu menghulurkan bantuan kecuali makcik Farah dan suaminya pakcik Hamid yang tidak pernah lokek untuk memberi bantuan. Tidak kira wang ataupun memberi semangat kepada Hafizah.

“Sudahlah! Jangan nak bising! Baik aku keluar dari duduk dalam rumah jahanam ni!” Suara nyaring Nuraina mematikan lamunan Hafizah.

“Jangan kau keluar dari rumah ni sebelum bagi duit. Duit aku mana?!”

“Aku kata aku tak de duit, tak de duit la. Tak paham ke?”

Serentak dengan itu, daun pintu dibuka. Jiran yang tadi bersidai tingkap malu sendiri, cepat-cepat menutup daun tingkap. Tak mahu dicop suka menjaga tepi kain orang.

Cepat-cepat Nuraina jalan meninggalkan rumah. Osman sudah lama menunggu di simpang. Risau Nuraina, takut Osman bosan. Nanti bergaduh pula mereka. Sudahlah berperang dengan Mahat nanti tidak pasal-pasal bermasam muka pula dengan Osman. Boleh hilang pendapatannya untuk malam ini.Bosan sungguh!

“Jangan balik kalau tak de duit!” Tiba-tiba Mahat terpacul di pintu, bercekak pinggang. Rambut kusut masai dan mata merah menyala.

Nuraina mencemik bibir. Asal kalah judi, aku jadi mangsa. Buat apa susah-susah kalau cinta sudah tawar. Sayang sudah hambar. Dia terus berjalan meninggalkan lelaki yang dikahwini atas dasar cinta tujuh belas tahun dahulu.

Berhati-hati Nuraina berjalan dengan kasut tumit tinggi. Sesekali tumit runcing terbolos di tanah lembut. Dia bersumpah seranah. Kain sendat warna merah jambu disingsing sedikit menampakkan betis yang putih gebu. Beg tangan bertali halus yang di sangkut di bahu kanan terbuai-buai mengikut alunan langkahnya.

Nuraina masih muda, baru masuk tiga puluh lima tahun. Badan masih lagi menggiurkan walaupun sudah beranak tiga. Potongan badan dan kehalusan kulit memang sentiasa dijaga. Penampilan diri ketika keluar rumah memang tidak boleh dikompromi.

Sekali pandang orang tidak akan tahu Nuraina bukan orang berada. Tinggal di rumah setinggan di ibu kota. Yang tidak tahu mungkin ingat suaminya berpangkat tinggi dan bergaji besar. Haruman semburan di badan bukan calang-calang. Sekiranya bukan buatan Paris, pandang pun tidak. Apatah lagi mengenai kulitnya yang halus putih. Warna yang bercalit di muka seolah-olah hasil kerja penyolek artis ternama. Kening sentiasa di bentuk supaya indah di pandang. Alis yang panjang dan lentik menghiasi matanya yang galak.

Matanya meliar mencari Mercedes hitam kepunyaan Osman. Masih lagi setia menanti di bawah pohon ceri. Nuraina tersenyum. Dia mengeluarkan beberapa keping tisu dari tas tangan dan tunduk mengelap tumit yang berselut. Tisu berpalit selut dicampak ke tanah.

“Hai sayang, sorry lambat.” Lembut sapaan Nuraina melihat buah hati masam mencuka. Dia membuka pintu lalu terus masuk.

“Lama I tunggu you. Apa you buat lama-lama tadi? Bila you nak tinggalkan suami you? You tak sayangkan I ke?” Bertalu-talu soalan keluar dari mulut lelaki separuh umur. Mulutnya mencebik. Merajuk.

Nuraina senyum memujuk. Aduh! Susah juga bila lelaki berusia merajuk. Jemari yang lembut mengelus pipi kekasih barunya. “Sabar sayang. I tengah cari masa yang sesuai. Tadi dia tengking I macam singa lapar. Bila dia dah tenang sikit, I minta cerai.”

