Sambung lagi...
“Aku selamatlah, Fik. Barang-barang aku pun selamat. Buat apa nak tambahkan kerja aku dan kerja polis kat balai tu. Entah-entah mereka pun bersyukur aku tak buat laporan.”
“Tak elok kau cakap macam tu. Sudah memang kerja mereka menyelamat dan melindungi orang ramai macam kita. Setiap kejadian curi atau jenayah macam ini perlu dilapor dan ini lebih memudahkan kerja mereka menjejaki penjenayah tersebut.”
Sarah angkat tangan dan letak tiga jari di dahi. “Baik tuan!” Dia berseloroh.
Fikri tersengih. Ini yang dia malas hendak bertekak dengan Sarah. Kadang-kadang dia terfikir macamanalah sahabatnya ini boleh tercampak ke dalam bidang kewartawanan kerana sikap Sarah yang kadang-kadang kebudak-budakan, tidak serius dan suka ambil mudah perkara-perkara dalam hidup membuatkan Fikri sering juga tertanya-tanya tentang kebolehan Sarah dalam bidang yang diceburinya sekarang. Tapi mungkin Sarah jenis yang ambil mudah akan perkara-perkara peribadi, tetapi dalam soal kerja dia sebenarnya sangat serius. Entahlah, Fikri pun masih dalam proses untuk mengenali peribadi Sarah dengan lebih intim.
“Pukul berapa kau akan bertolak ke KL, Fik?” Soalan berubah arah.
“Lepas jumpa kau ni, aku siap-siaplah nak pergi. Flight aku dalam pukul 10.45 pagi. Biasalah nak kena check-in dua jam sebelum.”
“Berapa lama kau kat UK tu?” Soal Sarah lagi. Cemburu juga dia dengan Fikri. Lepas habis sekolah menengah, terus ke universiti untuk degree, kemudian bila sudah bosan bekerja makan gaji, terus saja meneruskan pengajian di peringkat masters dan kini dalam usia 27 tahun sudah pula melangkah untuk meneruskan pengajian tertinggi dalam bidang akademik – PhD dan apabila pulang nanti pasti dia akan dapat gelaran Dr di awalan namanya; Dr Fikri Abdul Samad. Wah! Gerun juga dia memikirkannya. Sebenarnya teringin juga dia menuruti jejak langkah Fikri, tapi apakan daya dia tidak berkemampuan, bukan saja dari segi kewangan tetapi juga otaknya yang mungkin sudah berkarat untuk menghadap buku-buku ilmiah. Keputusan SPMnya dulupun nyaris-nyaris mendapat pangkat ‘Sarjan’. Lega juga dia dapat mendapat kerja sebagai wartawan, kalau tidak.. entahlah.
No comments:
Post a Comment