Followers

Thursday, May 12, 2011

Buku oh Buku

kalau nak cuba-cuba baca tajuk buku, klik pada gambar :)

Antara majalah dan buku, saya memang sangat teruja dengan buku. Genre juga berubah mengikut perubahan usia. Masa saya kecil-kecil dulu, abah selalu bawa saya ke Changkat Pavillion untuk pergi ke pesta buku. Itu sajalah cara abah luangkan masa bersama kami, sebab hari-hari lain abah sibuk bekerja 7 hari seminggu, 30 hari sebulan dan lebih 300 hari setahun. Kami cuma bercuti masa Hari Raya Eidulfitr dan Eiduladha. Dan satu hari bersama-sama ke Changkat Pavillion untuk pesta buku. Balik dari pesta buku, mesti singgah di sebuah taman permainan kecil dan main sebentar di situ. Ada satu 'gua batu' khas untuk kanak-kanak bermain sorok-sorok tapi dijadikan tempat khas pula untuk lelaki-lelaki berkelakuan seperti anjing melepas hadas. Meloyakan!

Tapi saya tetap pulang dengan gembira. Abah bermurah hati membelikan macam-macam buku bacaan yang nipis-nipis. Antara buku yang saya ingat adalah koleksi kisah-kisah rakyat di dunia. Yang paling melekat diminda, kisah tentang seorang budak yang perasan ada retak dan lubang di dinding empangan lalu dia tutup lubang itu dengan beg sekolahnya. Dia takut lubang itu akan membesar dan lalu empangan akan pecah. Dia berdiri di situ hingga malam, sampailah orang-orang kampung yang mencarinya jumpa dia yang sudah kepenatan. Tidak lama selepas itu, barulah saya tahu cerita itu merupakan cerita rakyat yang terkenal di Belanda.

Saya membesar dengan buku-buku Enid Blyton seperti Tujuh Sekawan dan kisah Gemuk dan kawan-kawannya. Kadang-kadang, balik sahaja dari urusan bank, abah belikan saya majalah Bujal dan Kuntum di sebuah pasaraya yang ada iklan gambar lelaki bertopi tinggi, baju kot ber-ekor berjalan dengan langkah panjang sambil memegang tongkat. Di bawahnya ditulis nama lelaki itu - Jack Daniels.

Apabila sudah menjejak usia remaja, genre pun berubah. Saya minat pula cerita-cerita misteri seperti Adik Beradik Hadi, siri Salma dan Alfred Hitchcock. Oh, saya masih ingat lagi tagline penyiasat bertiga ini - Jalil: Penyiasat Pertama, Ah Meng: Penyiasat Kedua, Gopal: Rekod dan Penyelidikan. Kami Menyiasat Apa Sahaja. Masa itu mana ada slogan 1Malaysia. Cukup dengan semangat muhibbah antara kaum terbesar. Seronok sangat. Inilah buku-buku yang banyak mempengaruhi saya dalam bidang penulisan dan penterjemahan. Kenapa?

Saya rasa bidang penterjemahan berpuluh tahun dahulu, walaupun tidak meluas tetapi sangat-sangat cemerlang. Ketika saya baca cerita Gemuk dan kawan-kawannya, saya rasa persekitaran dalam cerita itu amat dekat dengan saya. Tidak langsung terasa saya baca tulisan yang latarnya terletak di luar negara. Hampir semua gambaran dalam latar cerita mahupun plotnya di-Malaysiakan. Mungkin ada beberapa keadaan yang tidak dapat diubah, tetapi penceritaan, imaginasinya tetap sampai. Begitu juga dengan cerita Adik Beradik Hadi (Hardy Boys). Dan apa yang saya ingat, rumah bapa mereka adalah di Kelang! Masa itu saya bayangkan Kelang itu sungguh moden sekali sebab Encik Hadi ni ada satu bot persendirian. Wah! Macam Hawaiian Five-Oh. Manalah saya pernah pergi ke Kelang waktu itu!

Kemudian bila sudah masuk sekolah menengah, saya berkenalan pula dengan siri 'Sweet Dreams' dan 'Sweet Valley High', kisah cinta budak-budak belasan tahun dan semua latar ceritanya dari US. Ada kurang dari 10 buku siri-siri ini yang saya kumpul waktu usia 13 tahun, masih disimpan hingga sekarang. Dari buku-buku ini (walaupun tak ada pengajaran pun dan banyak melalaikan) saya perbaiki bahasa Inggeris saya. Sanggup tergolek-golek dalam gelap bertemankan lampu suluh semata-mata hendak baca buku-buku cerita ini.


Kemudian, buku-buku-buku roman menjadi pilihan. Tetapi roman yang saya cari waktu itu mesti mempunyai plot 'thriller', membayangkan hero yang 'macho' dan heroin yang 'berani' juga. Saya mula kenal penulis-penulis popular dan yang menjadi pilihan saya hingga sekarang adalah Sandra Brown dan Linda Howard. Mereka berdua berjaya menambat hati kerana stail penulisan mereka, segar. Perwatakan hero dan heroin mereka berbeza dari satu buku ke satu buku (walaupun ada juga juga satu dua yang sama). Penulis Jill Barnett dan Steff Ann Holmes pula saya minat kerana kelembutan cerita yang bersulam jenaka. Buku tulisan Jill Barnett yang saya suka bertajuk 'Surrender A Dream". Kenapa? Sebab heroin dalam naskah ini seorang yang berhati waja. Sentiasa kreatif dalam menyelesaikan masalah. Dari naskah inilah saya bina watak-watak 'wirawati' dalam naskah-naskah saya juga.

Sekarang saya sudah jarang meladeni buku-buku roman. Tapi apabila saya perlu menambah idea, saya akan cari juga buku-buku begini. Tapi saya sudah mempunyai genre lain yang lebih menambat hati. Tak pe lah. Yang itu lain kali saya tepek gambar.. sebab buku-bukunya belum tiba lagi huhuhu.

Sekarang rak buku saya sudah hampir penuh. Tapi sayangnya masa untuk saya duduk dan membaca sekarang semakin kurang. Ada satu dua buku saya sengaja simpan dalam kereta. Dapat dimanfaatkan ketika menunggu mak beli barang di pasar atau menunggu lampu trafik merah bertukar hijau. Sekarang ni tengah berfikir nak letak kat mana lagi buku-buku yang bakal tiba. Sekarang rak tu memang letaknya di dapur. Takkan dapur saya akan bertukar menjadi perpustakaan pula? Haish!


2 comments:

DianaTakyuddin said...

uwah...sye pon suke sgt aik-beradik hadi n siri salma!!:)

khairyn said...

ha ah saya pun sangat suka.. sayang buku-buku ni dah tak ada dalam simpanan lagi