“Tapi ingat ye Aina. I cuma nak you saja. Tak ada orang lain, Cuma you seorang.”

Nuraina senyum hambar. Dia faham maksud Osman. Hanya dirinya seorang…

“Sabar sayang. Tiba masa nanti I akan jadi milik you,” pujuk Nuraina.

Osman tersenyum. Dia menghidupkan enjin kereta dan Mercedes hitam meluncur laju meninggalkan Kampung Seri Ampangan.

Manuskrip ini saya siapkan sebelum Zahrah de Tigris. Susah benar saya nak habiskan menulis. Tapi saya memang suka kekalkan imej protagonis yang kuat semangat.

Wednesday, November 28, 2007


Sebab Dikau

Kasihkan hidup sebab dikau

Segala kuntum mengoyak kepak

Membunga cinta dalam hatiku

Mewangi sari dalam jantungku

Hidup seperti mimpi

Laku lakon dilayar terkelar

Aku pemimpi lagi penari

Sedar siuman bertukar tukar

Maka merupa di datar layar

Wayang warna menayang rasa

Kalbu rindu turut mengikut

Dua sukma esa – mesra –

Aku boneka engkau boneka

Penghibur dalang mengatur tembang

Di layar kembang bertukar pandang

Hanya selagu, sepanjang dendang

Golek gemilang ditukarnya pula

Aku engkau di kotak terletak

Aku boneka engkau boneka

Penyenang dalang mengarak sajak

Amir Hamzah

PROLOG

Dari jauh Hafizah melihat sekumpulan anak muda Melayu sedang duduk bertenggek di atas batuan dipinggir perkarangan Gereja San Nicholas yang terletak hampir di puncak bukit Albaiyzin, Granada di Selatan Sepanyol. Ada enam orang kesemuanya. Kesejukan angin dingin lewat bulan Januari tidak langsung diperduli. Mungkin seronok dapat menikmati suasana petang berlatar belakangkan keindahan pemandangan istana Al-Hambra tercatuk di atas puncak Bukit La-Sabica setentang dengan Albaiyzin.

Dari gaya percakapan seperti melayu Malaysia. Pelajar-pelajar yang belajar di England mengambil kesempatan backpacking beramai-ramai agaknya, fikir Hafizah. Selalu sangat pelajar-pelajar Malaysia yang belajar di England atau di negara-negara lain dalam benua Eropah mengambil kesempatan melancong ke Sepanyol ketika cuti semester.

Salah seorang anak muda itu mengeluarkan sebuah gitar dan mula memetik mengalunkan lagu. Yang lain mula berkerumun. Kumpulan itu juga menarik perhatian pelancong asing yang lain. Anak muda itu mula menyanyi. Merdu juga suaranya.

Pilihan pertamanya, lagu popular kumpulan Search, Isabella. Hafizah tersenyum. Dia turut terhibur dengan nyanyian mereka. Lama sudah dia tidak mendengar gemersik lagu Melayu. Walaupun berirama rock, ia tetap menjadi halwa telinga pada Hafizah.

Selesai, anak muda mendapat tepukan dari mereka yang terhibur. Tersengih-sengih mereka menerima tepukan dari bangsa yang langsung tidak memahami bahasa Melayu. Gitar langsung bertukar tangan. Tali di petik menjanakan sebuah alunan lagu baru. Lembut.

“Aku terjaga dari tidur,

Bagai ada satu suara,

Yang lembut membisik padaku

Pulanglah...

Termenung di pagi yang dingin

Terkenangkan kampung halaman

Terbayang wajah-wajah sayu

Kurindu...

Tersentak Hafizah mendengar anak muda itu menyanyikan lagu lama Pulanglah, nyanyian Dato Shake. Kampung? Ya Allah. Sudah lama dia melupakan perkataan itu. Difikirnya sudah dipadam dari kamus hidupnya, rupanya ia masih segar di dalam kotak ingatan. Kampungnya sekarang di sini. Di bumi Sepanyol inilah kini tanah airnya.

