Balik sahaja dari pejabat, Hafizah terus singgah ke kedai runcit tidak jauh dari rumah. Pagi tadi dia sudah membeli tiga ekor ikan keli dan sedikit sayur-sayuran, cuma ada sedikit lagi ramuan yang diperlukan untuk memasak esok. Hafizi, adik lelakinya yang kini di dalam Tahun Tiga dalam kejuruteraan mekanikal di Universiti
Walaupun Hafizi tidak pernah meminta, Hafizah tahu lauk kegemaran adiknya itu. Ikan keli masak asam pedas dan sayur goreng. Setiap kali dia balik, mesti hidangan itu disediakan oleh Hafizah.
Hafizah menarik nafas panjang. Dia memusingkan badan. Dalam gelap, fikirannya menerawang... ikan keli masak asam pedas dan sayur goreng..
“Kau kalau makan tu, boleh tak ingat orang lain sekali?
Hafizi terus menyuapkan nasi bercampur ikan keli masak asam pedas ke mulut. Omelan ibunya tidak diendahkan. Yang penting perut mesti diisi. Kalau lambat, alamat tak makanlah dia. Lagipun dia ada aktiviti petang di sekolah, dia perlukan stamina.
“Hoi! Kau dengar ke tidak ni? Aku cakap buat tak tau aje. Hoi! Sudah sudah lah tu. Aku nak makan juga. Jangan ingat tembolok besar kau aje!” Jegil mata Nuraina memandang anak teruna yang tidak memperdulikan omelannya.
Hafizi terus membisu. Selesai makan dia mengangkat pinggan ke dapur. Di letakkan atas meja. Biar. Dia tidak kuasa hendak melayan ibunya. Dalam fikirannya sekarang, dia sudah kenyang dan tiba masanya untuk keluar. Lagi lewat dia keluar lagi lambat dia tiba di sekolah.
“Hah! Nak ke mana pulak tu? Lepas makan je terus keluar. Pinggan tu tak boleh basuh? Kau ingat aku ni apa? Kuli kau?” Makin nyaring suara Nuraina melepaskan geram. Tangan kanannya mula menggaru kepala yang tidak gatal. Dia geram sangat dengan perangai Hafizi yang endah tidak endah itu.
Hafizi terus melangkah keluar sambil menjinjing kasut sukan. Di birai pintu dia duduk untuk menyarungkan kasut. Tiba-tiba kepalanya ditujah keras.
“Hei! Dengar tak apa aku kata ni? Anak tak sedar di untung!” Jerkah Nuraina lagi. Apa kena anak ini? Degil sungguh.
Hafizi cepat-cepat bangun. Gila apa orang tua ni? Dia memandang ibunya. Atas bawah. Dia mencemik. Baru bangun tidur lah tu. Ada hati nak tanya ke mana aku pergi, getus hati kecilnya.
“Apa hal kau pandang aku macam tu? Nak kena libas dengan rotan lagi?” Perli Nuraina.
Hafizi tersenyum kecil. Badan tak terurus, rambut kusut masai, mata pun merah ada hati nak pukul aku? Entah-entah mabuk tak habis lagi. Aku tolak sekali, jatuh agaknya. Entah pukul berapa ibunya pulang malam tadi. Hafizi sudah tidak peduli. Apa ibunya buat, dengan siapa dia pergi, Hafizi tidak kisah. Niatnya cuma satu. Belajar rajin-rajin dan keluar dari rumah neraka jahanam ini. Apa nak jadi dengan orang lain dia tidak pernah mahu ambil peduli lagi. Hafizi mendengus dan terus berlari meninggalkan Nuraina di pintu yang berkain pelikat, berbaju tanpa lengan dan rambut kusut masai tanpa sepatah perkataan pun.
“Setan!!” Nuraina menjerit, sambil lagi bercekak pinggang.
