Followers

Friday, October 05, 2007

Kelahiran

Sengaja saya biarkan blog ini tidak diisi dengan catatan terbaru kerana waktu itu belum ada perkembangan terbaru dengan Zahrah de Tigris (ZdT). Rasa malu pula hendak mengisi catatan sedangkan belum ada perkembangan lagi sehinggalah dua hari lepas, KakYah beritahu saya yang ZdT sudah selamat dicetak. Alhamdulilah.

Judul asal ZdT sebenarnya adalah Bunga Tigris (sebab itu blog ini alamatnya bungatigris.blogspot.com) tapi setelah diamati, diperiksa dan berbincang, kami sepakat dengan nama Zahrah de Tigris. Zahrah bermaksud bunga putih de Tigris pula menunjukkan tempat, atau lebih tepatnya Sungai Tigris di kota Baghdad di Iraq. Oh ya, ada juga spesis bunga mawar yang dinamakan Rosa Tigris, kembangnya berwarna kuning. Khairunnisa pula bermaksud sebaik-baik wanita.


(imej dari: http://www.dkimages.com/discover/Home/Plants/Classification/Tracheophyta/Magnoliophyta/
Magnoliopsida/Rosales/Rosaceae/Rosa/Modern-Roses/Shrub/Rosa-Tigris/Rosa-Tigris-1.html)


Cantikkan bunganya? Tapi saya tak pasti sama ada bunga ini ada tumbuh di Iraq atau tidak. Saya belum pernah menjejakkan kaki ke sana. Teringin benar hendak meneroka bumi Arab, terutama sekali ke Bait ul Haram, InsyaAllah (mohon supaya Allah menjemput saya ke rumahNya). Setakat ini saya hanya berjaya ke Amman, Petra dan Laut Mati di Jordan. Kemudian dapatlah menjejakkan kaki sekitar sejam saja di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai ketika dalam perjalanan ke Glasgow, Scotland. Selebihnya saya hanya melihat pemandangan dari tingkap lonjong pesawat. Saya mula berangan yang suatu hari nanti saya bakal menjelajah Dubai pula.

Syok kan berangan? Kata satu makcik angkat saya - saya gelarkan dia Datin Mak Ngah, "berangan percuma, tak perlu bayar." Tapi berangan boleh bawa kita pergi jauh - melangkau batas sempadan, benua dan masa.

Hmm... Kak Yah hantar pesan melalui Google Talk, dua buah buku sudah diposkan ke sini. InsyaAllah boleh dibaca waktu raya. Kiranya, buah tangan rayalah untuk saya nanti. Wah! Seronoknya dapat membaca 'edited version' di waktu senggang. Kebetulan kolej di tempat saya bekerja waktu pagi akan ditutup seminggu kerana cuti sekolah (October Week). Oh! Seronoknya tak perlu bangun terlalu awal untuk pergi bekerja, apatah lagi waktu itu sudah ke penghujung musim luruh dan bakal memasuki musim sejuk. Subuh berlanjutan sehingga jam 7am. Wah! Boleh bermalas-malasan di dalam duvet sambil memegang buku, kan?

Ah! Saya ni berangan lagi sebenarnya. Mungkin juga buku itu akan saya terima lebih lewat dari yang dijangkakan. Mungkin seminggu di dalam musim sejuk? Mungkin ada yang tertanya, lembab sungguh sistem pos di sini. Bukan! Minggu ini dan berlanjutan hingga ke minggu depan, pekerja-pekerja Royal Mail sedang melancarkan mogok! Alahai....

1 comment:

Anonymous said...

salam.

sy dah khatam bc zahrah de tigris. tahniah! best sgt ceritanya. sy tak pernah bc buku sebegini. ceritanya benar2 berjaya menawan hati saya. part yg paling sedih ialah kematian seramai 400 org wanita & anak2 perempuan. mengalir air mata sy membacanya.
- nacha -