Bertahun-tahun dia Malaysia dirasakan terlalu jauh, tapi kini bila mendengar lagu itu, terasa dia terlalu dekat dengan tanah tumpah darahnya. Tiba-tiba hatinya dirundung rasa rindu yang amat sangat. Rindu pada Hafizi dan rindu pada Hafifi. Rindu pada tanah air yang tidak pernah dijenguk lebih lima tahun. Lama sudah dia merajuk membawa hati.

Air mula tergenang dipelupuk mata. Dipejam matanya rapat-rapat. Usahlah menitik. Janganlah mengalir. Jari-jarinya menggenggam erat palang besi. Kesejukan yang menggigit sudah tidak dirasai. Setitis air gugur mengalir lesu di pipi. Cepat-cepat Hafizah menyeka dengan jari. Setitis lagi jatuh dan setitis lagi. Empangan airmatanya pecah dan kali ini dia tidak mampu menahannya lagi. Terhingguk-hingguk bahunya menahan sedu. Ya Allah! Ampuni dosaku.

Bersaksikan Al-Hambra di kejauhan, Hafizah terus menangis…

Monday, November 26, 2007

Bumi Anbiya

Kenangan di bumi Anbiya' antara Nisa, Dr Patrick dan keluarga Faiza dan Raihana.

Atas saranan Nisa, saya sempat juga melawat tempat-tempat yang pernah dia jejaki dahulu. Walaupun hanya mempunyai dua hari saja di Amman, saya sempat ke Laut Mati dan Lembah Petra. Entah mengapa Laut Mati tidak menarik minat saya langsung. Mungkin kerana faktor saya tidak tahu berenang (tapi kata Nisa orang tak akan tenggelam dalam Laut Mati kerana kandungan garamnya yang hampir 10 kali ganda tinggi dari laut), atau faktor sejarah Sodom dan Gomorrah yang membuatkan saya agak 'geli' hendak menjejakkan kaki ke dalam airnya yang dikatakan dapat menyembuhkan penyakit kulit itu. Tiba-tiba saya terfikir penyakit HIV-Aids eeeiiii geli!!


Tiba saja di penghujung lorong Siq, nafas saya seakan terhenti melihat keindahan monumen batuan terhampar di depan mata. Mata tercari-cari juga unta sekiranya ada yang bersantai di atas dataran, tapi tidak kelihatan. Sibuk bekerja agaknya. Lihatlah, ramai sungguh pelancong dalam dan luar negara yang datang ke El-Khazneh ini. Kagum betul saya dengan hasil tangan manusia beribu tahun dahulu. Juga saya insaf dengan janji Allah pada hambanya yang sengaja engkar. Maha besar Allah!


Di sini Nisa dan Ameer menikmati pemandangan luar dari dalam monumen di Lembah Petra. Hanya formasi warna pada batuan tapi bagi saya ia merupakan kanvas lukisan alam yang sungguh indah. Duduk di sini berjam-jam pun saya sanggup, tapi aroma di dalam monumen ini sungguh kurang enak. Hancing! Alahai... siapalah yang membuat onar tu??



Pemandangan penempatan berbukit di seberang Jabal Al Qal'ah. Cantik sungguh. Padat. Bayangkanlah sekiranya rumah berada di puncak bukit dan tidak ada kenderaan pula hendak ke sana. Aduh! Mahu berpeluh dan kurus kering hari-hari naik bukit. Tapi.. pemandangan dari puncak bukit sana pasti cantik kan? Dapat melihat keseluruh bandar Amman, menikmati keindahan lampu-lampu limpah dan neon di waktu malam.



