Followers

Wednesday, October 31, 2007

Ampun


Oh banyak betul kerja yang tertangguh. Tak dapat dihabiskan. Terlalu banyak janji yang ditabur, tak dilunaskan. Berdosa sungguh! Baik, akan dicuba lunaskan satu demi satu.

Janji 1 - Cerita aku yang brutal.
Macamana orang bercerita tentang perkara yang tidak pernah dia alami? Ramai nak tahu macamana orang brutal bercinta? hahaha.. siap dengan 'flying kick' chopping hand kot. Entah? Macamana orang brutal berchenta? Sungguh ke nak tahu ni? OK saya cerita. Orang brutal kalau bercinta... buruk!! Bercinta macam nak rak. Mengalahkan orang bercinta tahap dewa dewi. Romantisnya berlebih-lebih? Merajuk yang bukan-bukan? Mengada-ngada? hahahaha semua itu perangai orang yang 'ganaz' kalau berchenta sampai orang sekeliling pun tak sanggup nak lihat. Sungguh! Kenapa? Tak percaya? Nak cuba berchenta dengan saya?? hahahaha.. Garenti menyesal!

Tapi saya tak pilih orang biasa. Orang brutal tak pilih manusia atau rakyat marhaen menjadi cinta hatinya. Panahan sang arjuna sakti yang dicari. Ini bermakna si dia haruslah orang luar biasa. Tahap dewa dewa juga. Dia harus mempunyai sakti. Tapi dia tak harus memakai spandex kerana orang brutal tahu, seluar katuk itu duduknya di dalam, bukan di luar. Kordinasi warna haruslah seimbang. Bukan berbaju biru, berseluar merah... begitulah. Orang brutal juga mahu si dia mestilah mempunyai semangat pejuang, persis dirinya sendiri. Berjuang menyelamat isi dunia. Manusia sejagat. Membenteras anasir-anasir jahat yang datang dari luar. Luar bumi. Alam semesta. Ya.... cinta hati orang brutal ini haruslah penyelamat-penyelamat bumi. Mungkinkah dia Ultraman? Kesatria Baja Hitam? Gaban? Mospeda? Inilah wira-wira penyelamat bumi idaman orang brutal ini. hehehe

Cerita 2 - Review Zahrah de Tigris
Kita serius sedikit ye. Review tentang Zahrah de Tigris sudah keluar dalam Berita Minggu Ruangan Sastera pada 28/10/07. Hanya merit untuk 2 para dan 73 patah perkataan. Mungkin ada yang sedih atau terkilan kerana review yang keluar 70% adalah salah. Tak apa, saya tak terkilan atau sedih atau marah kerana saya pernah berada dalam situasi begitu. Sekarang saya rasa apa pembaca rasa apabila membaca sesuatu yang dirasakan tidak lengkap atau tidak betul. Saya juga pernah menjadi wartawan dimana artikelnya disalah erti, dipotong dan dibiarkan keluar sekadar mahu memenuhi ruang. Itu bagi saya lebih memalukan dan 'compromising my intergrity'. Jadi saya tak salahkan wartawan yang review ZdT. Dia sudah buat sedaya upayanya tapi urusan 'gatekeeper' bukan urusannya. Itu sudah asam garam sebagai wartawan dan dunia penulisan.

Apa yang penting, review sudah keluar. Janji sudah ditepati. Tugas sudah dilaksanakan, amanah sudah dilunaskan. Bagi saya pula 'There is no BAD publicity, just PUBLICITY'. Sekurang-kurangnya ZdT masih mendapat slot dalam ruangan yang terhad. Mungkin ada penulis-penulis lain yang langsung tidak mendapat tempat untuk karya mereka di'review'. Pembaca-pembaca novel Melayu tahu memilih genre jenis apa yang mereka mahukan dan menilai sendiri buku apa yang mahu mereka baca. Kadang-kadang kita patut 'trust word of mouth' dikalangan pembaca-pembaca sendiri. Setiap manusia ini punya citarasa yang berbeza. Bak pesan ayahanda 'one man's meat is indeed another man's poison' dan kita tak mampu untuk memuaskan hati semua orang.

PEACE!

Tuesday, October 23, 2007

Relaks dulu



Kebanyakan maklumbalas yang saya terima - secara terus mahupun tidak - mengatakan Zahrah de Tigris ni, lain dari yang lain. Menggunakan stail yang berbeza. Ada pula yang mengatakan macam baca jurnal perang pun ada. Saya suka maklumbalas macam ni.

Kenapa ye?

Sebenarnya saya teringin juga tulis buku bercerita tentang cinta (bukankah cinta itu begitu luas maknanya?). Tapi saya tak berapa berani tulis cerita cinta Adam dan Hawa secara terus begini.

Kenapa ye?