Sudah lazim rumah setinggan di bina rapat-rapat. Kadang-kadang lorong ke setiap rumah cukup-cukup untuk tiga orang berjalan beriringan. Jalannya pun bukanlah rata, apatah lagi bertar. Tanah liat. Kalau musim hujan, kenalah berhati-hati, silap langkah boleh tergelincir. Parit-parit kecil yang berlumut hijau di buat selari dengan petak rumah. Besarnya cukup sekadar untuk melarikan air hujan dan kadang-kadang air kumbahan dari bilik air. Hanyir bercampur hancing. Papan-papan rumah yang lembab menambahkan aroma yang tidak menyenangkan sesiapa sahaja yang berjalan di lorong-lorong rumah setinggan.
bagi Hafizah dan penghuni Kampung Seri Ampangan di situ, mereka sudah biasa dengan laluan-laluan kecil. Sudah tahu mana lubang, mana lopak dan jalan mana yang licin. Ada yang sengaja membawa tisu lebih, bukan untuk menutup hidung tapi mengelap kasut yang selaput dek selut apabila menunggu bas di jalan besar.
Bau hamis atau hancing sudah tidak menjadi hal. Sebelum keluar, pakailah minyak wangi lebih sedikit. Hidung sudah lali dengan bau-bauan yang tidak menyenangkan dari rumah setinggan.
Hafizah berjalan dengan laju. Sesekali dia melompat kecil mengelak lopak. Hujan petang tadi lebat sungguh. Rumah-rumah yang berdekatan dengan sungai ada yang ditenggelami air paras lutut. Tadi, Rokiah kawannya di sekolah ada memberitahu, rumahnya mungkin ditenggelami air.
Banjir kilat sudah terlalu kerap berlaku sejak akhir-akhir ini. Kata orang inilah petanda negeri sudah maju. Sejak dasar kerajaan yang mementingkan pembangunan fizikal, terlalu banyak projek pembangunan terutama perumahan sedang dilaksanakan sekarang. Pembangunan yang tidak terkawal menyebabkan bencana alam seperti banjir kilat kerap berlaku terutama di kawasan rendah seperti Ampang.
Walaupun rumah keluarga Rokiah masih lagi dekat dengan hulu sungai, bila hujan lebat begini, rumahnya pasti ditenggelami air separas lutut. Kalau hujan di hulu, begitu juga keadaannya. Jadi mereka sekeluarga terpaksa berhati-hati. Apa sahaja benda atau peralatan yang penting, di letak di tempat tinggi. Penyapu lidi menjadi peralatan rasmi ketika banjir begini.
Titis-titis hujan mengenai kepala, tapi Hafizah langsung tidak memperdulikan rambutnya yang semakin basah. Hayunan langkah semakin laju. Dia perlu segera pulang. Sesekali dia menyeka titsan air di muka. Rambut lurus paras bahu semakin basah. Dia melirik pada jam di tangan kiri. Sudah hampir pukul sebelas setengah malam..
Badannya terasa letih teramat sangat. Sengal tangannya mengangkat dulang silih berganti sejak pukul tiga petang tadi. Kakinya juga terasa penat kerana terlalu lama berdiri dan berjalan mengangkat hidangan dan pinggan-pinggan kotor dari dewan makan ke dapur.
Tadi dia terpaksa bertugas lebih masa untuk dua function, satu high tea untuk wanita korporat pukul empat petang dan satu lagi wedding dinner dalam pukul lapan malam.
Sudah lebih setahun dia bekerja sambilan sebagai pelayan di hotel lima bintang di Jalan Sultan Ismail. Pendapatan tidak menentu, tapi kalau rajin boleh mencecah satu ribu ringgit. Rokiah yang memperkenalkan kerja tersebut semenjak mereka berdua di dalam tingkatan tiga lagi. Bagi mereka, jumlah wang begitu, memang sungguh lumayan.
Selalunya khidmat mereka di perlukan ketika cuti sekolah di mana ramai ahli-ahli korporat ataupun orang-orang berada membuat majlis di hotel terkemuka terutama sekali majlis perkahwinan. Apatah lagi sekarang, banyak hotel-hotel yang menawarkan pakej perkahwinan untuk menarik pelanggan.
Bukan setakat musim cuti sekolah, Ramadhan merupakan bulan paling sibuk apabila hotel-hotel menyediakan buffet Ramadhan istimewa yang memberi peluang warga
Teringatkan hidangan, perut Hafizah mula berkeroncong. Dia memang tidak sempat hendak menjamah sedikit pun nasi di hotel tempat dia bekerja. Walaupun polisi hotel tidak membenarkan pekerja mengambil lebihan makanan, kadang-kadang semangkuk dua dapat juga dia mengisi perut ataupun kadang-kadang di bawa pulang.