Menikmati pemandangan dari Jabal Al Qal'ah. Kelihatan Roman amphitheater, tempat lepak Nisa dan Dr Patrick sementara menunggu Ameer datang menjemput mereka. Saya cemburu dengan keluarga itu. Dapat bersantai bersama-sama. Bandar Amman memang menarik. Dalam kemodenan tetap mengekalkan ciri-ciri tradisional. Bagaimana dengan rakyatnya pula? Hmm... ada juga pemandangan yang kurang menarik perhatian saya.


Batu-batuan monumen lama di Bukit Al-Qal'ah yang dikatakan peninggalan Hercules Temple. Tiang-tiang romannya besar dan tinggi. Saya suka 'ruins' macam ni tapi saya sudah tak berani hendak gatal-gatal tangan pegang batuan di runtuhan-runtuhan purba. Pernah ada dua pengalaman 'mistik' akibat keghairan menyentuh batuan ketika melawat roman amphitheater Coliseum yang terkenal di Rome dulu. Huhuhu.. Sejak itu terus malas hendak pegang-pegang/sentuh-sentuh sebarangan di bangunan purba. Tak sukalah di sakat waktu tidur. Tak ada mood tau nak layan hehehe

Wednesday, October 31, 2007

Ampun


Oh banyak betul kerja yang tertangguh. Tak dapat dihabiskan. Terlalu banyak janji yang ditabur, tak dilunaskan. Berdosa sungguh! Baik, akan dicuba lunaskan satu demi satu.

Janji 1 - Cerita aku yang brutal.
Macamana orang bercerita tentang perkara yang tidak pernah dia alami? Ramai nak tahu macamana orang brutal bercinta? hahaha.. siap dengan 'flying kick' chopping hand kot. Entah? Macamana orang brutal berchenta? Sungguh ke nak tahu ni? OK saya cerita. Orang brutal kalau bercinta... buruk!! Bercinta macam nak rak. Mengalahkan orang bercinta tahap dewa dewi. Romantisnya berlebih-lebih? Merajuk yang bukan-bukan? Mengada-ngada? hahahaha semua itu perangai orang yang 'ganaz' kalau berchenta sampai orang sekeliling pun tak sanggup nak lihat. Sungguh! Kenapa? Tak percaya? Nak cuba berchenta dengan saya?? hahahaha.. Garenti menyesal!

Tapi saya tak pilih orang biasa. Orang brutal tak pilih manusia atau rakyat marhaen menjadi cinta hatinya. Panahan sang arjuna sakti yang dicari. Ini bermakna si dia haruslah orang luar biasa. Tahap dewa dewa juga. Dia harus mempunyai sakti. Tapi dia tak harus memakai spandex kerana orang brutal tahu, seluar katuk itu duduknya di dalam, bukan di luar. Kordinasi warna haruslah seimbang. Bukan berbaju biru, berseluar merah... begitulah. Orang brutal juga mahu si dia mestilah mempunyai semangat pejuang, persis dirinya sendiri. Berjuang menyelamat isi dunia. Manusia sejagat. Membenteras anasir-anasir jahat yang datang dari luar. Luar bumi. Alam semesta. Ya.... cinta hati orang brutal ini haruslah penyelamat-penyelamat bumi. Mungkinkah dia Ultraman? Kesatria Baja Hitam? Gaban? Mospeda? Inilah wira-wira penyelamat bumi idaman orang brutal ini. hehehe

Cerita 2 - Review Zahrah de Tigris
Kita serius sedikit ye. Review tentang Zahrah de Tigris sudah keluar dalam Berita Minggu Ruangan Sastera pada 28/10/07. Hanya merit untuk 2 para dan 73 patah perkataan. Mungkin ada yang sedih atau terkilan kerana review yang keluar 70% adalah salah. Tak apa, saya tak terkilan atau sedih atau marah kerana saya pernah berada dalam situasi begitu. Sekarang saya rasa apa pembaca rasa apabila membaca sesuatu yang dirasakan tidak lengkap atau tidak betul. Saya juga pernah menjadi wartawan dimana artikelnya disalah erti, dipotong dan dibiarkan keluar sekadar mahu memenuhi ruang. Itu bagi saya lebih memalukan dan 'compromising my intergrity'. Jadi saya tak salahkan wartawan yang review ZdT. Dia sudah buat sedaya upayanya tapi urusan 'gatekeeper' bukan urusannya. Itu sudah asam garam sebagai wartawan dan dunia penulisan.

