.....Sebulan sebelum dia bercuti ke Jordan, dia menerima jemputan dari sahabatnya Nourma untuk menghadiri jamuan Qiraaya. Jamuan ini khas untuk kaum wanita sahaja dan ia diadakan khas untuk menyambut Hari Asyura, hari ke sepuluh dan kebesaran dalam bulan Muharam. Signifikan hari ini memang besar untuk rakyat Iraq tidak kira berfahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah atau pun Syiah. Inilah kali pertama Khairunnisa menghadiri jamuan Qiraaya. Ini juga kali pertama Khairunnisa merasa bubur enak yang dipanggil harissa dan pelbagai manisan lain. Bubur ini sama terkenalnya di sini seperti bubur Asyura di Malaysia.
Selepas menjamu selera dengan makanan dan manisan, mereka akan duduk berkumpul mengelilingi beberapa orang wanita yang dipanggil khas untuk bercerita mengenai kejadian ngeri yang menimpa cucu Rasulullah, Hussein ataupun di sini dipanggil Imam Al-Hussein dan pengikutnya di Karbala. Cerita melalui syair dan nyanyian atau pun maqtal ini disampaikan dengan penuh perasaan. Bahasa yang digunakan sungguh halus sehinggakan Khairunnisa walaupun masih belum betul-betul mahir dengan bahasa halus, tetap tersentuh dengan maqtal yang disampaikan oleh wanita-wanita yang kebanyakannya sudah berusia awal empat puluhan itu. Ramai yang mendengar maqtal turut menghamburkan air mata kesedihan.
Rakyat Iraq berfahaman Syiah memang sentiasa mengingati peristiwa hitam yang menimpa Imam Al-Hussein sampai bila-bila. Mereka tahu kedatangan cucu Rasulullah ke sini adalah kerana menerima pelawaan sebagai Khalifah di sini, tapi apabila kumpulan Imam Al-Hussein tiba di Kouffa berdekatan Karbala, mereka telah diserang oleh Yazid daripada keturunan Muawiyah. Yazid juga merupakan saudara jauh dengan Hussein.
Kumpulan Hussein jauh lebih kecil daripada bala tentera Khalid apatah lagi terdapat ramai kaum wanita dan kanak-kanak, tetapi mereka tetap memberi tentangan hebat. Setelah beberapa hari bertempur, bekalan makanan dan air semakin berkurangan. Dan pada masa inilah Yazid melancarkan serangan yang lebih hebat ke atas kumpulan Hussein.
Menurut ceritanya, Hussein tetap bertarung walaupun badannya sudah cedera parah akibat dipanah dan luka terkena pedang yang dihunus berkali-kali terhadapnya. Malah cerita itu lagi menerangkan bagaimana Hussein tetap bertahan walaupun hanya bertarung dengan sebelah tangan sahaja sehinggalah baginda gugur akhirnya, pada hari ke sepuluh di bulan Muharam. Kumpulan baginda turut dibunuh dengan kejam oleh tentera Yazid.
Sejak itu, penduduk Iraq merasa sangat-sangat bersalah kerana tidak datang menolong baginda melawan tentera Yazid. Mereka mengenang peristiwa itu melalui Qiraaya ini. Tapi, di Iran, perasaan bersalah tentang peristiwa di Karbala disambut dengan ‘perayaan’ yang lebih ekstrem. Kaum lelaki berpakaian serba hitam dengan kain hijau melilit di dahi akan berbaris di jalan-jalan membawa segugus rantai besi yang diikat pada batang besi atau kayu.
Bendera berwarna hijau dengan wajah Imam Al-Hussein diletakkan di sepanjang jalan dan mereka akan berjalan diiringi dengan bunyi gendang lalu memalu belakang mereka dengan rantai-rantai besi ini sehingga berdarah. Ini menunjukkan rasa bersalah mereka terhadap cucu Rasulullah kerana tidak menolong baginda menentang tentera Yazid sehingga baginda dibunuh dengan kejam oleh tentera dari keturunan Muawiyah itu. Kini perayaan yang dikenali sebagai Latmiya itu, sudah mula diraikan di sini......
Selamat Menghayati 10 Muharram.SEJARAH 10 MUHARRAM
Imam al-Ghazali menyebut dalam kitabnya
Mukasyafatul Qulub bahawa pada tarikh tersebut:
(1) Terbunuhnya Sayyidina Hussain (cucu Nabi) di Karbala'.
(2) Diterima taubat Nabi Adam a.s.
(3) Dicipta Adam a.s.
(4) Dimasukkan Adam a.s ke dalam syurga.
(5) Dicipta arasy, Kursi, langit, matahari, bulan, bintang-bintang.
(6) Dilahirkan Nabi Ibrahim a.s.
(7) Selamat Nabi Ibrahin daripada api Namrud.
(8) Selamat Musa dan pengikutnya.
(9) Lemas Firaun.
(10) Dilahirkan Nabi Isa a.s.
(11) Diangkat Nabi Isa kelangit.
(12) Diangkat Nabi Idris ke langit.
(13) Mendaratnya kapal Nabi Nuh dengan selamat di atas bukit Judy.
(14) Nabi Sulaiman diberi kerajaan yang besar.
(15) Dikeluarkan Nabi Yunus dari perut ikan Nun.
(16) Nabi Ya'kub dapat melihat kembali selepas daripada menjadi buta.
(17) Dikeluarkan Nabi Yusuf daripada telaga buta.
(18) Disembuhkan Nabi Ayyub daripada penyakitnya.
(19) Hujan yang pertama turun dari langit kebumi.
Wallahu A'lam.
wallahua'lam.