Followers

Monday, August 27, 2007

Permulaannya



Bermula dari sebuah angan-angan kosong, menjadi himpunan kata-kata lantas membentuk baris-baris ayat. Akhirnya terlahirlah 'puteri' sulung. Zahrah, seputih dan sebersih kelopak bunga yang mekar menjemput sang mentari pagi. Semoga kelahirannya mampu memberikan sedikit keceriaan dan meramaikan lagi 'ulat-ulat buku' di muka bumi Allah ini.

Jazakallah khair.

Tuesday, August 21, 2007

Aduhai

Waktu-waktu akhir bekerja dulu, tiba-tiba kotak minda diasak dengan kisah-kisah yang menyayat hati di Palestine. Kebetulan pula tarikh 21 Ogos adalah tarikh memperingati peristiwa berdarah di Baitul Maqdis. Sedih, geram, sakit hati bersilih ganti tatkala gambar-gambar yang tertera di kaca skrin komputer bertukar satu demi satu. Kemudian, rakaman di Baghdad pula memenuhi ruang pancaindera. Keadaan huru hara, bunyi letupan dan disusuli ngongoian tangisan, begitu meruntun jiwa.

Saya terfikir, apakah saya mampu berhadapan dengan situasi seperti itu sekiranya saya tercampak ke bumi Al-Masih itu atau negara yang pernah menyaksikan zaman kegemilangan peradaban Islam? Bagaimana agaknya seorang wanita Melayu akan sanggup meninggalkan keselesaan dan kesenangan di tanah sendiri lalu pergi berkelana jauh menabur bakti di sebuah negara yang berantakan?

Nisa adalah protagonis idaman saya. Saya mahu jadi seperti dia. Cekal, berani dan begitu menjaga statusnya sebagai Muslimah yang berpegang teguh dengan ajaran Allah. Tapi begitu, Nisa memang degil orangnya. Inilah satu sifatnya yang saya kurang gemar. Keras kepala, mahu berjuang walaupun sanggup membelakangkan perasaan ayah dan ibunya.

Mei 2003

Kalaulah emak tahu keadaan aku di sini, mesti dia menangis hiba. Mesti dia bentak-bentak suruh aku bungkus baju dan balik sekarang juga. Bukanlah sekarang pun dia tidak bentak-bentak suruh aku balik, cuma aku selalu pujuk dia yang keadaan aku baik. Aku selamat. Sedangkan pada hakikatnya sekarang, aku dan beribu-ribu rakyat tempatan tersepit di antara bedilan-bedilan mortar dan peluru-peluru raifal yang sering bersimpang siur tidak kenal mangsa, lelaki atau perempuan, orang tua mahupun kanak-kanak.

Aku di bumi Sungai Tigris. Atau lebih tepat Baghdad, Iraq. Bumi Arab, tempat pusat kebudayaan dan ilmu Allah sejak zaman sahabat Rasulullah. Ramai para ulama dan bijak pandai dahulu kala yang mengaji, menimbu ilmu Allah di sini. Di bumi inilah dan sinilah tempatnya juga, sudah hampir dua tahun aku tercampak. Bukan! Mencampakkan diriku di tanah Arab ini. Ini semua gara-gara terpengaruh dengan sekumpulan pelajar Iraq yang belajar satu universiti dengan aku di Glasgow, Scotland dahulu.

Bayangkanlah dari sebuah tanah “mat salleh” yang berwarna-warni dengan budaya kebaratan, aku mencari parah sendiri di bumi Arab, tanah panas dan suhu kering yang boleh mencecah hampir ke empat puluh darjah Celcius pada musim panas. Mungkin aku sendiri yang “gatal”, aku sendiri mengada-ngada. Aku yang memilih jalan ini. Emak dan abah hantar aku belajar ke Glasgow, aku “menggatal” ingin menyertai perjuangan. Lepas sebulan dua di Baghdad, hampir setiap hari aku menangis.