Apa yang penting, review sudah keluar. Janji sudah ditepati. Tugas sudah dilaksanakan, amanah sudah dilunaskan. Bagi saya pula 'There is no BAD publicity, just PUBLICITY'. Sekurang-kurangnya ZdT masih mendapat slot dalam ruangan yang terhad. Mungkin ada penulis-penulis lain yang langsung tidak mendapat tempat untuk karya mereka di'review'. Pembaca-pembaca novel Melayu tahu memilih genre jenis apa yang mereka mahukan dan menilai sendiri buku apa yang mahu mereka baca. Kadang-kadang kita patut 'trust word of mouth' dikalangan pembaca-pembaca sendiri. Setiap manusia ini punya citarasa yang berbeza. Bak pesan ayahanda 'one man's meat is indeed another man's poison' dan kita tak mampu untuk memuaskan hati semua orang.

PEACE!

Tuesday, October 23, 2007

Relaks dulu



Kebanyakan maklumbalas yang saya terima - secara terus mahupun tidak - mengatakan Zahrah de Tigris ni, lain dari yang lain. Menggunakan stail yang berbeza. Ada pula yang mengatakan macam baca jurnal perang pun ada. Saya suka maklumbalas macam ni.

Kenapa ye?

Sebenarnya saya teringin juga tulis buku bercerita tentang cinta (bukankah cinta itu begitu luas maknanya?). Tapi saya tak berapa berani tulis cerita cinta Adam dan Hawa secara terus begini.

Kenapa ye?

Sebab saya ni brutal!

hahahahaha

oh sambung nanti. Ada kelas hari ni


Wednesday, October 10, 2007

Alhamdulillah

Ada seorang rakan bertanya, kenapa pilih Jemari Seni sebagai penerbit buku? Kenapa tidak pilih saja syarikat penerbitan yang tersohor tu? Atau hantar saja kepada syarikat yang punya nama inggeris tu. Mereka pun banyak terbitkan buku yang banyak nilai komersil.

Saya senyum. Dengan ringkas saya jawab 'Saja. Laman webnya nampak cantik dan kemas.' Tapi yang sebenarnya bukan saya yang pilih Jemari Seni, tapi dengan izin Allah, Jemari Seni yang pilih saya. Saya cuma mohon untuk manuskrip saya dinilai dan Alhamdulillah, Jemari Seni suka dengan manuskrip dan sukacita untuk menerbitkan novel sulung saya.

Bagi saya Jemari Seni cukup istimewa. Memang laman web menarik minat saya, tapi yang lebih menarik hati saya adalah dua wanita belakang tabir yang bekerja bertungkus lumus, tidak kira siang dan malam. Bagi saya, cara mereka bekerja itu memanglah lahir dari hati yang ikhlas dan niat untuk mengimarahkan lagi dunia novel Melayu disamping mencari rezeki yang Allah limpahkan pada kita.

Saya diantara berpuluh-puluh atau mungkin beratus-ratus individu yang mahu dirinya dipanggil penulis tapi layanan yang saya terima dari dua wanita ini sangat istimewa. 'Personal touch' sebegini mungkin kurang atau tidak ujud lagi di kebanyakan syarikat penerbitan di tanah air. Takkan ada editor yang sanggup untuk baca dan baca dan baca lagi manuskrip mentah saya ini kemudian menunjukkan satu demi satu kesalahan ejaan atau fakta yang perlu diperbetulkan. Malah, sanggup pula bersengkang mata hampir setiap malam untuk 'double-check' fakta-fakta tersebut disebabkan perbezaan waktu antara benua ini.