Sebab saya ni brutal!

hahahahaha

oh sambung nanti. Ada kelas hari ni


Wednesday, October 10, 2007

Alhamdulillah

Ada seorang rakan bertanya, kenapa pilih Jemari Seni sebagai penerbit buku? Kenapa tidak pilih saja syarikat penerbitan yang tersohor tu? Atau hantar saja kepada syarikat yang punya nama inggeris tu. Mereka pun banyak terbitkan buku yang banyak nilai komersil.

Saya senyum. Dengan ringkas saya jawab 'Saja. Laman webnya nampak cantik dan kemas.' Tapi yang sebenarnya bukan saya yang pilih Jemari Seni, tapi dengan izin Allah, Jemari Seni yang pilih saya. Saya cuma mohon untuk manuskrip saya dinilai dan Alhamdulillah, Jemari Seni suka dengan manuskrip dan sukacita untuk menerbitkan novel sulung saya.

Bagi saya Jemari Seni cukup istimewa. Memang laman web menarik minat saya, tapi yang lebih menarik hati saya adalah dua wanita belakang tabir yang bekerja bertungkus lumus, tidak kira siang dan malam. Bagi saya, cara mereka bekerja itu memanglah lahir dari hati yang ikhlas dan niat untuk mengimarahkan lagi dunia novel Melayu disamping mencari rezeki yang Allah limpahkan pada kita.

Saya diantara berpuluh-puluh atau mungkin beratus-ratus individu yang mahu dirinya dipanggil penulis tapi layanan yang saya terima dari dua wanita ini sangat istimewa. 'Personal touch' sebegini mungkin kurang atau tidak ujud lagi di kebanyakan syarikat penerbitan di tanah air. Takkan ada editor yang sanggup untuk baca dan baca dan baca lagi manuskrip mentah saya ini kemudian menunjukkan satu demi satu kesalahan ejaan atau fakta yang perlu diperbetulkan. Malah, sanggup pula bersengkang mata hampir setiap malam untuk 'double-check' fakta-fakta tersebut disebabkan perbezaan waktu antara benua ini.

Biarpun baru. Biarpun sedikit saja judul yang sudah ada di pasaran, sentuhan peribadi Jemari Seni sangat istimewa pada sesiapa yang mengenalinya. Hanya jauhari mengenal manikam.

Terima kasih kak Su dan kak Yah!

Friday, October 05, 2007

Kelahiran

Sengaja saya biarkan blog ini tidak diisi dengan catatan terbaru kerana waktu itu belum ada perkembangan terbaru dengan Zahrah de Tigris (ZdT). Rasa malu pula hendak mengisi catatan sedangkan belum ada perkembangan lagi sehinggalah dua hari lepas, KakYah beritahu saya yang ZdT sudah selamat dicetak. Alhamdulilah.

Judul asal ZdT sebenarnya adalah Bunga Tigris (sebab itu blog ini alamatnya bungatigris.blogspot.com) tapi setelah diamati, diperiksa dan berbincang, kami sepakat dengan nama Zahrah de Tigris. Zahrah bermaksud bunga putih de Tigris pula menunjukkan tempat, atau lebih tepatnya Sungai Tigris di kota Baghdad di Iraq. Oh ya, ada juga spesis bunga mawar yang dinamakan Rosa Tigris, kembangnya berwarna kuning. Khairunnisa pula bermaksud sebaik-baik wanita.


(imej dari: http://www.dkimages.com/discover/Home/Plants/Classification/Tracheophyta/Magnoliophyta/
Magnoliopsida/Rosales/Rosaceae/Rosa/Modern-Roses/Shrub/Rosa-Tigris/Rosa-Tigris-1.html)


Cantikkan bunganya? Tapi saya tak pasti sama ada bunga ini ada tumbuh di Iraq atau tidak. Saya belum pernah menjejakkan kaki ke sana. Teringin benar hendak meneroka bumi Arab, terutama sekali ke Bait ul Haram, InsyaAllah (mohon supaya Allah menjemput saya ke rumahNya). Setakat ini saya hanya berjaya ke Amman, Petra dan Laut Mati di Jordan. Kemudian dapatlah menjejakkan kaki sekitar sejam saja di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai ketika dalam perjalanan ke Glasgow, Scotland. Selebihnya saya hanya melihat pemandangan dari tingkap lonjong pesawat. Saya mula berangan yang suatu hari nanti saya bakal menjelajah Dubai pula.

Syok kan berangan? Kata satu makcik angkat saya - saya gelarkan dia Datin Mak Ngah, "berangan percuma, tak perlu bayar." Tapi berangan boleh bawa kita pergi jauh - melangkau batas sempadan, benua dan masa.