Lagi dua puluh meter ke pintu rumah, langkah Hafizah mula perlahan. Telinganya tajam mendengar suara keras ke dua ibu bapanya silih berganti. Tidak habis-habis menengking sesama sendiri. Tak sakit tekak ke? Hafizah merungut. Tangannya menyeluk kocek beg sandang. Segugus kunci di keluarkan. Telinganya bingit mendengar jerkah, sumpah seranah yang macam air paip keluar dari mulut ibu dan ayah.Langkahnya mati. Hafizah terpaku di halaman. Kepalanya tertunduk. Penat.
Topik utama, duit. Itu sahaja yang menjadi intipati setiap pertengkaran dan acapkali perang mulut yang bersulam sumpah seranah berakhir dengan sepak terajang dan perhiasan rumah yang hanya boleh dibilang dengan jari pecah berderai dihempas ke dinding.
“Fiza..” Satu sapaan lembut hinggap di gegendang telinga Hafizah. Dia menoleh. Seorang wanita berbadan gempal berdiri di muka pintu di rumah sebelah. Hafizah memandang wajah wanita yang dikenali sebagai Makcik Farah yang lembut.
“Duduk dulu kat rumah makcik Fiza. Fifi pun ada di sini..” lembut suara perempuan yang berusia empat puluhan menjemput.
Badannya yang gempal disaluti baju kurung Kedah berwarna kuning yang sudah samar dan berkain batik Terengganu. Rambut panjang bersanggul tersembunyi di bawah serkup hitam. Lembut dan penuh keibuan.
Hafizah menarik nafas. Gugusan kunci disisip kembali ke dalam beg. Dia menoleh sekali ke rumah kemudian melangkah longlai menuju ke rumah Makcik Farah yang letaknya cuma bersebelahan dengan rumahnya. Segera dia membuka sepatu hitam dan melangkah masuk ke rumah makcik Farah. Rumah itu walaupun dihiasi dengan perabot sederhana, lebih kemas dari rumahnya yang sentiasa berantakan.
Dengan longlai dia menghenyakkan punggung di atas kerusi kusyen. Setiap pergerakannya di perhatikan makcik Farah. Adiknya Fifi sedang enak di buai mimpi sambil memeluk patung beruang kesayangannya di atas kerusi panjang. Rambutnya yang panjang beralun ditiup angin kipas duduk . Sesekali terdengar bunyi menciut bila dia menyonyot ibu jari kiri. Mukanya yang putih bersih tenang. Comel.
Kasihan Fifi, baru lapan tahun. Masih mentah. Belum tahu apa-apa lagi. Cuma apa yang dia tahu, lari ke rumah makcik Farah bila kedua ibu bapanya menjerit di antara satu sama lain.
“Minum Fiza. Kau nampak letih sangat. Banyak kerja tadi?” Entah bila Makcik Farah masuk ke dapur Hafizah tidak perasan. Sedar-sedar sahaja sudah keluar sambil menatang secawan teh dan sepinggan mee hoon goreng.
“Makcik tahu, kau belum makan lagi. Ni ada mee hoon goreng, makanlah,” pelawa wanita itu lagi sambil meletakkan dulang di atas meja.
“Susahkan makcik aje. .. dah selalu sangat..” lemah suara Hafizah.
“Jangan cakap macam tu. Sudah jadi tanggungjawab makcik. Kalau tak makcik, siapa lagi nak tengokkan kamu adik beradik.”
Prang! Bunyi kaca terhempas ke dinding. Jelas bunyi kaca berderai, walaupun jarak antara rumahnya dan rumah makcik Farah ada dekat sepuluh meter.
“Jantan tak guna! Tahu nak duit aku aje. Mana ada duit lagi! Asal balik aje cari duit!” Berdesing suara Nuraini menengking.
“Jangan cakap tak de duit dengan aku. Sekarang ni awal bulan. Bukan ke awak tu yang paling laku kat kelab malam tu. Takkan tak de duit!” Suara Mahat pula meninggi.
Prang! Satu lagi barang di hempas ke dinding.
Satu dua jiran yang duduk berdekatan membuka tingkap rumah masing-masing. menjulur kepala ingin tahu sambungan drama yang berlaku di rumah sebelah. Terteleng-teleng hendak melihat.