Biarpun baru. Biarpun sedikit saja judul yang sudah ada di pasaran, sentuhan peribadi Jemari Seni sangat istimewa pada sesiapa yang mengenalinya. Hanya jauhari mengenal manikam.

Terima kasih kak Su dan kak Yah!

Friday, October 05, 2007

Kelahiran

Sengaja saya biarkan blog ini tidak diisi dengan catatan terbaru kerana waktu itu belum ada perkembangan terbaru dengan Zahrah de Tigris (ZdT). Rasa malu pula hendak mengisi catatan sedangkan belum ada perkembangan lagi sehinggalah dua hari lepas, KakYah beritahu saya yang ZdT sudah selamat dicetak. Alhamdulilah.

Judul asal ZdT sebenarnya adalah Bunga Tigris (sebab itu blog ini alamatnya bungatigris.blogspot.com) tapi setelah diamati, diperiksa dan berbincang, kami sepakat dengan nama Zahrah de Tigris. Zahrah bermaksud bunga putih de Tigris pula menunjukkan tempat, atau lebih tepatnya Sungai Tigris di kota Baghdad di Iraq. Oh ya, ada juga spesis bunga mawar yang dinamakan Rosa Tigris, kembangnya berwarna kuning. Khairunnisa pula bermaksud sebaik-baik wanita.


(imej dari: http://www.dkimages.com/discover/Home/Plants/Classification/Tracheophyta/Magnoliophyta/
Magnoliopsida/Rosales/Rosaceae/Rosa/Modern-Roses/Shrub/Rosa-Tigris/Rosa-Tigris-1.html)


Cantikkan bunganya? Tapi saya tak pasti sama ada bunga ini ada tumbuh di Iraq atau tidak. Saya belum pernah menjejakkan kaki ke sana. Teringin benar hendak meneroka bumi Arab, terutama sekali ke Bait ul Haram, InsyaAllah (mohon supaya Allah menjemput saya ke rumahNya). Setakat ini saya hanya berjaya ke Amman, Petra dan Laut Mati di Jordan. Kemudian dapatlah menjejakkan kaki sekitar sejam saja di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai ketika dalam perjalanan ke Glasgow, Scotland. Selebihnya saya hanya melihat pemandangan dari tingkap lonjong pesawat. Saya mula berangan yang suatu hari nanti saya bakal menjelajah Dubai pula.

Syok kan berangan? Kata satu makcik angkat saya - saya gelarkan dia Datin Mak Ngah, "berangan percuma, tak perlu bayar." Tapi berangan boleh bawa kita pergi jauh - melangkau batas sempadan, benua dan masa.

Hmm... Kak Yah hantar pesan melalui Google Talk, dua buah buku sudah diposkan ke sini. InsyaAllah boleh dibaca waktu raya. Kiranya, buah tangan rayalah untuk saya nanti. Wah! Seronoknya dapat membaca 'edited version' di waktu senggang. Kebetulan kolej di tempat saya bekerja waktu pagi akan ditutup seminggu kerana cuti sekolah (October Week). Oh! Seronoknya tak perlu bangun terlalu awal untuk pergi bekerja, apatah lagi waktu itu sudah ke penghujung musim luruh dan bakal memasuki musim sejuk. Subuh berlanjutan sehingga jam 7am. Wah! Boleh bermalas-malasan di dalam duvet sambil memegang buku, kan?

Ah! Saya ni berangan lagi sebenarnya. Mungkin juga buku itu akan saya terima lebih lewat dari yang dijangkakan. Mungkin seminggu di dalam musim sejuk? Mungkin ada yang tertanya, lembab sungguh sistem pos di sini. Bukan! Minggu ini dan berlanjutan hingga ke minggu depan, pekerja-pekerja Royal Mail sedang melancarkan mogok! Alahai....