Hmm... Kak Yah hantar pesan melalui Google Talk, dua buah buku sudah diposkan ke sini. InsyaAllah boleh dibaca waktu raya. Kiranya, buah tangan rayalah untuk saya nanti. Wah! Seronoknya dapat membaca 'edited version' di waktu senggang. Kebetulan kolej di tempat saya bekerja waktu pagi akan ditutup seminggu kerana cuti sekolah (October Week). Oh! Seronoknya tak perlu bangun terlalu awal untuk pergi bekerja, apatah lagi waktu itu sudah ke penghujung musim luruh dan bakal memasuki musim sejuk. Subuh berlanjutan sehingga jam 7am. Wah! Boleh bermalas-malasan di dalam duvet sambil memegang buku, kan?

Ah! Saya ni berangan lagi sebenarnya. Mungkin juga buku itu akan saya terima lebih lewat dari yang dijangkakan. Mungkin seminggu di dalam musim sejuk? Mungkin ada yang tertanya, lembab sungguh sistem pos di sini. Bukan! Minggu ini dan berlanjutan hingga ke minggu depan, pekerja-pekerja Royal Mail sedang melancarkan mogok! Alahai....

Monday, August 27, 2007

Permulaannya



Bermula dari sebuah angan-angan kosong, menjadi himpunan kata-kata lantas membentuk baris-baris ayat. Akhirnya terlahirlah 'puteri' sulung. Zahrah, seputih dan sebersih kelopak bunga yang mekar menjemput sang mentari pagi. Semoga kelahirannya mampu memberikan sedikit keceriaan dan meramaikan lagi 'ulat-ulat buku' di muka bumi Allah ini.

Jazakallah khair.

Tuesday, August 21, 2007

Aduhai

Waktu-waktu akhir bekerja dulu, tiba-tiba kotak minda diasak dengan kisah-kisah yang menyayat hati di Palestine. Kebetulan pula tarikh 21 Ogos adalah tarikh memperingati peristiwa berdarah di Baitul Maqdis. Sedih, geram, sakit hati bersilih ganti tatkala gambar-gambar yang tertera di kaca skrin komputer bertukar satu demi satu. Kemudian, rakaman di Baghdad pula memenuhi ruang pancaindera. Keadaan huru hara, bunyi letupan dan disusuli ngongoian tangisan, begitu meruntun jiwa.

Saya terfikir, apakah saya mampu berhadapan dengan situasi seperti itu sekiranya saya tercampak ke bumi Al-Masih itu atau negara yang pernah menyaksikan zaman kegemilangan peradaban Islam? Bagaimana agaknya seorang wanita Melayu akan sanggup meninggalkan keselesaan dan kesenangan di tanah sendiri lalu pergi berkelana jauh menabur bakti di sebuah negara yang berantakan?

Nisa adalah protagonis idaman saya. Saya mahu jadi seperti dia. Cekal, berani dan begitu menjaga statusnya sebagai Muslimah yang berpegang teguh dengan ajaran Allah. Tapi begitu, Nisa memang degil orangnya. Inilah satu sifatnya yang saya kurang gemar. Keras kepala, mahu berjuang walaupun sanggup membelakangkan perasaan ayah dan ibunya.

Mei 2003

Kalaulah emak tahu keadaan aku di sini, mesti dia menangis hiba. Mesti dia bentak-bentak suruh aku bungkus baju dan balik sekarang juga. Bukanlah sekarang pun dia tidak bentak-bentak suruh aku balik, cuma aku selalu pujuk dia yang keadaan aku baik. Aku selamat. Sedangkan pada hakikatnya sekarang, aku dan beribu-ribu rakyat tempatan tersepit di antara bedilan-bedilan mortar dan peluru-peluru raifal yang sering bersimpang siur tidak kenal mangsa, lelaki atau perempuan, orang tua mahupun kanak-kanak.

Aku di bumi Sungai Tigris. Atau lebih tepat Baghdad, Iraq. Bumi Arab, tempat pusat kebudayaan dan ilmu Allah sejak zaman sahabat Rasulullah. Ramai para ulama dan bijak pandai dahulu kala yang mengaji, menimbu ilmu Allah di sini. Di bumi inilah dan sinilah tempatnya juga, sudah hampir dua tahun aku tercampak. Bukan! Mencampakkan diriku di tanah Arab ini. Ini semua gara-gara terpengaruh dengan sekumpulan pelajar Iraq yang belajar satu universiti dengan aku di Glasgow, Scotland dahulu.

Bayangkanlah dari sebuah tanah “mat salleh” yang berwarna-warni dengan budaya kebaratan, aku mencari parah sendiri di bumi Arab, tanah panas dan suhu kering yang boleh mencecah hampir ke empat puluh darjah Celcius pada musim panas. Mungkin aku sendiri yang “gatal”, aku sendiri mengada-ngada. Aku yang memilih jalan ini. Emak dan abah hantar aku belajar ke Glasgow, aku “menggatal” ingin menyertai perjuangan. Lepas sebulan dua di Baghdad, hampir setiap hari aku menangis.