Hafizah mencapai pinggan mee hoon. Dia sudah tidak ambil pusing dengan perangai ibu bapanya. Begitu juga dengan kebanyakan penduduk Kampung Seri Ampangan. Pergaduhan ibu bapanya cuma menjadi topik bualan sandiwara, hiburan di kedai kopi.
Suami isteri sama rancak sama hebat. Si lelaki suka berjudi, kaki pukul dan pemabuk. Yang perempuan pula gelandangan di kelab malam. Anak-anak jadi mangsa. Kasihan si kecil..
Tapi itulah manusia, kasihan hanya dibibir sahaja, tiada siapa yang mahu menghulurkan bantuan kecuali makcik Farah dan suaminya pakcik Hamid yang tidak pernah lokek untuk memberi bantuan. Tidak kira wang ataupun memberi semangat kepada Hafizah.
“Sudahlah! Jangan nak bising! Baik aku keluar dari duduk dalam rumah jahanam ni!” Suara nyaring Nuraina mematikan lamunan Hafizah.
“Jangan kau keluar dari rumah ni sebelum bagi duit. Duit aku mana?!”
“Aku kata aku tak de duit, tak de duit la. Tak paham ke?”
Serentak dengan itu, daun pintu dibuka. Jiran yang tadi bersidai tingkap malu sendiri, cepat-cepat menutup daun tingkap. Tak mahu dicop suka menjaga tepi kain orang.
Cepat-cepat Nuraina jalan meninggalkan rumah. Osman sudah lama menunggu di simpang. Risau Nuraina, takut Osman bosan. Nanti bergaduh pula mereka. Sudahlah berperang dengan Mahat nanti tidak pasal-pasal bermasam muka pula dengan Osman. Boleh hilang pendapatannya untuk malam ini.Bosan sungguh!
“Jangan balik kalau tak de duit!” Tiba-tiba Mahat terpacul di pintu, bercekak pinggang. Rambut kusut masai dan mata merah menyala.
Nuraina mencemik bibir. Asal kalah judi, aku jadi mangsa. Buat apa susah-susah kalau cinta sudah tawar. Sayang sudah hambar. Dia terus berjalan meninggalkan lelaki yang dikahwini atas dasar cinta tujuh belas tahun dahulu.
Berhati-hati Nuraina berjalan dengan kasut tumit tinggi. Sesekali tumit runcing terbolos di tanah lembut. Dia bersumpah seranah. Kain sendat warna merah jambu disingsing sedikit menampakkan betis yang putih gebu. Beg tangan bertali halus yang di sangkut di bahu kanan terbuai-buai mengikut alunan langkahnya.
Nuraina masih muda, baru masuk tiga puluh
Sekali pandang orang tidak akan tahu Nuraina bukan orang berada. Tinggal di rumah setinggan di ibu
Matanya meliar mencari Mercedes hitam kepunyaan Osman. Masih lagi setia menanti di bawah pohon ceri. Nuraina tersenyum. Dia mengeluarkan beberapa keping tisu dari tas tangan dan tunduk mengelap tumit yang berselut. Tisu berpalit selut dicampak ke tanah.
“Hai sayang, sorry lambat.” Lembut sapaan Nuraina melihat buah hati masam mencuka. Dia membuka pintu lalu terus masuk.
“Lama I tunggu you. Apa you buat lama-lama tadi? Bila you nak tinggalkan suami you? You tak sayangkan I ke?” Bertalu-talu soalan keluar dari mulut lelaki separuh umur. Mulutnya mencebik. Merajuk.
Nuraina senyum memujuk. Aduh!
“Tapi ingat ye Aina. I cuma nak you saja. Tak ada orang lain, Cuma you seorang.”
Nuraina senyum hambar. Dia faham maksud Osman. Hanya dirinya seorang…
“Sabar sayang. Tiba masa nanti I akan jadi milik you,” pujuk Nuraina.
Osman tersenyum. Dia menghidupkan enjin kereta dan Mercedes hitam meluncur laju meninggalkan Kampung Seri Ampangan.
Manuskrip ini saya siapkan sebelum Zahrah de Tigris. Susah benar saya nak habiskan menulis. Tapi saya memang suka kekalkan imej protagonis yang kuat semangat.
2 comments:
salam..adakah manuskrip ini akan bertemu pembaca dalam versi cetak> I m in d midst of reading zahra....n I am loving it!
ummihana
mungkin tidak. Entah. hehe...
Alhamdulillah suka Zahrah
Post a Comment