Followers

Monday, November 30, 2009

Shuaib beristighfar. Dia meraup muka dengan tapak tangan dan kemudian tangan itu diangkat hingga hampir ke paras dagu.

Hatinya yang tenang tadi ketika melunaskan solat Zohor, tiba-tiba dipagut rasa sayu yang amat sangat. Airmatanya tiba-tiba saja bergenang. Wajah insan-insan yang dia sayangi sepenuh jiwa raga bermain di ruang mata silih berganti.

Wajah umi yang lembut dan wajah abi yang ceria jelas terbayang. Sesekali wajah-wajah itu berselang seli dengan wajah bonda dan ayahanda yang semakin pudar, namun tidak sesekali dia melupakan dua insan yang berkongsi darah dengannya.

Mana mungkin dia melupakan asal usulnya dan tanah yang pernah mengajarnya erti kasih sayang dan perjuangan hidup yang sebenar.

Ya Allah, ya Tuhan kami, ampunilah segala dosa kesalahan kami dan dosa-dosa kesalahan ibu bapa kami, serta kasihanilah ibu bapa kami sebagaimana mereka berdua mengasihani kami semasa kami masih kecil.

Ya Allah! Ya Rabb! Ya Rahman, ya Rahim! Dia merintih. Ampuni dosa hamba-Mu ini ya Allah.

Shuaib pejamkan mata sekali lagi. Dia menghela nafas dalam, memenuhi ruang paru-paru dengan udara segar puncak bukit.

Setelah beberapa jam menunggang di atas jalan yang berhabuk, terasa nikmat yang tidak terhingga dapat menghirup udara segar dari atas bukit batuan dan mengucup alam lantas menyerahkan seluruh jiwa raga kepada Sang Pencipta.

Walaupun sekelilingnya suasana agak riuh rendah dengan anak-anak buah Tariq yang menyiapkan tempat perkhemahan mereka untuk berehat, Shuaib merasa tenang dan damai dapat duduk menikmati panorama indah ciptaan Ilahi.

Wajah insan-insan yang tersayang silih berganti memenuhi ruang ingatannya sehinggalah seraut wajah yang sangat indah menerpa menghilangkan bayang-bayang yang lain. Seraut wajah yang putih mulus, sepasang mata bundar yang jernih, yang kadang-kadang mampu memberi sinar tajam menikam jauh ke dalam sanubari lelakinya.

Pemilik wajah indah dan sepasang mata bundar itu memang tidak pernah jemu mengganggu jiwanya. Kasihnya kepada si empunya diri memang melimpah ruah, bertambah-tambah semenjak mereka diisytihar sah sebagai suami isteri. Namun, kecintaannya kepada kepada Ilahi mengatasi segala-galanya. Mengapa si jantung hati masih tidak dapat memahami tanggungjawabnya mempertahankan tanah air ini?

Sekali lagi Shuaib beristighfar. Hubb al-watan min al-iman, mencintai tanah air itu adalah sebahagian daripada iman. Perlu apa diragu lagi tentang tanggungjawab insan ini?

3 comments:

Anonymous said...

salam.. erm..
citer pe nie?
new story, huh?
wah! mcm menarik je?
hehehe..

-sara-

khairyn said...

salam
sara

InsyaAllah sara, saya beri masa hingga june untuk habiskan ia.. huwaa! studi didahulukan :)

Anonymous said...

btol3x.
study comes first!

-sara-