Sunday, December 31, 2006

SEBAB DIKAU - PROLOG

Sebab Dikau

Kasihkan hidup sebab dikau
Segala kuntum mengoyak kepak
Membunga cinta dalam hatiku
Mewangi sari dalam jantungku

Hidup seperti mimpi
Laku lakon dilayar terkelar
Aku pemimpi lagi penari
Sedar siuman bertukar tukar

Maka merupa di datar layar
Wayang warna menayang rasa
Kalub rindu turut mengikut
Dua sukma esa - mesra -

Aku boneka kau boneka
Penghibur dalang mengatur tembang
Di layar kembang bertukar pandang
Hanya selagu, sepanjang dendang

Golek gemilang ditukarnya pula
Aku engkau dikotak terletak
Aku boneka engkau boneka
Penyenang dalang megarak sajak.
AMIR HAMZAH

PROLOG

Dari jauh Hafizah melihat sekumpulan anak muda Melayu sedang duduk bertenggek di atas batuan dipinggir perkarangan Gereja San Nicholas yang terletak hampir di puncak bukit Albaiyzin, Granada di Selatan Sepanyol. Ada enam orang kesemuanya. Kesejukan angin dingin lewat bulan Januari tidak langsung dipeduli. Mungkin seronok dapat menikmati suasana petang berlatar belakangkan keindahan pemandangan istana Al-Hambra yang gah di atas puncak Bukit La-Sabica setentang dengan Albaiyzin.

Dari gaya percakapan seperti melayu Malaysia. Pelajar-pelajar yang belajar di England mengambil kesempatan backpacking beramai-ramai agaknya, fikir Hafizah. Selalu sangat pelajar-pelajar Malaysia yang belajar di England atau di negara-negara lain dalam benua Eropah mengambil kesempatan melancong ke Sepanyol ketika cuti semester.

Salah seorang anak muda itu mengeluarkan sebuah gitar dan mula memetik mengalunkan lagu. Yang lain mula berkerumun. Kumpulan itu juga menarik perhatian pelancong asing yang lain. Anak muda itu mula menyanyi. Merdu juga suaranya.

Pilihan pertamanya, lagu popular kumpulan Search, Isabella. Hafizah tersenyum. Dia turut terhibur dengan nyanyian mereka. Lama sudah dia tidak mendengar gemersik lagu Melayu. Walaupun berirama rock, ia tetap menjadi halwa telinga pada Hafizah.

Selesai, anak muda mendapat tepukan dari mereka yang terhibur. Tersengih-sengih mereka menerima tepukan dari bangsa yang langsung tidak memahami bahasa Melayu. Gitar langsung bertukar tangan. Tali di petik menjanakan sebuah alunan lagu baru. Lembut.

“Aku terjaga dari tidur,

Bagai ada satu suara,

Yang lembut membisik padaku

Pulanglah...

Termenung di pagi yang dingin

Terkenangkan kampung halaman

Terbayang wajah-wajah sayu

Kurindu...

Tersentak Hafizah mendengar anak muda itu menyanyikan lagu lama Pulanglah, nyanyian Dato Shake. Kampung? Ya Allah. Sudah lama dia melupakan perkataan itu. Difikirnya sudah dipadam dari kamus hidupnya, rupanya ia masih segar di dalam kotak ingatan. Kampungnya sekarang di sini. Di bumi Sepanyol inilah kini tanah airnya.

Bertahun-tahun dia Malaysia dirasakan terlalu jauh, tapi kini bila mendengar lagu itu, terasa dia terlalu dekat dengan tanah tumpah darahnya. Tiba-tiba hatinya dirundung rasa rindu yang amat sangat. Rindu pada Hafizi dan rindu pada Hafifi. Rindu pada tanah air yang tidak pernah dijenguk lebih lima tahun. Lama sudah dia merajuk membawa hati.

Air mula tergenang dipelupuk mata. Dipejam matanya rapat-rapat. Usahlah menitik. Janganlah mengalir. Jari-jarinya menggenggam erat palang besi. Kesejukan yang menggigit sudah tidak dirasai. Setitis air gugur mengalir lesu di pipi. Cepat-cepat Hafizah menyeka dengan jari. Setitis lagi jatuh dan setitis lagi. Empangan airmatanya pecah dan kali ini dia tidak mampu menahannya lagi. Terhingguk-hingguk bahunya menahan sedu. Ya Allah! Ampuni dosaku.

Bersaksikan Al-Hambra di kejauhan, Hafizah terus menangis…