Monday, August 27, 2007

Permulaannya



Bermula dari sebuah angan-angan kosong, menjadi himpunan kata-kata lantas membentuk baris-baris ayat. Akhirnya terlahirlah 'puteri' sulung. Zahrah, seputih dan sebersih kelopak bunga yang mekar menjemput sang mentari pagi. Semoga kelahirannya mampu memberikan sedikit keceriaan dan meramaikan lagi 'ulat-ulat buku' di muka bumi Allah ini.

Jazakallah khair.

Tuesday, August 21, 2007

Aduhai

Waktu-waktu akhir bekerja dulu, tiba-tiba kotak minda diasak dengan kisah-kisah yang menyayat hati di Palestine. Kebetulan pula tarikh 21 Ogos adalah tarikh memperingati peristiwa berdarah di Baitul Maqdis. Sedih, geram, sakit hati bersilih ganti tatkala gambar-gambar yang tertera di kaca skrin komputer bertukar satu demi satu. Kemudian, rakaman di Baghdad pula memenuhi ruang pancaindera. Keadaan huru hara, bunyi letupan dan disusuli ngongoian tangisan, begitu meruntun jiwa.

Saya terfikir, apakah saya mampu berhadapan dengan situasi seperti itu sekiranya saya tercampak ke bumi Al-Masih itu atau negara yang pernah menyaksikan zaman kegemilangan peradaban Islam? Bagaimana agaknya seorang wanita Melayu akan sanggup meninggalkan keselesaan dan kesenangan di tanah sendiri lalu pergi berkelana jauh menabur bakti di sebuah negara yang berantakan?

Nisa adalah protagonis idaman saya. Saya mahu jadi seperti dia. Cekal, berani dan begitu menjaga statusnya sebagai Muslimah yang berpegang teguh dengan ajaran Allah. Tapi begitu, Nisa memang degil orangnya. Inilah satu sifatnya yang saya kurang gemar. Keras kepala, mahu berjuang walaupun sanggup membelakangkan perasaan ayah dan ibunya.

Mei 2003

Kalaulah emak tahu keadaan aku di sini, mesti dia menangis hiba. Mesti dia bentak-bentak suruh aku bungkus baju dan balik sekarang juga. Bukanlah sekarang pun dia tidak bentak-bentak suruh aku balik, cuma aku selalu pujuk dia yang keadaan aku baik. Aku selamat. Sedangkan pada hakikatnya sekarang, aku dan beribu-ribu rakyat tempatan tersepit di antara bedilan-bedilan mortar dan peluru-peluru raifal yang sering bersimpang siur tidak kenal mangsa, lelaki atau perempuan, orang tua mahupun kanak-kanak.

Aku di bumi Sungai Tigris. Atau lebih tepat Baghdad, Iraq. Bumi Arab, tempat pusat kebudayaan dan ilmu Allah sejak zaman sahabat Rasulullah. Ramai para ulama dan bijak pandai dahulu kala yang mengaji, menimbu ilmu Allah di sini. Di bumi inilah dan sinilah tempatnya juga, sudah hampir dua tahun aku tercampak. Bukan! Mencampakkan diriku di tanah Arab ini. Ini semua gara-gara terpengaruh dengan sekumpulan pelajar Iraq yang belajar satu universiti dengan aku di Glasgow, Scotland dahulu.

Bayangkanlah dari sebuah tanah “mat salleh” yang berwarna-warni dengan budaya kebaratan, aku mencari parah sendiri di bumi Arab, tanah panas dan suhu kering yang boleh mencecah hampir ke empat puluh darjah Celcius pada musim panas. Mungkin aku sendiri yang “gatal”, aku sendiri mengada-ngada. Aku yang memilih jalan ini. Emak dan abah hantar aku belajar ke Glasgow, aku “menggatal” ingin menyertai perjuangan. Lepas sebulan dua di Baghdad, hampir setiap hari aku menangis.