Sunday, December 31, 2006

SEBAB DIKAU - PROLOG

Sebab Dikau

Kasihkan hidup sebab dikau
Segala kuntum mengoyak kepak
Membunga cinta dalam hatiku
Mewangi sari dalam jantungku

Hidup seperti mimpi
Laku lakon dilayar terkelar
Aku pemimpi lagi penari
Sedar siuman bertukar tukar

Maka merupa di datar layar
Wayang warna menayang rasa
Kalub rindu turut mengikut
Dua sukma esa - mesra -

Aku boneka kau boneka
Penghibur dalang mengatur tembang
Di layar kembang bertukar pandang
Hanya selagu, sepanjang dendang

Golek gemilang ditukarnya pula
Aku engkau dikotak terletak
Aku boneka engkau boneka
Penyenang dalang megarak sajak.
AMIR HAMZAH

PROLOG

Dari jauh Hafizah melihat sekumpulan anak muda Melayu sedang duduk bertenggek di atas batuan dipinggir perkarangan Gereja San Nicholas yang terletak hampir di puncak bukit Albaiyzin, Granada di Selatan Sepanyol. Ada enam orang kesemuanya. Kesejukan angin dingin lewat bulan Januari tidak langsung dipeduli. Mungkin seronok dapat menikmati suasana petang berlatar belakangkan keindahan pemandangan istana Al-Hambra yang gah di atas puncak Bukit La-Sabica setentang dengan Albaiyzin.

Dari gaya percakapan seperti melayu Malaysia. Pelajar-pelajar yang belajar di England mengambil kesempatan backpacking beramai-ramai agaknya, fikir Hafizah. Selalu sangat pelajar-pelajar Malaysia yang belajar di England atau di negara-negara lain dalam benua Eropah mengambil kesempatan melancong ke Sepanyol ketika cuti semester.

Salah seorang anak muda itu mengeluarkan sebuah gitar dan mula memetik mengalunkan lagu. Yang lain mula berkerumun. Kumpulan itu juga menarik perhatian pelancong asing yang lain. Anak muda itu mula menyanyi. Merdu juga suaranya.

Pilihan pertamanya, lagu popular kumpulan Search, Isabella. Hafizah tersenyum. Dia turut terhibur dengan nyanyian mereka. Lama sudah dia tidak mendengar gemersik lagu Melayu. Walaupun berirama rock, ia tetap menjadi halwa telinga pada Hafizah.

Selesai, anak muda mendapat tepukan dari mereka yang terhibur. Tersengih-sengih mereka menerima tepukan dari bangsa yang langsung tidak memahami bahasa Melayu. Gitar langsung bertukar tangan. Tali di petik menjanakan sebuah alunan lagu baru. Lembut.

“Aku terjaga dari tidur,

Bagai ada satu suara,

Yang lembut membisik padaku

Pulanglah...

Termenung di pagi yang dingin

Terkenangkan kampung halaman

Terbayang wajah-wajah sayu

Kurindu...

Tersentak Hafizah mendengar anak muda itu menyanyikan lagu lama Pulanglah, nyanyian Dato Shake. Kampung? Ya Allah. Sudah lama dia melupakan perkataan itu. Difikirnya sudah dipadam dari kamus hidupnya, rupanya ia masih segar di dalam kotak ingatan. Kampungnya sekarang di sini. Di bumi Sepanyol inilah kini tanah airnya.

Bertahun-tahun dia Malaysia dirasakan terlalu jauh, tapi kini bila mendengar lagu itu, terasa dia terlalu dekat dengan tanah tumpah darahnya. Tiba-tiba hatinya dirundung rasa rindu yang amat sangat. Rindu pada Hafizi dan rindu pada Hafifi. Rindu pada tanah air yang tidak pernah dijenguk lebih lima tahun. Lama sudah dia merajuk membawa hati.

Air mula tergenang dipelupuk mata. Dipejam matanya rapat-rapat. Usahlah menitik. Janganlah mengalir. Jari-jarinya menggenggam erat palang besi. Kesejukan yang menggigit sudah tidak dirasai. Setitis air gugur mengalir lesu di pipi. Cepat-cepat Hafizah menyeka dengan jari. Setitis lagi jatuh dan setitis lagi. Empangan airmatanya pecah dan kali ini dia tidak mampu menahannya lagi. Terhingguk-hingguk bahunya menahan sedu. Ya Allah! Ampuni dosaku.

Bersaksikan Al-Hambra di kejauhan, Hafizah terus menangis…